Sunday, August 09, 2020

PRN-15 SABAH: APA KAH SENTIMEN TAHUN 1985 & 1986 BERULANG?

MUNGKIN Datuk Shafie Apdal mengambil iktibar tindakan Parti PBS tahun 1986, apabila Kerajaan Negeri mengadakan PRN negeri setahun selepas menubuhkan kerajaan negeri. 

PBS sebagai Kerajaan negeri, terpaksa membubarkan DUN, kerana takut tumbang menerusi lompat parti, kerana parti itu hanya mempunyai 26 kerusi daripada 48, hanya mempunyai kelebihan 4 kerusi berbanding parti lawan. 

Pada masa itu, kerana sentimen KDM dan Cina terhadap Kerajaan Persekutuan begitu tebal, maka pada PRN tersebut PBS menang 34 kerusi, menambah 8 kerusi berbanding PRN 1985. PBS bertahan sehingga tahun 1994, walaupun membangkang Persekutuan bermula tahun 1990. 

Pada PRN tahun 1994, PBS tidak kalah kerana masih menang 25 kerusi daripada 48, tetapi tumbang beberapa bulan kemudian kerana kehilangan majoriti mudah. Kemenangan PBS pada setiap PRN kerana faktor sentimen yang melekat pada KDM selain faktor Tan Sri Pairin Kitingan. Tumbangnya Kerajaan BN pada Mei, 2018, kerana mengikut senario yang sama seperti mana dialami PBS. 

Pada 29 Julai, 2020, Kerajaan Warisan sepatutnya tumbang, kerana kehilangan majoriti mudah, walaupun kurang seminggu sebelum itu, Presiden Warisan sepulang daripada Persidangan Parlimen, memberi tahu wartawan, bahawa Kerajaan Warisan Plus sangat kukuh, kerana mempunyai kuasa 2/3 di di DUN Sabah, kerana disokong 45 ADUN daripada 65. 

Mungkin Shafie berfikiran, bahawa sentimen terhadap kerajaan negeri yang membangkang Persekutuan, akan sama dengan sentimen tahun 1985 & 1986. Shafie lupa, bahawa semasa PBS menang kerajaan persekutuan tidak berubah, manakala Warisan Plus menubuhkan kerajaan semasa kerajaan Persekutuan berubah. Kemudiannya, kerajaan Warisan tumbang kerana mengikut arah kerajaan Persekutuan. 

Pada PRN ini, akan dibuktikan bahawa sentimen tahun 1985 &1986, bukan lagi sandaran pengundi, sebaliknya berkiblat kepada politik pembangunan, pun demikian, di kawasan-kawasan seperti Pantai Timur dan beberapa kawasan di Pantai Barat, masih berpaksi kepada sentimen. 

Warisan Plus akan bersandar pada pengundi warganegara “baharu” kerana mereka ini lah yang banyak mendapat manfaat selama 27 bulan pemerintahan Shafie. Di kawasan-kawasan ini, parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) dalam keadaan “uphill”. 

Dalam senario politik Sabah, parti-parti yang mahu mengalahkan Warisan Plus sebenarnya yang berkeadaan “uphill” dan “underdog” kerana berhadapan dengan berbagai isu termasuk pengagihan kerusi, siapa calon Ketua Menteri, juga ancaman perpecahan undi daripada parti-parti PCS, USNO, LDP dan parti-parti lain yang ingin menyertai pesta demokrasi. 

Dalam teorinya, mungkin dalam PRN kali ini, Warisan Plus akan banyak kehilangan sokongan, kerana dibuktikan menerusi PRK Kimanis, apabila calon parti itu kalah, termasuk di DUN Bongawan. Teori ini akan berlaku di kawasan-kawasan pantai Barat Utara, Pantai Barat, Pedalaman, Kinabatangan dan Beluran, tetapi tidak di Semporna, Lahad Datu, Kalabakan, Tawau, Sepanggar dan Batu Sapi malah Sepanggar. 

Di Pantai Timur, daripada 27 DUN, 20 DUN adalah kawasan cerah bagi Warisan Plus, demikian juga kawasan-kawasan cina samada di Sandakan, Tawau atau Kota Kinabalu. 

Pendek kata, Warisan Plus akan ada “kawasan” selamat antara 28-30 berbanding parti-parti dalam PN, antara 20-30 dengan syarat pengagihan kerusi dapat dicapai tanpa protes. 

Nampaknya, pada PRN kali ini, kawasan bumiputera islam akan terbahagi-bahagi, antara parti-parti, antara Warisan, UMNO, Bersatu, malah PCS dan USNO. Manakala kawasan cina akan kekal bersama DAP atau PKR. 

Kawasan KDM akan menjadi perhatian utama. Parti-parti yang mewakili kaum itu bakal menjadi “kingmaker”, samada PBS atau STAR. 

Warisan Plus, tidak akan mendapat banyak kerusi di kawasan KDM, kecuali mungkin DUN Moyog. UPKO tidak akan dapat menyumbang kerusi, termasuk kehilangan kerusi DUN Kedamaian.

Nampaknya, pada PRN kali ini, parti mana yang menguasai kawasan KDM bakal membentuk Kerajaan negeri akan datang.

No comments:

Blog Archive