Monday, March 18, 2019

SATU HARI NANTI RAKYAT SABAH TERSEDAR MENGAPA PPBM MASUK SABAH

DALAM politik ada dua perkara pokok yang tersurat dan yang tersirat. Mereka yang tidak mahu PPBM masuk atau mereka yang enggan menyertainya hanya melihat yang tersurat.

Di Sabah dua kelompok yang hanya melihat yang tersurat, mereka itu adalah penyokong Umno dan penyokong Warisan.

Mereka yang melihat yang tersurat ini, mendakwa bahawa mereka yang menyertai PPBM adalah kumpulan cari makan, malah ada pemimpin Umno kawasan Sepanggar, memuat naik di laman facebook beliau, dengan kata sindirian, kononnya, mereka yang keluar Umno kerana takut bayaran angsuran kereta Ninja King tidak terbayar.

Sebenarnya, senario yang sama juga berlaku, semasa Umno mengembangkan sayapnya ke Sabah tahun 1990 (secara rasmi 1991). Masa itu ahli dan penyokong USNO dan PBS juga menganggap perkara yang sama, namun selepas 23 tahun, Umno telah menjadi parti terbesar di Sabah dalam segi jumlah keahlian.

Hakikatnya perkara tersirat lambat diketahui. Apabila lama kelamaan rakyat tahu maksud tersirat itu, maka mereka akan berlumba-lumba menyertai sesebuah parti. 

Pada masa ini, perkara tersurat yang rakyat nampak khususnya ahli Umno yang tidak menyertai PPBM, bahawa Umno/Bn akan bangkit semula pada PRU-15. 

Memang kebangkitan Umno/Bn dengan kerjasama PAS akan berlaku di Semenanjung. Perkara utama kebangkitan itu, kerana faktor komposisi rakyat di Semenanjung. Kaum melayu dan islam akan kembali kepada Umno/Bn dan Pas, namun di Sabah, tidak lah demikian. Di Sabah, tiada suku kaum yang boleh menang pilihan raya jika tiada sokongan kaum lain.

Mereka yang menyertai PPBM dan bukannya PWS, kerana mereka melihat, bahawa suatu hari nanti, PWS bukan sebuah parti yang benar-benar menjaga pribumi Sabah, sebaliknya parti itu lebih bercorak sebagai parti perniagaan, parti sendirian berhad, mempergunakan peluang yang diperolehi untuk mendapatkan kuasa dan seterusnya memperkaya para kroni dan handai taulan.

PWS suatu hari kelak bakal mencontohi Parti berjaya, kerana kedua-dua parti itu adalah parti berbilang kaum. Memang pada masa ini, berbagai kaum menyokong parti itu termasuk kaum cina dan KDMR, seperti mana juga Parti Berjaya yang memerintah daripada tahun 1976-1985. Apabila Berjaya ditolak kaum cina dan KDM, maka terkuburlah parti itu.

Kehadiran PPBM, tidak mahu mengulangi keadaan yang dihadapi Bn Sabah apabila kaum cina menolaknya, berlakunya pengkhianatan daripada parti komponen, maka kehilangan kuasa. Bn Sabah menghadapi kekekangan masa itu, Umno hanya bertanding di kawasan bumiputera islam, di kawasan KDM, adalah parti komponen yang mengwakili kawasan sedemikian. Namun, sebaliknya akan berlaku pada PPBM, parti itu boleh bertanding di semua kawasan bumiputera islam atau bukan, kerana parti itu mewakili pribumi tanpa melihat latar belakang agama.

Satu masa kelak, PPBM bakal menjadi parti terbesar Sabah, kerana dapat menghimpunkan seluruh pribumi. Untuk sementara, daripada 60 kawasan Dun, 52 adalah kawasan pribumi, manakala daripada segi kawasan parlimen, hanya Parlimen Kota Kinabalu dan Sandakan bukan kawasan pribumi.

Menyatunya pribumi Sabah akan mencontohi berpadunya kaum melayu islam di Semenanjung. Menerusi senario demikian, maka kestabilan politik akan wujud di negara ini, kerana terbukti, selama lebih 60 tahun, apabila kaum majoriti berkuasa, tidak meminggirkan kaum minoriti, malah mereka telah menguasai kek ekonomi negara.

No comments:

Blog Archive