Thursday, May 18, 2023

PENGUNDI BAHARU DAN MUDA MENENTU LANSKAP POLITIK NEGARA

PENULIS tidak mempunyai data lengkap jumlah pengundi baharu dan muda (pada PRU 15 diistilahkan undi kali pertama dan undi 18) yang keluar mengundi pada PRU itu, namun keputusan pada PRU itu berbeza dengan keputusan pilihan raya yang diadakan sebelum pengelibatan kategori pengundi dalam dua kategori itu.

Setakat ini penulis belum terbaca mana-mana analisis trend pengundi dua kategori itu pada keputusan PRU-15, walaupun secara umumnya terdapatnya berbagai laporan, bahawa kemenangan luarbiasa calon-calon Perikatan Nasional (PN) dan Pas kerana kesan undi daripada dua golongan pengundi itu.

Pilihan raya negara ini sudah lepas landas daripada 14 PRU lalu, kesan pengelibatan undi-18, selain undi kali pertama yang didaftarkan secara automatik.

Perkembangan maklumat tanpa sempadan yang boleh diakses di negara kita, seperti keputusan pilihan raya umum Thailand pada 14 Mei 2023, yang mana parti pilihan pengundi muda Move Forward Party (MFP) yang dipimpin pemimpin berumur 42 tahun Pita Limjaroenrat keluar sebagai parti yang menang kerusi terbanyak.

Semangat orang muda, di negara mana pun, hampir sama, dan mempunyai kecenderungan yang hampir serupa.

Penulis berpandangan di negara kita juga kesan undi kali pertama dan undi 18 serta pengundi muda, akan mewarnai 6 PRN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pengelibatan pengundi muda, dengan sendirinya menjadi halangan utama bagi parti-parti yang menghandalkan penyokong tegar dan tradisi, kerana mungkin nisbah yang sudah berubah.

Pengundi muda tidak bergantung lagi dengan cara konvensional, seperti jelajah, ceramah besar-besaran, konvensyen akan tetapi menerusi plaform media sosial.

Para pemimpin parti bermula daripada sekarang perlu bertanya pada diri masing-masing, sejauh mana terobosan mereka pada kategori pengundi baharu ini.

Pengundi baharu adalah para pengundi yang tidak terikat dengan mana-mana pihak, kerana mungkin mereka ini belum mempunyai pekerjaan yang tetap, masih mencari-cari peluang, dan sudah tentunya sebahagian daripada mereka masih berstatus pelajar atau penuntut.

Pada pilihan raya Thai, kemenangan dua parti MFP dan Phua Thai yang mendapat sokongan pengundi muda, tidak boleh dipandang ringan oleh pemimpin politik negara ini, kerana berkemungkinan besar menjadi ikutan pengundi muda negara.

No comments:

Blog Archive