Wednesday, November 20, 2019

DISEBALIK ARAHAN MEMBELA DIRI

PENULIS dibantu berbagai artikel dan pandangan daripada mereka yang berlatarbelakang undang-undang, akhirnya cuba memberi pendapat apa disebalik arahan mahkamah kepada seseorang kena tuduh membela diri.

Penulis akui sebelum membaca, menganalisa dan mengambil tahu, disebalik arahan kepada seseorang membela diri, dalam benak, memang orang yang kena tuduh itu bersalah, sebab itu lah diarah membela diri untuk menyanggah tuduhan, sedangkan bukanlah demikian, kerana prinsip undang-undang, seseorang itu tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah.

Kini penulis setidak-tidaknya tahu sedikit proses mahkamah memberi keadilan kepada pihak tertuduh, rupanya perbicaraan di mahkamah ada dua peringkat, iaitu pertama peringkat prima facie. Pada peringkat ini pendakwaan perlu membuktikan kes terhadap tertuduh.

Pada peringkat ini, orang kena tuduh (OKT) tidak akan memberi sebarang kenyataan. OKT cuma duduk diam-diam dalam kandang tertuduh. Ketika ini, yang memberi keterangan adalah saksi pendakwa dan sudah tentu semua kenyataan itu akan menunjukkan kesalahan terletak pada tertuduh. Di peringkat ini berbagai persepsi dibuat bahawa OKT bersalah. Tugas peguambela diperingkat ini adalah mengemukakan hujah-hujah yang relevan untuk menunjukkan bahawa tiada bukti kukuh yang boleh mengaitkan OKT dengan tuduhan.

Di hujung kes prima facie, mahkamah akan membuat penilaian sama ada pendakwaan berjaya membuktikan satu kes. Sekiranya pendakwaan berjaya membuktikan kes, boleh dikatakan 50 peratus kes sudah dimenangi mereka kerana mahkamah sudah membuat keputusan untuk menerima fakta pertuduhan.

Ketika ini tertuduh akan dipanggil membela diri dan ini peringkat kedua. Mahkamah perlu mendengar kenyataan daripada tertuduh dan saksi pembelaan. Pada peringkat pembelaan, tertuduh diberi tiga pilihan.

Pertama, berdiam diri dan jika ini berlaku mahkamah akan terus mengenakan hukuman kerana kes sudah terbukti dan tidak dijawab. Kedua, memberi keterangan di kandang tertuduh. Bagaimanapun, keterangan ini tidak cukup kuat kerana kenyataan ini tidak boleh dicabar oleh pendakwaan.

Kebiasaannya, mereka yang memberi kenyataan sebegini akan didapati bersalah. Sebenarnya kalau mereka di pihak yang benar, mengapa takut untuk disoal balas.

Ketiga, kenyataan dari kandang saksi dalam keadaan bersumpah.

Kenyataan begini ada asas, tetapi tertuduh perlu bersedia untuk diasak oleh pendakwa. Tertuduh boleh memanggil saksi untuk yang menyokong keterangannya. Apabila selesai di peringkat ini, mahkamah akan menilai semula kes secara keseluruhan.

Mahkamah akan menilai keterangan saksi pembelaan dan jika kenyataan itu menyokong dan membuktikan kenyataan tertuduh, mahkamah perlu membebaskan OKT. Jika keterangan tertuduh dan saksi tidak meyakinkan, maka kes prima facie pendakwaan akan kekal.

Dengan itu, tertuduh akan disabitkan atas kesalahan itu dan mahkamah akan mengenakan hukuman. 

Demikian lah sekilas pandang pemahaman penulis apa disebalik arahan membela diri.

1 comment:

Anonymous said...

Orang2 politik @musuh2 politik telah bercerita berkenaan isu ini sudah bertahun2 lamanya sejak sebelum PRU14 lagi. Mereka pasti sudah punyai bergitu banyak bukti?

Tapi kenapa bila baca news mereka mengatakan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie "disaat2 akhir pendakwaan"? Itu ramai yang muskil? Kenapa tidak dibuktikan diawal2 pendakwaan?

Tanya je?



Blog Archive