Tuesday, November 19, 2019

KAJI SEMULA PAS SEMENTARA SABAH-HAJIJI

Ketua Penyelaras Bersatu Sabah- Datuk Hajiji Haji Noor yang juga ADUN Sulaman, meminta kerajaan mengkaji semula keputusan mengeluarkan Pas Sementara Sabah (PSS) yang bermula Jun, 2020. 

Alasan kerajaan disebalik pengeluaran kad itu, adalah untuk mengenalpasti jumlah sebenar PATI di Sabah, bukan alasan yang kukuh, kerana negara ini mempunyai pasukan keselamatan yang dapat mengenalpasti mereka yang tergolong PATI. 

Tiada kewajaran bagi Sabah memberikan kad seumpama itu kepada mereka yang memasuki negeri ini secara haram. 

Sepatutnya kerajaan meneruskan tindakan MEMBURU, MENANGKAP DAN MENGHANTAR pulang PATI seperti tindakan sebelum ini, selepas Keputusan RCI PATI Sabah diumumkan pada Disember 2014. 

Kerajaan perlu mengambil iktibar kepada pengalaman lalu, semasa memutuskan memberikan kepada pelarian perang Filipina tahun 70-an dengan kad IMM13 yang disusuli kad burung-burung dan Kad banci semasa operasi pemutihan PATI, terbukti bukan penyelesaian, malah menjadi penggalak kepada membanjirnya PATI ke Sabah, dan kini dikatakan mencapai lebih 600 ribu orang. 

Adalah dikhuatiri, apabila PSS diteruskan, maka gelombang baharu kedatangan PATI ke Sabah. 

Menurut Hajiji, pekerja asing yang diperlukan untuk kerja-kerja 3D (Kotor, Berbahaya dan Sukar) bukannya dilarang, akan tetapi mereka itu perlulah masuk secara halal. 

Sejak kerajaan memutuskan akan mengeluarkan PSS, ramai rakyat Sabah menganggap, ianya salah satu cara menjadikan mereka warganegara dengan cara mudah, untuk tujuan politik. 

Kerajaan tidak sepatutnya, menghalalkan sesuatu yang salah, malah tindakan kerajaan sebelum ini, seperti pemberian kad burung-burung dan banci penduduk yang membolehkan mereka tinggal di Sabah, selain IMM13, sudah dianggap salah, kerana mereka itu dilayan seperti rakyat sebenar, dan menikmati segala kemudahan yang disediakan kerajaan tanpa had, kecuali apabila mereka ke hospital terpaksa membayar dengan kos tertentu. 

Rakyat asing yang datang ke Sabah perlulah seperti rakyat asing lain, sesuai dengan peraturan atau undang-undang yang diamalkan di semua negara, bukannya masuk secara haram, kemudian dilayan sedemikan rupa termasuk menghalalkan kemasukkan mereka.

No comments:

Blog Archive