Friday, February 15, 2019

AKHIRNYA PPBM MASUK SABAH

Hujah beberapa pemimpin khususnya daripada PKR dan DAP Sabah, kononnya kemasukkan PPBM ke Sabah bersifat pecah dan perintah, sebenarnya tidak berpijak di bumi nyata, malah bertindak "double standard". Sepatutnya hujah itu tidak timbul, kerana PPBM sebagai parti yang sah adalah bebas mengembangkan sayapnya di mana-mana di dalam negara, seperti mana dua parti itu.

Dalam sistem yang diamalkan Pakatan Harapan, tiada keperluan mana-mana parti meminta kebenaran daripada komponen parti itu mengembangkan sayap ke mana-mana di negara ini.

Di Sabah seorang pemimpin DAP (MP Sandakan) dan PKR (ADUN Inanam) mempersoalkan kemasukan parti pimpinan Tun Dr Mahathir itu ke Sabah.

Sebelum ini, para pemimpin Parti Warisan Sabah khususnya Presiden parti itu tidak bersetuju kemasukkan parti pribumi itu ke Sabah.

Sebenarnya, tidak timbul keraguan kemasukkan PPBM ke Sabah kerana parti itu hanya menerima ahli daripada mereka yang tidak berparti, dan tidak menerima keahlian daripada parti PH dan Warisan.

Pada Jumaat, selepas Mesyuarat kepimpinan PPBM di Kuala Lumpur, Pengerusi parti itu Tun Dr Mahathir mengumumkan keputusan parti itu mengembangkan sayapnya ke Sabah.

Walaupun belum diumumkan, pemimpin yang akan mengetuai PPBM Sabah, tetapi yang pasti pemimpin itu adalah pemimpin Sabah.

Kemasukkan PPBM ke Sabah menjadi bualan rakyat, ekoran keluarnya para pemimpin dan wakil rakyat Umno pada 12-12-2018 dan tidak menyertai mana-mana parti sehingga kini, kecuali ADUN Tempasuk, Datuk Musbah Jamli menyertai Parti Warisan pada 25 Januari lalu.

Menurut sumber, apabila PPBM dilancarkan di Sabah, parti itu akan disertai seramai 80,000 ahli.

Untuk rekod, Umno Sabah mempunyai 560 ribu ahli sebelum penubuhan Parti Warisan Sabah pada Oktober, 2016, kemudiannya, dipercayai hampir 150,000 daripada mereka itu telah menyertai parti pimpinan Datuk Shafie Apdal itu. Anggaran itu dibuktikan menerusi PRU-14 lalu, apabila 15 kawasan DUN daripada 32 yang ditandingi Umno dirampas oleh PWS, demikian juga kawasan Parlimen, 7 daripada 14 ditawan parti yang berlogokan perahu layar itu.

No comments:

Blog Archive