BERMULA 31 Ogos 2023, hari Sabah disambut secara rasmi, bermakna ianya menjadi simbolik bahawa Sabah akan terus diurus oleh rakyat Sabah.
Mengurus dalam erti kata yang luas, ertinya termasuk politik, ekonomi dan hal ehwal negeri.
Mengurus negeri secara sendiri bukan bermakna anti rakyat negeri lain, mengurus negeri dalam erti kata maju mundurnya negeri terletak di tangan rakyat Sabah sendiri.
Tiada yang lebih tahu mengurus negeri, melainkan rakyatnya sendiri. Tiada yang lebih tahu keperluan negeri dan rakyatnya melainkan kita sendiri.
Jadikan pengalaman lebih setengah abad sebagai sempadan dan iktibar, dan sama-sama kita semua berharap dan berdoa tidak berulang lagi.
Kita di Sabah perlu sedar kekuatan kita, iaitu rakyat berbagai kaum dan agama.
Kita sama-sama sedar, bahawa kekuatan kita sangat bergantung keterpaduan tiga elemen- pemimpin-etnik/kaum-kawasan/daerah. Tanpa keterpaduan, kita terbahagi pada kelompok-kelompok kecil, yang akhirnya bertukar pada kelemahan. Apabila kita kenampakan lemah, maka mudah lah diperkotak katikkan dan dipecah-pecahkan, sehinggakan kita berbalah sesama sendiri.
Mengimbas kelemahan lalu, bukan bererti kelemahan di masa depan, sebaliknya ianya dijadikan pedoman dan pengajaran untuk melangkah lebih pasti.
Jadikan pengalaman lalu sebagai kekuatan untuk mengurus negeri agar rakyat sejahtera di masa hadapan.
Kita di Sabah sudah mempunyai dua pendorong/pembakar semangat, pertama visi negeri meminjam jata negeri- Sabah Maju Jaya dan kedua menjadikan 31 Ogos sebagai HARI SABAH.
No comments:
Post a Comment