Wednesday, August 17, 2011

JK Parlimen untuk puaskan pembangkang: Najib

Tiga hari selepas mengumumkan pembentukan jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pilihan raya, Datuk Seri Najib Razak berkata keputusan itu diambil untuk “memuaskan” pembangkang meskipun mereka menyertai perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai.

“Kami akan memperbaiki proses (pilihan raya) jika ia dipertikai.

“Kami tidak mempertikaikannya tetapi untuk memuaskan mereka, maka kami akan melaksanakan perubahan untuk memperbaiki sistem,” kata beliau (gambar).

“Kami mahu sesiapa yang memerintah negara ini dipilih mengikuti kehendak sebenar rakyat,” kata beliau pada majlis berbuka puasa di Pangsapuri Seri Perantau, kawasan perumahan kos rendah 11 blok dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Dalam pada itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Kementerian Dalam Negeri kini dalam usaha merangka persiapan untuk menjawab segala isu yang mungkin akan dibangkitkan oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen kelak berhubung usaha menambah baik sistem pilihan raya.

Kata Hishammuddin, kementeriannya telah mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan antara isu yang dibincangkan pada pertemuan itu ialah mengenai daftar pemilih.

Beliau berkata turut dibincangkan pada pertemuan antara Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam dan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof itu ialah mengenai pembersihan pada senarai daftar pemilih.

“Penting untuk menyelaraskan dari segi senarai nama mereka yang telah dapat kewarganegaraan, yang meninggal dunia dan senarai yang boleh mengundi,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pasca-Kabinet di sini.

Dipetik Bernama Online, Hishammuddin berkata pertemuan dengan SPR itu penting memandangkan setiap kali isu pilihan raya timbul, macam-macam tuduhan tidak berasas yang menyentuh tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri dilemparkan.

No comments:

Blog Archive