Showing posts with label poitik sabah. Show all posts
Showing posts with label poitik sabah. Show all posts

Monday, January 06, 2020

P176 KIMANIS- WARISAN? ATAU BN?

PADA 18 Januari,2020, seramai 29,664 pengundi berdaftar P176 Kimanis bakal menunaikan tanggungjawab, apa kah memilih calon No-1 atau calon No-2.

Kalau memilih calon No-1, bermakna, pengundi mahu menjadi sebahagian daripada suara semak dan imbang di Dewan Rakyat, jika memilih calon No-2, bermakna, pengundi bersetuju dengan tindakan-tindakan kerajaan off the day.

Setakat ini, belum dapat dinilai, pihak mana yang disokong secara undi oleh pengundi, kerana aktiviti kempen ke dua belah pihak seimbang.

Dalam acara kempen setakat ini tidak kenampakan adanya "crowd puller". Keadaan ini menunjukkan, bahawa pengundi kawasan ini sudah awal-awal telah membuat keputusan,calon mana pilihan mereka.

Pengundi Kimanis tidak asing bagi kedua-dua calon, kerana dua-duanya anak tempatan, juga dua-duanya pernah menjadi wakil rakyat bagi kawasan Dun Bongawan, salah satu Dun di kawasan itu.


Monday, December 09, 2019

KUASA TYT SABAH- LANTIK/PECAT KETUA MENTERI?

DI Sabah telah berlaku kecelaruan perlantikan Ketua Menteri sebanyak 3 kali, iaitu pada tahun 1985, 1994 dan 2018. Nampaknya, kecaluran ini akan berulang di masa depan, jika tiada undang-undang yang memuktamadkan berkaitan campur tangan TYT terhadap politik, khususnya perlantikan atau pemecatan seorang Ketua Menteri.

Ingatan penulis masih segar pada tahun 1985, apabila Tun Mustapha Datu Harun dilantik sebagai Ketua Menteri, meskipun jumlah kerusi sedikit berbanding jumlah kerusi Datuk Pairin (kini Tan Sri) menerusi PBS yang menang 25 kerusi daripada 48 yang dipertandingkan. Walaupun Tun Mustapha mengangkat sumpah, akhirnya terbatal, kerana beliau tidak mempunyai sokongan majoriti mudah, selain tidak mengikut perlembagaan negeri yang menggariskan, bahawa hanya parti yang mempunyai kerusi terbanyak mempunyai hak dilantik ke jawatan Ketua Menteri atau dengan kata lain membentuk kerajaan negeri.

Pada tahun 1994, berulang lagi, Datuk Pairin terpaksa berkampung di luar Istana menunggu dilantik. Seperti juga keputusan PRN tahun 1985, pada PRN 1994, PBS juga menang 25 kerusi daripada 48 kerusi yang dipertandingkan. Meskipun Pairin dapat mengangkat sumpah, akan tetapi kabinet beliau belum sempat mengangkat sumpah, dan tidak sampai sebulan kehilangan jawatan itu kerana terpaksa meletakkan jawatan, kerana kehilangan majoriti mudah, apabila 2 ADUN berpaling tadah.

Tahun 2018, tepatnya selepas PRU-14, 9 Mei,2018, Tan Sri Musa Aman juga melalui fasa yang hampir serupa dengan keadaan tahun 1985 dan 1994, bezanya Musa diberikan jadual majlis angkat sumpah daripada 9 pagi 10 Mei, ke pukul 3 petang, ke pukul 8 malam, dan akhirnya dapat mengangkat sumpah pada 11.15 malam.

Antara perlantikan Musa dan Pairin agak berbeza, kerana selain Musa mengangkat sumpah, kabinet beliau juga turut mengangkat sumpah, malah mesyuarat kabinet pertama telah dilaksanakan.

Asas kepada perlantikan Musa pada malam 10 Mei, selain mewakili parti yang mempunyai jumlah terbanyak iaitu 29, juga mempunyai majoriti mudah daripada 60 kerusi yang dipertandingkan apabila 2 ADUN STAR berkerjasama untuk membentuk kerajaan campuran.

Dalam situasi Musa, beliau tidak menyedari bahawa selepas kerjasama dengan parti STAR, telah menyebabkan parti UPKO yang masih dalam remote control Tan Sri Bernard Dompok tidak berpuas hati, sehinggakan meminta Datuk Madius Tangau berpaling tadah. Kerana proses berpaling tadah ini dalam perundingan, maka menjadi penyebab mengapa perlantikan Musa dilengah-lengahkan, malah 6 ADUN yang berpaling tadah sempat membuat akuan bersumpah sebelum TYT membuat perlantikan Ketua Menteri baru pada malam 12 Mei,2018.

Di antara kejadian perlantikan Ketua Menteri Sabah, pada tahun 1985, 1994 dan 2018, tiada yang boleh dirujuk sebagai sama. Perlantikan tahun 2018, hanya boleh disamakan dengan isu Kalong Ningkan di Sarawak, iaitu, jawatan Ketua Menteri perlu ke Sidang DUN untuk mengetahui apa kah Musa mempunyai sokongan majoriti mudah?. Dalam kes Musa, selain mempunyai 31 ADUN pada malam 10 Mei, juga telah ada senarai 6 ADUN yang bakal mengangkat sumpah pada persidangan DUN. 

Secara matematik, kalaupun 6 ADUN yang berpaling tadah diambilkira, maka jumlah ADUN akan sama, iaitu 31-31. Dalam situasi ini, ketua menteri yang sah mempunyai 2 pilihan, apa kah mahu meletakkan jawatan, atau mencadangkan pembubaran DUN untuk pilihanraya.

Pilihanraya adalah pilihan sebaik-baiknya supaya rakyat dapat memberi mandat kepada kerajaan yang benar-benar disokong.

Dalam senario sekarang, kerajaan yang dibentuk bukan daripada rakyat, akan tetapi kerajaan konspirasi antara para ADUN yang khianat.

Monday, March 18, 2019

SATU HARI NANTI RAKYAT SABAH TERSEDAR MENGAPA PPBM MASUK SABAH

DALAM politik ada dua perkara pokok yang tersurat dan yang tersirat. Mereka yang tidak mahu PPBM masuk atau mereka yang enggan menyertainya hanya melihat yang tersurat.

Di Sabah dua kelompok yang hanya melihat yang tersurat, mereka itu adalah penyokong Umno dan penyokong Warisan.

Mereka yang melihat yang tersurat ini, mendakwa bahawa mereka yang menyertai PPBM adalah kumpulan cari makan, malah ada pemimpin Umno kawasan Sepanggar, memuat naik di laman facebook beliau, dengan kata sindirian, kononnya, mereka yang keluar Umno kerana takut bayaran angsuran kereta Ninja King tidak terbayar.

Sebenarnya, senario yang sama juga berlaku, semasa Umno mengembangkan sayapnya ke Sabah tahun 1990 (secara rasmi 1991). Masa itu ahli dan penyokong USNO dan PBS juga menganggap perkara yang sama, namun selepas 23 tahun, Umno telah menjadi parti terbesar di Sabah dalam segi jumlah keahlian.

Hakikatnya perkara tersirat lambat diketahui. Apabila lama kelamaan rakyat tahu maksud tersirat itu, maka mereka akan berlumba-lumba menyertai sesebuah parti. 

Pada masa ini, perkara tersurat yang rakyat nampak khususnya ahli Umno yang tidak menyertai PPBM, bahawa Umno/Bn akan bangkit semula pada PRU-15. 

Memang kebangkitan Umno/Bn dengan kerjasama PAS akan berlaku di Semenanjung. Perkara utama kebangkitan itu, kerana faktor komposisi rakyat di Semenanjung. Kaum melayu dan islam akan kembali kepada Umno/Bn dan Pas, namun di Sabah, tidak lah demikian. Di Sabah, tiada suku kaum yang boleh menang pilihan raya jika tiada sokongan kaum lain.

Mereka yang menyertai PPBM dan bukannya PWS, kerana mereka melihat, bahawa suatu hari nanti, PWS bukan sebuah parti yang benar-benar menjaga pribumi Sabah, sebaliknya parti itu lebih bercorak sebagai parti perniagaan, parti sendirian berhad, mempergunakan peluang yang diperolehi untuk mendapatkan kuasa dan seterusnya memperkaya para kroni dan handai taulan.

PWS suatu hari kelak bakal mencontohi Parti berjaya, kerana kedua-dua parti itu adalah parti berbilang kaum. Memang pada masa ini, berbagai kaum menyokong parti itu termasuk kaum cina dan KDMR, seperti mana juga Parti Berjaya yang memerintah daripada tahun 1976-1985. Apabila Berjaya ditolak kaum cina dan KDM, maka terkuburlah parti itu.

Kehadiran PPBM, tidak mahu mengulangi keadaan yang dihadapi Bn Sabah apabila kaum cina menolaknya, berlakunya pengkhianatan daripada parti komponen, maka kehilangan kuasa. Bn Sabah menghadapi kekekangan masa itu, Umno hanya bertanding di kawasan bumiputera islam, di kawasan KDM, adalah parti komponen yang mengwakili kawasan sedemikian. Namun, sebaliknya akan berlaku pada PPBM, parti itu boleh bertanding di semua kawasan bumiputera islam atau bukan, kerana parti itu mewakili pribumi tanpa melihat latar belakang agama.

Satu masa kelak, PPBM bakal menjadi parti terbesar Sabah, kerana dapat menghimpunkan seluruh pribumi. Untuk sementara, daripada 60 kawasan Dun, 52 adalah kawasan pribumi, manakala daripada segi kawasan parlimen, hanya Parlimen Kota Kinabalu dan Sandakan bukan kawasan pribumi.

Menyatunya pribumi Sabah akan mencontohi berpadunya kaum melayu islam di Semenanjung. Menerusi senario demikian, maka kestabilan politik akan wujud di negara ini, kerana terbukti, selama lebih 60 tahun, apabila kaum majoriti berkuasa, tidak meminggirkan kaum minoriti, malah mereka telah menguasai kek ekonomi negara.

Tuesday, February 12, 2019

KAMI AKAN PUTUSKAN-IKUT SHAFIE APDAL ATAU SHAFEE ABDULLAH? TUN DR MAHATHIR

Tun Dr Mahathir menegaskan samada PPBM masuk ke Sabah atau sebaliknya, bergantung keputusan parti itu sendiri, dan tidak tertakluk pada mana-mana pihak, termasuk pandangan Parti Warisan Sabah.

Pengerusi PPBM itu mengatakan bahawa Datuk Shafie Apdal sebagai Presiden Parti Warisan Sabah mempunyai pandangan tersendiri, namun pandangan itu tidak mengikat PPBM.

Tun Dr Mahathir apabila ditanya, berkaitan bantahan PWS terhadap PPBM untuk mengembangkan sayapnya ke Sabah- Perdana Menteri itu menjawab -"Kami akan tentukan, samada ikut Datuk Shafie Apdal atau Tan Sri Shafee Abdullah" satu sindiran, yang akan menyebabkan Shafie terikat!!!.

Berasaskan perkembangan terkini, kenyataan mantan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah- Datuk Hajiji Haji Noor pada 6 Februari, bahawa PPBM akan melebarkan sayapnya ke Sabah dalam masa terdekat, ada hubung kait dengan kenyataan Pengerusi PPBM itu pada Selasa (hari ini).

Kemasukkan PPBM akan menjadikan politik Sabah semakin rancak, khususnya di kawasan bumiputera islam.

Sejarah politik Sabah, kerajaan yang ditunjangi parti tempatan boleh bertahan 2 penggal (9 tahun), namun kerana situasi dan kondisi politik sudah berubah, ada kebarangkalian, sejarah itu tidak akan berulang.

Tuesday, February 05, 2019

APABILA KEMAJUAN TIDAK DIHARGAI

Kata peribahasa kerana nila setitik, maka susu sebelanga rosak binasa, kerana seekor kerbau membawa lumpur semua terpalit. Senario ini lah yang berlaku pada PRU-14, apabila akibat fitnah maka nila dicipta, seekor kerbau membawa lumpur dicipta. Apa yang mendukacitakan lagi, ada kawan-kawan menjadi pengkhianat, dan menikam kawan sepasukan. Semua itu berlaku, kerana ketamakan, dan kepentingan diri sendiri.

Sudah lah ada kawan khianat, menikam belakang, malah ada yang menjadi dalang/konspirator untuk menjatuhkan kawan dan pasukan.

Pada PRU-14, rakyat Sabah dipersimpangan, ada yang menghargai pembangunan dan kemajuan yang di bawa kerajaan dan pemimpin dahulu, tetapi ada juga terperdaya dengan fintah yang diselebungi dengan dendam.

Dalam bahasa komputer, jika sampah sebagai input, maka output juga sampah, what you see what you get, sebab itu lah selama 10 bulan pertukaran kerajaan, yang berlubuk dalam hati rakyat, hanya maki hamun, marah, namun kata peribahasa, nasi sudah menjadi bubur.

Ada lah sia-sia pengguna jalan raya Telupid Beluran, yang mengalami kemalangan, kerana jalan raya yang tidak diselenggara, walaupun Menteri yang menjaga jalan raya berjanji jauh sebelum Tahun Baru Cina, jalan itu akan dibaiki, namun ianya tidak juga dibaiki, sehinggakan ramai jadi mangsa jalan tersebut.

Kepada pengundi muda, yang beria-ia sangat mengubah kerajaan, kerana termakan janji-janji, kini bukan sahaja putih mata, PTPTN tetap sahaja membayar, BRIM untuk bujang mansuh, peluang pekerjaan bukan bertambah, tetapi ramai yang dibuang kerja, harga barangan tidak turun, malah terus meningkat, maka sara hidup terus juga meningkat.

Malah sempena perayaan Tahun Baru ini, para peniaga  mengalami penurunan jualan yang sangat ketara sekali, apabila kompleks beli belah, lenggang daripada pelanggan. Mereka terpaksa menerima impak daripada tindakan sendiri yang tidak menghargai sebuah kemajuan yang dirancang sedemikian baik sekali oleh kerajaan dahulu. Benar lah kata peribahasa, jangan sesekali mencurahkan air di tempayan, apabila mendengar guruh di langit, jangan sama sekali percaya, pada janji bulan bintang, kerana bintang yang diharap, terbit di waktu siang hari.

Blog Archive