Wednesday, August 17, 2011

Pembangkang pun terlibat menipu undi: Tun M

Pembangkang juga, dakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, terlibat dalam tipu muslihat semasa pilihan raya.

Katanya, sewaktu pentadbirannya, pembangkang juga terlibat dengan taktik seumpama itu.

Pada satu masa, tambah Dr Mahathir, terdapat 50 orang yang didaftarkan di sebuah rumah.

"Kami tidak tahu bagaimana, tetapi mereka berjaya mendaftarkan pengundi dalam kawasan pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kutipan dana membantu mangsa kebuluran di Somalia.

Dr Mahathir berkata, perkara itu perlu ditangani Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan beliau menyatakan sokongannya terhadap penubuhan jawatankuasa khas Parlimen untuk reformasi pilihan raya, yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas perdana menteri itu juga mengakui pilihan raya di Malaysia tidak bebas daripada penyelewengan dan campurtangan kerajaan yang memerintah tetapi menegaskan apa-apa kecacatan pun yang ada, tidak seserius di tempat lain di dunia.

Dr Mahathir berkata, pilihan raya di Malaysia, walaupun tidak benar-benar bersih, tetapi bersih.

"Saya perlu menegaskan bahawa ia juga tidak seteruk di negara-negara lain di mana kerajaan mendapat 90 peratus undi... di sini pembangkang juga menang beberapa negeri," tambahnya.

No comments:

Blog Archive