Monday, November 18, 2019

BAJET SABAH TAHUN 2020-KURANG PENYERTAAN RAKYAT

BAJET SABAH tahun 2020 lebih kecil berbanding bajet tahun 2019, hanya kerana merudumnya harga CPO (kelapa sawit), bermakna kutipan cukai berkurang yang biasanya menyumbang RM900 juta kepada hasil negeri. 

Walaupun kutipan hasil daripada CPO menurun akan tetapi volume kewangan yang tercipta berbilion banyaknya.

Aktiviti ekonomi seperti peladangan mempunyai matalamat berganda, antara lain sumber pendapatan kepada pengusahanya, membuka peluang pekerjaan, dan hasil cukai kepada kerajaan. 

Malangnya menerusi Bajet Sabah kutipan hasil negeri yang berpunca daripada kutipan cukai hanya 35.66% daripada keseluruhan pendapatan, manakala bakinya sebesar 64.34% merupakan hasil bukan cukai termasuk royalti petrolium. Melihat kepada nisbah tersebut, hasil kerajaan KURANG melibatkan penyertaan rakyat, sebaliknya hanya tertumpu kepada syarikat-syarikat besar atau kontraktor besar. 

Nampak gayanya, pembangunan Sabah akan terus dipancu menerusi kutipan hasil bukan cukai, ertinya kembali kepada era pembalakan di Sabah di tahun 70-an dan awal 80-an di mana hasil Sabah bersumber daripada penjualan kayu balak. Hal hasil daripada itu, sehinggakan balak hampir musnah, pembangunan dan Kemajuan Sabah tidak berganjak malah semakin terbelakang. 

Ketua Menteri Sabah-Datuk Shafie Apdal begitu bangga dengan RM1.7bilion royalti petronas kepada Sabah, dan sudah tentunya sebahagian besar dana ini akan digunakan untuk membayar gaji, perkhidmatan dan pembangunan, dalam erti kata, seperti seseorang yang makan gaji, ujung bulan habis gaji. 

Sepatutnya sebuah Bajet yang mapan, apabila hasil bukan cukai di bawah 30%, dan atas 70% merupakan kutipan daripada cukai, kerana keadaan ini menunjukkan aktiviti ekonomi rancak. Penulis tidak mengerti mengapa Tema Bajet Sabah tahun 2020 MERANCAKKAN PEMBANGUNAN UNTUK KEEJAHTERAAN RAKYAT, sedangkan yang merancakkan hanya melibatkan para kontraktor. 

Cuba bayangkan jika Sabah tidak dikurinakan oleh Tuhan harta karun seperti minyak atau sumber hutan, apa kah Sabah mampu membentangkan kutipan hasil sebesar RM4.19bilion, sudah tentu tidak.

Sebelum sumber minyak pupus seperti mana berlaku pada kayu balak, Kerajaan Sabah perlu menggariskan HALATUJU yang jelas untuk merancakkan perekonomian, dan kemudian hasil daripada aktiviti ekonomi itu diputar digunakan untuk membangun Negeri. Jika cara ini terus digunakan, maka peluang-peluang pekerjaan untuk menampung pencari kerja yang saban tahun bertambah tidak akan tertampung. Hanya menerusi aktiviti ekonomi sahaja boleh membuka peluang-peluang pekerjaan, kerana tidak selama sektor awam mampu menampung pencari kerja. Di masa hadapan, kerajaan negeri pasti mengalami kekangan kewangan membayar gaji penjawat awam yang begitu besar yang berjumlah lebih 20 ribu, untuk sebuah negeri yang mempunyai penduduk seramai 3.9 juta.

Seharusnya kerajaan negeri membuka peluang-peluang pekerjaan yang melibatkan perniagaan seperti mana dilaksanakan kerajaan lalu, apabila mengwujudkan POIC, SGOT, SICC, Samur malah ladang udang terbesar di Pitas atau mencontohi MESEJ yang diteruskan oleh kerajaan sekarang.

Sepatutnya, kerajaan memaksimumkan penggunaan tanah milik kerajaan secara maksimum seperti mana pendekatan geran komunal, supaya tanah-tanah tersebut menjadi produktif kerana diusahakan secara berkelompok dan berskala besar seperti mana hasrat Kerajaan PH berkaitan tanah-tanah Felda dan tanah-tanah sawah di Semenanjung. Apabila geran-geran komunal dimansuhkan, menjadi geran individu, maka bukan mudah lagi mengelompak mereka ini, kerana masing-masing dengan angan-angan sendiri, termasuk menjual tanah tersebut untuk mendapatkan keuntungan sekelip mata.

No comments:

Blog Archive