PENGALAMAN susah semasa awal persekolahan, setidak-tidaknya menjadi panduan pada Datuk Seri Hajiji Haji Noor membantu golongan bakal pelajar dan pelajar serta mahasiswa yang merupakan modal insan untuk merealisasikan harapan masa depan.
Belum pernah berlaku sebelum ini, perhatian yang cukup besar diberikan pada golongan ini, termasuk bantuan yang terkait dengannya, sebagai pemudah cara atau setidak-tidaknya meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung.
Tersangat jelas, bantuan yang diberikan, mempunyai misi serampang mata- tiada anak Sabah tercicir daripada meningkatkan ilmu pengetahuan, dan apabila berjaya, maka menjadi modal insan yang memberi manfaat kepada kemajuan dan pembangunan negeri.
Pembangunan modal insan adalah sebahagian daripada strategi Sabah Maju Jaya (SMJ). Mencerdikkan rakyat Sabah menerusi peningkatan ilmu pengetahuan, adalah upaya yang sangat strategik bagi kemajuan dan pembangunan negeri masa depan.
Ilmu pengetahuan adalah asas utama peningkatan kehidupan, kerana melalui ilmu lah manusia boleh maju ke hadapan dan membina kehidupan yang lebih baik.
Bagi umat islam, perkara pertama diperintahkan Allah SWT adalah membaca (ilmu) dan berdoa setiap pagi, agar dijadikan cerdik. Dengan pemahaman demikian, perkara pokok yang kerap didepani dalam proses menimba dan mendapatkan ilmu adalah kewangan.
Memandangkan masih ramai ketua isi rumah rakyat negeri berada pada golongan B40, beban kewangan untuk menghantar melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi adalah halangan utama, sedangkan ramai di antara anak-anak tersebut mempunyai bakal terpendam atau semulajadi, dan jika digilap dan diasah, boleh menjadi modal insan yang berguna.
Atas sebab latar belakang ini, maka kerajaan GRS-BN Sabah yang diterajui Hajiji telah memperkenalkan dan melancarkan inisiatif-inisiatif berkaitan pembangunan modal insan, dan yang terbaharu, pelancaran TABUNG PENDIDIKAN NEGERI SABAH (TPNS) yang diselaraskan melalui Yayasan Sabah.
TPNS adalah inisiatif terkini diperkenalkan, sejak SMJ dilancarkan pada Mac,2021. Inisiatif-inisiatif lain adalah BUDI (Bantuan Tunai Pendaftaran IPT-bagi pelajar tanpa tajaan); BAKTI (Bantuan Khas Tunai Peperikasaan); BAIK (Bantuan Ihsan Komputer-bagi mereka yang layak); BAGUS (Bantuan Aktiviti PIBG Sabah); BISBAH (Bantuan Ihsan Sekolah Sabah); AKSA (Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah); dan BISTARI (Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Negeri Anak Kelahiran Sabah).
No comments:
Post a Comment