Saturday, May 30, 2020

TIDAK SELAMANYA 1+1=2


DIKALANGAN kaum melayu dan islam, Muafakat Nasional (MN) iaitu piagam antara Parti Umno dan Parti Pas, dapat menghimpunkan pengundi yang menyokong Umno dan pengundi yang menyokong Pas, dengan kata lain 1 campur 1 adalah 2. Sebab itu dua parti itu begitu yakin bahawa pengundi yang mengundi masing-masing parti pada PRU-14 juga adalah penjumalahan dijadikan undi MN.

Atas sebab itu menjelang PRK Dun Chini pada Julai, ada pihak daripada dua parti tersebut menyarankan, agar PRK itu dibiarkan tanpa pertandingan, atau dengan kata lain, PH tidak lah perlu meletakan calon, kerana berasaskan keputusan PRU-14, jumlah undi calon PH terlalu jauh berbanding undi calon UMNO, PAS, apatah lagi jika dijumlahkan undi dua parti tersebut. Untuk rekod pada PRU-14, calon Umno- Allahyarham Abu bakar Harun mendapat undi 10,027; calon PAS Mohd Fadhil Abdul Karim 5,405 dan calon PH (Bersatu) Mohamad Razali Ithnain 1,065. Calon Bn/Umno menang dengan majoriti 4,522 undi daripada undi calon terdekat.

Jika anggapan MN, akan mendapat undi 10,027 + 5,405, maka lojik lah saranan agar PH tidak meletakkan calon.

PRK sebenarnya, bukan sahaja gelanggang untuk memilih wakil rakyat pada kawasan tersebut oleh sesebuah parti, tetapi PRK ada lah medan depan bagi parti-parti yang terlibat menerangkan kepada rakyat secara langsung misi dan visi masing-masing. Atas sebab itu, walaupun dikatakan calon PH akan kecundang, akan tetapi parti itu perlu bertanding dan menggunakan peluang itu menerangkan atau memperjelaskan visi dan misi parti mereka, sebagai bekalan untuk PRU-15. 

Juga MN, PRK Chini juga boleh menjadi medan pemanas badan jika ada pertandingan untuk mengharungi PRU-15.

Era komunikasi yang sangat pantas sekarang, jikapun PRK di satu kawasan seperti DUN Chini, akan tetapi mesej yang disampaikan di kawasan tersebut semasa tempoh kempen akan sampai ke seluruh pelosok tanah air.

PH perlu bertanding di PRK Chini untuk menyuburkan demokrasi, selain pemudah cara untuk mengwujudkan dua sistem kepartian di negara kita.

Sistem dua parti semacam mula bertapak, seperti mana berlakunya perubahan kerajaan selepas 22 bulan. Kini, sangat jelas antara kerajaan dan pembangkang hanya dipisahkan 3 kerusi, kelebihan yang sangat tipis.

Atas sebab rakyat belum terbiasa dengan perbezaan antara parti kerajaan dan pembangkang yang begitu tipis, maka ramai yang menganggap bahawa kerajaan yang ada sangat tidak stabil. Sedangkan tidak demikian. Kerajaan Kelantan telah membuktikan selepas PRU 2004, yang mana kerajaan hanya mempunyai kelebihan 2 kerusi, tetapi stabil sehingga habis penggal.

Memang di kala ini, ramai rakyat khususnya penyokong Umno bergembira kerana telah menjadi sebahagian daripada kerajaan, baik di peringkat Persekutuan, mahupun di negeri-negeri seperti Johor, Melaka, perak, Kelantan dan Terengganu. Selain itu kegembiraan para penyokong Bersatu juga tidak ketinggalan, kerana kekal sebahagian daripada kerajaan, kecuali di Sabah, Selangor dan Pulau Pinang.

Demikian juga para penyokong Pas, perasaan mereka sama seperti mana dirasakan penyokong Umno dan Bersatu.

Di kalangan penyokong tiga parti itu, sebenarnya tiada masalah, kerana penggabungan antara mereka menjadi satu kumpulan yang sangat signifikan ramainya.

Walaupun diantara para penyokong kelihatan sebagai satu pasukan, masalah besar yang menanti adalah apabila tiba pilihan raya, iaitu daripada segi pengaihan kerusi.

Dalam pengagihan kerusi antara Umno, Pas dan Bersatu akan berlaku konflik yang sangat luar biasa, kerana ketiga-tiga parti tersebut berenang dalam kolam yang sama, iaitu kawasan melayu/bumiputera.

Umno dengan sejarahnya pernah menguasai 88 kerusi parlimen majoriti melayu, Pas dengan 31 kawasan parlimen di kawasan yang didiami kaum melayu/islam. Kawasan yang dikuasai Bersatu sekarang ini adalah juga sebahagian daripada kawasan-kawasan yang pernah dikuasai Umno dan Pas.

Pengagihan kerusi semasa pilihan raya, adalah cabaran utama yang bakal dihadapi oleh tiga parti tersebut. Jika rundingan atau pengurusan tidak dicapai dengan sebaik-baiknya, dengan menggunakan cara menarik rambut daripada tepung, maka tidak mustahil, akan berlaku menang jadi arang kalah jadi abu.

Politik cantas mencatas bukan baharu dalam poltik Malaysia, ianya sudah mendarah daging. Politik kepura-puraan atau “bubble’ sesuatu yang nyata, manis di depan jadam di belakang.

Dalam politik, sehebat manapun pemimpin itu, ego,irihati, akan jadi panutan, kerana setiap manusia tidak terlepas dengan nafsu.

Mungkin, dalam percaturan pengagihan kerusi, para pemimpin yang mempunyai nama akan lebih selamat, namun bagi yang bukan, akan tenggelam dan seterusnya menjadi sebahagian daripada kekalahan secara menyeluruh.

Jangan lupa, dalam pilihan raya sistem yang digunakan di negara ini adalah FPTP-First Past The Post. Pemenang tidak semestinya yang mendapat sokongan popular.

Pergaduhan tersembunyi bukan sahaja berlaku di peringkat parlimen akan tetapi diperingkat dewan undang negeri (DUN). Di Negeri Sabah misalnya, tidak terbayangkan pergaduhan tersembunyi antara Umno dan Bersatu, kerana masing-masing merasa handal di kawasan-kawasan bumiputera. Mungkin di peringkat pemimpin dapat diselesaikan agihan kerusi, akan tetapi di peringkat akar umbi, tidak lah demikian. Pengalaman PRU-14 lalu, pemimpin seperti Datuk salleh Tun Said, Datuk Rahman Dahalan, Datuk Ghafur Salleh, Datuk Sapawi Ahmad, dan ramai lagi menjadi mangsa pergaduhan tersembunyi di peringkat akar umbi.

Apa yang ditakuti dalam Perikatan nasional, adalah bagaimana mengatasi pertembungan antara 3 parti- Umno, Pas dan Bersatu. Mungkin Pas, akan lebih sederhana pendekatannya, tidak lah sangat mengimpikan sebagai lead parti, tetapi Umno? Bersatu?.

Umno sejak merdeka merupakan parti yang lead dalam kerajaan, sehingga lah tumbang pada 9 Mei, 2018.  Dalam kerajaan PN, terpaksa akur dengan keadaan walaupun merupakan parti yang terbanyak kerusi, kerana menghormati Tan Sri Muhiyiddin Yassin yang sanggup keluar daripada Pakatan Harapan dan bekerjasama dengan parti lawan untuk menubuhkan kerajaan.

Mungkin telah ditakdirkan para pemimpin Umno yang dikira “warlord” mempunyai masalah peribadi, sehinggakan terpaksa memendam rasa. Jika bukan kerana palitan masalah peribadi, ada kemungkinan, kerajaan PN tidak bakal wujud.

Penulis melihat, kerajaan PN adalah kerajaan sementara sehingga PRU-15. Selepas itu, sangat bergantung kepada rundingan, parti mana yang akan lead dalam pilihan raya. Juga, apa kah Umno atau Pas masih memberikan kawasan-kawasan yang disandang para pemimpin Bersatu untuk terus bertanding di kawasan masing-masing?  Hanya masa yang menentukan. Atas pertembungan antara 3 parti tersebut, maka yang biasanya 1+1=2, tidak selamanya demikian. Sama-sama kita lihat nanti solusi dan hasilnya.

No comments:

Blog Archive