Saturday, September 28, 2019

SHAFIE APDAL BUKTIKAN APA ITU SABAH UBAH

Rakyat Sabah, sudah tentu masih segar dengan keputusan PRU-14 bagi Sabah. Parti yang menerajui Kerajaan Sabah pada hari ini, bukanlah parti yang menang, namun Datuk Shafie Apdal buktikan, apa itu SABAH UBAH!!!.

Langkah Pertama Sabah Ubah, apabila Shafie mengangkat sumpah Ketua Menteri ke-14 Sabah pada malam 12 Mei, 2018, apabila 6 ADUN BN berpaling tadah. (Untuk menyegarkan kembali nama-nama ADUN yang menyebabkan Kerajaan BN pimpinan Tan Sri Musa Aman kehilangan majoriti DUN diambang 12 Mei, mereka itu adalah- ADUN Kemabong-Jamawi Jaafar, ADUN Balung-Osman Jamal, ADUN Sebatik-Abdul Muis Pico, ADUN Tanjong Baru-Hamisa Samat, ADUN Paginatan-Abidin Mandingkir dan ADUN Kedamaian- Ewon Benedick).

Selepas 12 Mei, penulis tidak mencatit lagi, mana-mana ADUN yang menyertai Parti Warisan, kerana kemasukkan mereka itu tidak lagi mengubah status quo, sebaliknya hanya menambah jumlah ADUN Parti Warisan Sabah di DUN Sabah.

Sabah pada PRU-14 lalu menggunapakai 60 kawasan DUN. Untuk membentuk kerajaan, menurut Perlembagaan Negeri, tidak perlu majoriti mudah daripada jumlah itu, akan tetapi memadai parti yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak. Menerusi langkah pertama Shafie, maka beliau menafikan isi kandungan Perlembagaan Negeri, kerana pada 12 Mei semasa beliau mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri, parti yang mempunyai kerusi terbanyak adalah BN, iaitu 23 berbanding dengan Parti Warisan-21.

Langkah kedua Sabah Ubah- apabila Shafie memperbanyak jumlah ADUN parti Warisan menerusi lompat parti. ADUN parti itu sudah berjumlah 32 tidak termasuk ADUN lantikan daripada parti itu. Menerusi langkah kedua ini, Shafie memberi isyarat kepada mana-mana parti yang berkolaborasi dengan beliau pada 12 Mei untuk membolehkan beliau mendapat majoriti mudah daripada 60 kerusi Dun, "tidak diperlukan lagi" kerana Parti Warisan boleh memerintah secara solo tanpa sokongan para ADUN parti lain. Menerusi langkah kedua ini juga, Shafie memberi isyarat kepada mana-mana pihak bahawa beliau dan parti beliau tidak memerlukan sokongan mana-mana pihak, kerana parti Warisan mempunyai kekuatan sendiri. Perasaan sedemikian dikongsikan oleh sebahagian besar pemimpin dan wakil rakyat parti itu.

Langkah ketiga Sabah Ubah- kebarangkalian akan berlaku pada PRU-15, Parti Warisan akan bergerak solo tanpa kolaborasi dengan parti-parti lain, ertinya parti itu akan meletakkan calon bagi seluruh kawasan Dun dan Parlimen.

Hakikat yang menyelubungi para pemimpin parti Warisan adalah masih tersematnya pendirian awal parti itu semasa ditubuhkan bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti. Melihat senario politik semasa, keinginan mereka sudah tercapai, jika dilihat daripada sokongan para wakil rakyat yang menyeberang kepada parti itu.

Parti yang memberi sokongan kepada Kerajaan Warisan, seperti PPBM, kena bermula daripada sekarang mengatur langkah awal untuk berhadapan dengan situasi pada PRU-15.

Latar belakang politik Sabah, boleh sahaja di kawasan Dun berlaku Free Contest antara parti-parti, dan di peringkat Parlimen adanya kompromi untuk tidak saling bertembung, seperti mana berlaku antara Usno-Berjaya dan PBS-USNO di masa lalu.

Perlu diingat, bahawa Parti Warisan mempunyai VISI, SABAH UBAH DAN SABAH KITA PUNYA!!!.


No comments:

Blog Archive