Wednesday, May 17, 2023

PENYEDIAAN KEMUDAHAN ASAS: DANA MENJADI PENGHALANG

APABILA rungutan rakyat Sabah berkaitan kemudahan elektrik, dan agensi yang mengurus utiliti itu, Lembaga Letrik Sabah (LLS) tidak berkeupayaan, maka Tenaga Nasional (TN) mengambil alih agensi itu daripada Kerajaan Negeri, lalu menubuhkan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dengan keyakinan menerusi pengambil alihan itu, masalah bekalan letrik pada pengguna dapat diatasi.

Kini selepas 24 tahun, kerajaan Sabah akan mengambil alih semula pembekal utiliti itu, atas sebab peluang yang diberikan pada Tenaga Nasional tidak seperti mana diharapkan, malah bakal mewariskan kedaifan rangkaian bekalan tenaga itu kepada kerajaan negeri.

Semakin menghampiri masa-masa untuk pengambil alihan syarikat utiliti daripada syarikat gergasi nasional itu, semakin kerap pula berlaku gangguan bekalan, malah tidak terhad lagi pada kawasan-kawasan kecil akan tetapi menyeluruh.

Semalam, walaupun tiada kenyataan daripada syarikat utiliti itu berkaitan gangguan bekalan, akan tetapi berasaskan maklum balas daripada rakan-rakan media sosial, gangguan itu hampir meliputi separuh kawasan di Sabah.

Daifnya kemudahan asas di Sabah, adalah sumbangan berbagai faktor, selain dana yang terhad juga pengurusan yang timpang.

Selepas kemudahan asas berkaitan tenaga yang cuba diselesaikan 24 tahun lalu, akhirnya tidak selesai,malah bertambah kronik, kini giliran bekalan air bersih pula.

Penyediaan bekalan air bersih cuba diatasi dengan peruntukan besar daripada kerajaan Persekutuan yang disalurkan menerusi KKLW suatu masa lalu, selain peruntukan daripada kerajaan negeri. Namun kesan ketirisan peruntukan yang dilakukan oleh mereka yang diberi amanah, telah menyebabkan bekalan kemudahan asas itu mencontohi bekalan tenaga semasa diambil alih oleh TN pada tahun 1998.

Kerana kroniknya bekalan air bersih untuk Sabah, maka Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan perlu bertanggungjawab untuk mengatasinya. Menerusi pengumuman itu, maka disalah tafsir oleh pihak parti pembangkang, bahawa pengurusan air Sabah bukan sahaja diambil alih, akan tetapi kerajaan negeri menyerahkannya sepertimana berlaku pada LLS pada tahun 1998.

Oleh kerana salah tanggapan tersebut, Ketua Menteri terpaksa mengeluarkan kenyataan ringkas, bahawa “Kerajaan Negeri sedang melaksanakan pelan perancangan kita sendiri untuk menangani masalah bekalan air dengan bantuan Kerajaan Persekutuan. Kita percaya masalah itu boleh diselesaikan dengan lebih cepat. Apa yang dimaksudkan oleh YAB Perdana Menteri, Kerajaan Persekutuan akan membantu dalam pengurusan masalah air ini dengan menyediakan peruntukan yang lebih besar seperti di Kelantan”.

Penulis tidak mahu menunding jari pada mana-mana pihak berkaitan kegagalan penyediaan/membangunkan kemudahan asas, atas sebab penyediaannya memerlukan dana besar, sedangkan kerajaan negeri tidak berkeupayaan menyediakannya.

Pembiayaan boleh diperolehi menerusi pinjaman (soft loan atau terbit bon), geran persekutuan. Akan dibahas kah pada sidang DUN Sabah pada 22-25 Mei ini?

Penulis yakin ada wakil rakyat akan membangkitkan berkaitan isu ini, kerana isu ini dilihat sangat mendesak.

No comments:

Blog Archive