Friday, September 27, 2019

ISU PENCULIKAN RENTAS SEMPADAN SABAH

KATA peribahasa, malang tidak berbau. Mangsa culik, tidak semestinya mereka yang tinggal di kawasan Pantai Timur Sabah, akan tetapi boleh berlaku pada setiap rakyat Sabah khasnya dan Malaysia amnya, termasuk rakyat asing.

Isu penculikan rentas sempadan, tidak semestinya hanya menjadi perhatian pasukan keselamatan, pemimpin, akan tetapi juga rakyat biasa, kerana rakyat biasa juga boleh menjadi mangsa culik.

Sebagai rakyat biasa, sudah tentu ramai yang tertanya-tanya, mengapa kejadian culik rentas sempadan masih berlaku? sedangkan, pasukan keselamatan telah memperketat kawasan Pantai Timur Sabah, termasuk pengwujudan ESSCOM.

Kerana berbagai aset ketentaraan, termasuk anggota telah ditempatkan di kawasan ESSZONE, maka pada 4 September, 2019, semasa upacara serah tugas Komander ATB2 di Padang Kawad Batalion ke-26 rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) Kem Kukusan Tawau, Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato Suhaimi Haji Mohd Zuki, telah menzhairkan keyakinan beliau, bahawa rakyat boleh tidur lena, kerana tidak perlu memikirkan bakal menjadi mangsa culik.

Malang sungguh, kurang tiga minggu selepas keyakinan daripada jeneral tersebut, rakyat Sabah dikejutkan sekali lagi, apabila tiga nelayan rakyat Indonesia yang bekerja dengan Majikan penduduk tempatan menjadi mangsa culik di siang bolong, di perairan Pulau Tambisan, Lahad Datu.

Mengapa kejadian culik masih berlaku? Ada yang mengatakan, punca utamanya, kerana kebenaran menggunakan pam bot semula. Hakikatnya, pam bot, hanya dijadikan sebagai kambing hitam, kerana ianya bukan punca yang konkrit. Memang didapati, para penculik kerap menggunakan pam bot untuk mempermudah atau mengabui mata pasukan keselamatan, namun ianya bukan punca sebenar.

Punca sebenar, ada pada pasukan keselamatan sendiri, bukannya daripada peralatan seperti radar, bot berkelajuan tinggi atau persenjataan, akan tetapi daripada anggota pasukan keselamatan itu sendiri. Bagi pendapat penulis, terlalu sukar bagi penculik yang dikatakan hanya menggunakan pam bot boleh mengatasi aset pasukan keselamatan, namun ianya boleh berlaku, kerana faktor kecuaian daripada anggota pasukan keselamatan itu sendiri. Memang di atas kertas, siap siaga 24 jam, sekatan perjalanan dikuat kuasakan daripada petang hingga ke pagi, namun diluar waktu sekatan itu kurang diambil kira, sebab itu berlaku penculikan dalam tempoh masa itu, seperti mana berlaku pada 23 September, 2019 di kawasan Pulau Tambisan.

Sebenarnya, jika anggota pasukan keselamatan sentiasa siap siaga, maka aset termasuk radar dan sokongannya dapat mengenal pasti pergerakan di laut, seperti mana berlaku pada mantan Pembantu Menteri Kewangan Sabah yang juga mantan ADUN Bugaya Semporna-Datuk Ramlee Marahaban suatu waktu yang lalu, yang di pintas oleh pasukan ATB2, yang disangka sebagai "penculik rentas sempadan".

Melihat kepada keupayaan radar yang dimiliki ATM di kawasan ESSZONE, jika ianya benar-benar dipantau 24 jam, maka sebarang gerakan mencurigakan di kawasan perairan Sabah, dengan mudah dapat dipintas, termasuk kehadiran pam bot.

Hakikatnya, secanggih mana pun aset pasukan keselamatan, termasuk permintaan Ketua Menteri Sabah untuk membina kem tentera di Lahad Datu, masalah penculikan rentas sempadan tidak akan selesai, selagi kecuaian yang ada pada anggota pasukan keselematan tidak dinoktahkan.

Jangan salahkan pengguna pam bot, kerana bot kecil itu, adalah kegunaan nelayan kecil cari makan, jangan kerana seekor nyamuk, lalu kelambu dibakar.

No comments:

Blog Archive