AKHIR-AKHIR ini begitu kencang terdengar ungkitan bahawa peruntukan pembangunan untuk negeri-negeri miskin termasuk Sabah lebih tinggi berbanding negeri lain, dan di masa depan, agihan disusun semula, tidak lagi memberi keutamaan pada negeri-negeri tersebut, melainkan agihan akan disama ratakan antara negeri.
Dakwaan adalah, walaupun negeri-negeri miskin diberi peruntukan lebih, akan tetapi pengurusan di peringkat negeri lemah, maka negeri-negeri tersebut kekal dengan pembangunan fizikal yang daif, sedangkan Melaka dan Negeri Sembilan, jauh lebih baik.
Di negara ini tiga negeri kaya, iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Johor.
Menerusi cadangan daripada menteri yang menjaga ekonomi negara jika diterima pakai oleh kabinet, maka usaha merapatkan pembangunan antara negeri kaya dengan miskin bukan lagi keutamaan Persekutuan. Ertinya, sesebuah negeri yang termasuk dalam kelompok 9, perlu berusaha sendiri untuk memajukan negeri masing-masing.
Dengan adanya isyarat sedemikian, Sabah perlu bertindak proaktif sesuai dengan haknya dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), untuk memastikan setiap hak perlu diperolehi, sebagai upaya membangun dan memajukan negeri.
Lebih 50 tahun Sabah berkompromi dengan hak-haknya, kerana bertolak ansur dalam bernegara dan bertoleransi dengan negeri-negeri lain dalam agihan kutipan hasil.
Oleh kerana adanya ungkitan berkaitan agihan peruntukan pembangunan persekutuan, maka ianya sebagai “wake up call” bagi Sabah bertindak untuk menuntut hak-hak negeri dilunaskan tanpa tertangguh lagi.
Penulis tidak bermaksud mengulas berkaitan negeri lain yang mendapat agihan peruntukkan pembangunan daripada Persekutuan yang dikatakan besar, akan tetapi penulis hanya memberi fokus pada Sabah.
Betul bermula 3 tahun lalu, Sabah diberi peruntukan melepasi angka RM3bilion, dan untuk tahun 2023 berjumlah RM6.3blion. Penulis suka mengambil peruntukkan terakhir ini untuk mengulas apa kah jumlah itu cukup besar untuk tujuan pembangunan untuk Sabah. Sabah adalah negeri besar 56% keluasan Semenanjung daripada Johor hingga ke Perlis.
Dengan keluasan sedemikian, peruntukan RM6.3bilion atau kira-kira 10% peruntukan Pembangunan Persekutuan, adalah kecil jika dihubungkan dengan keluasan.
Peruntukan pembangunan adalah pembangunan fizikal atas permukaan tanah, tidak berkaitan dengan jumlah penduduk. Seharusnya jika dihubungkaitkan dengan pembangunan fizikal (kemudahan asas) sepatutnya Sabah mendapat 56%, daripada keseluruhan peruntukan pembangunan. Jika peruntukan pembangunan RM50bilion, maka untuk Sabah berjumlah RM28 bilion.
Peruntukan pembangunan bertujuan menseimbangkan pembangunan fizikal atas permukaan tanah.
Oleh kerana peruntukan pembangunan untuk Sabah lebih setengah abad cukup kecil, maka patutpun pembangunan fizikal tetap ketinggalan.
Para pemimpin Sabah pada hari ini, rentas fahaman politik, tiada pilihan melainkan perlu bersatu hati menuntut hak-hak Sabah dalam MA63, kerana hanya terealisasinya hak-hak itu, maka berpeluang untuk membangun kemudahan asas yang diperlukan rakyat.
Sabah perlu menoktahkan sindiran, jalan raya seperti permukaan bulan, bekalan elektrik bagaikan “candle light” antara dua insan bercinta, kerana suka pada suasana remang-remang.
Sabah wajar berterima kasih ada menteri yang mendapat idea, agar agihan peruntukan pembangunan Persekutuan dikaji semula, dan diberikan sama rata antara negeri. Peluang seperti ini, ada lah peluang keemasan, untuk mendapatkan hak yang telah dinafikan berdekad.
No comments:
Post a Comment