Wednesday, 25 November 2009

Satu Pendedahan Mengenai Tun Mahathir

SEBUAH buku yang diterbitkan di Singapura bertajuk: Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times mendakwa Malaysia mengalami kerugian kewangan secara langsung berjumlah kira-kira RM 2.27 billion setiap tahun sepanjang tempoh 22 tahun pemerintahan Dr. Mahathir.

Jumlah itu bertambah sekali ganda jika diambil kira kerugian lain yang ditanggung, seperti pelupusan hutang tanpa rekod.

Buku itu juga membuat analisa sendiri dengan mengunapakai nilai pertukaran matawang, asing dan merumuskan bahawa negara mengalami kebocoran kewangan mencapai RM100 billion itu bersamaan dengan AS$40 billion.

Buku itu, yang ditulis oleh mantan editor Asian Wall Street Journal, mendakwa kebanyakan kerugian berlaku pada sekitar tahun 1980-an dan antara penyebabnya ialah percubaan kerajaan untuk memanipulasi pasaran timah dan pertaruhan Bank Negara dalam pasaran matawang asing terutama matawang Amerika Syarikat.

Penulis itu, yang kini menjadi penulis residen di the Institute of Southeast Asian Studies in Singapore turut mendakwa Mahathir menggunakan sumber kewangan tertentu untuk membolehkan UMNO, yang dipimpinnya ketika itu berkembang menjadi sebuah kolongmerat besar dengan pelaburan dalam setiap cabang ekonomi.

Read more...

Satu Lagi Berita Balasubramaniam Tentang Najib Razak

Mereka yang berfikiran waras akan membuat kesimpulan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat berkaitan dengan kehilangan P Balasubramaniam, kata peguam penyiasat persendirian itu Americk Singh Sidhu.

Menurutnya, fakta-fakta kelihatannya menunjukkan kepada kemungkinan mereka tidak mahu penyiasat itu lagi dan menyerahkan tugas itu kepada orang lain yang rapat dengan mereka, untuk dilaksanakan.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini, Americk memandang berat pembabitan adik perdana menteri, Datuk Mohamed Nazim.

Menurutnya, persoalan yang timbul ialah mengapa Nazim berminat dengan kehilangan Balasubramaniam "jika dia tidak mendapat perlindungan daripada abangnya?"

Balasubramaniam baru-baru ini mendedahkan bahawa dia pernah berjumpa dengan Nazim, seorang arkitek, pada malam sebelum dia menarik balik akuan bersumpah pertamanya yang mendakwa Najib ada hubungan rapat dengan Altantuya Shaariibuu, wanita Mongolia yang mati dibunuh.

Balasubramaniam turut mendakwa bahawa dia ditawarkan RM5 juta oleh seorang yang dikenali sebagai Deepak, seorang ahli perniagaan yang didakwa rapat dengan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor supaya menarik balik akuan bersumpah pertamanya.

Najib telah berulang kali menafikan spekulasi bahawa beliau di belakang tindakan Balasubramaniam menarik balik akuan bersumpah pertamanya itu.

Bercakap kepada Malaysiakini, Americk menceritakan bagaimana beliau diperkenalkan kepada Balasumbramaniam; tindakan bekas anggota polis Cawangan Khas menarik balik akuan bersumpah pertamanya Julai tahun lalu dan pertemuan seterusnya beliau dengannya selepas muncul semula daripada persembunyian setahun kemudiannya.

Americk turut mendedahkan bahawa rakaman video wawancaranya dengan Balasubramaniam tiga bulan lalu, dibuat secara rahsia sebagai "satu jaminan sekiranya dia ditahan oleh pihak-pihak yang terbabit dalam pemergiannya dari negara ini setahun yang lalu."

"Dia tidak tahu yang dia sedang dirakamkan pada masa itu, tetapi kita kemudiannya memaklumkan perkara itu kepadanya dan dia faham mengapa kita berbuat demikian," katanya.

Menurut Americk lagi, Balasubramaniam mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Akuan Bersumpah 1960 kerana memberi akuan bersumpah yang bercanggah, tetapi dia boleh mempertahankan dirinya kerana dia nampaknya telah dipaksa, diugut dan/atau dipaksa menandatangani akuan bersumpah kedua".

Tetapi, katanya, mereka yang didakwa menghasut akuan bersumpah kedua yang palsu dibuat - Deepak, ASP Suresh dan peguam M Arunampalam - juga berdepan dengan tuduhan jenayah kerana bersubahat dan berkonspirasi.

Mengenai Nazim pula, Americk mendakwa, dia terbabit dalam melakukan ugutan jenayah terhadap Balasubramaniam di samping kemungkinan didakwa bersubahat/konspirasi berhubung pembuatan akuan bersumpah kedua yang palsu.

Read more...

Sistem Dua Parti Pakatan Jangan Syok Sendiri

Pemimpin Pakatan Rakyat tidak harus 'seronok sendiri' dengan usaha membentuk sistem dua parti tanpa mengambil kira realiti semasa, kata seorang pemerhati politik.

Sebaliknya, Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, mereka perlu menumpukan usaha mengukuhkan gagasan tersebut supaya dilihat lebih bersedia menjadi pemerintah di peringkat pusat.

Katanya, kesediaan itu boleh dilihat apabila setiap parti dalam Pakatan Rakyat mampu berkorban dan berkompromi antara satu sama lain.

Pensyarah kanan pusat pengajian sains kemasyarakatan itu berkata, kesediaan itu juga boleh dilihat apabila Pakatan Rakyat mengumumkan untuk mendaftar gagasan mereka sebagai sebuah parti.

"Tetapi selagi tidak berdaftar, susah untuk mereka capai objektif yang sama," katanya ketika diminta mengulas usaha Pakatan mengadakan simposium mengenai sistem dua parti hujung minggu lalu.

"Kita akan lihat ada kompromi dan pengorbanan apabila masing-masing ketepikan lambang masing-masing dan ini akan menunjukkan kesepakatan ideologi mereka," kata Dr Sivamurugan ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Katanya lagi, para pemimpin mungkin bersedia untuk mencapai sistem dua parti tetapi ia tetap bergantung kepada kematangan ahli parti masing-masing.

"Contohnya sejauhmana PAS boleh berkompromi dengan konsep negara Islam, dan sejauhmana pula DAP sudi berkompromi dengan dasar kesamaan dan kerataan?

"Pemuafakatan dalam Pakatan itu akan dipertikai bila ada ahli yang mula menyoal pendirian parti dalam isu berbangkit," katanya lagi.

Jelasnya, pemimpin setiap parti tersebut perlu menjalankan usaha berterusan untuk menerang dan menerap nilai-nilai sama yang didukung dalam Pakatan Rakyat.

Dr Sivamurugan juga berpendapat bahawa Pakatan gagal menunjukkan mereka bersedia menerajui kerajaan pusat, berdasarkan kepada kelemahan pentadbiran berpusat yang ditunjukkan oleh beberapa kerajaan negeri yang ditadbirnya.

"Masing-masing dilihat menggunakan pendekatan parti sendiri di setiap negeri yang dikuasai mereka. Pakatan kena tunjukkan mereka boleh mengambil pendekatan pentadbiran yang sama di semua negeri," katanya.

Beliau memberi contoh negeri Kedah, yang dikuasai PAS, yang dilihat lebih menumpukan kepada usaha menghapuskan kawasan ternakan babi, sehingga ada wakil DAP yang memprotes usaha tersebut.

"Di Selangor pula isu kepala lembu ditangani ikut cara PKR, dan DAP dengan isu Kampung Buah Pala di Pulau Pinang. Sebaliknya kalau kita lihat negeri-negeri dikuasai BN, kita tidak nampak negeri yang diperintah mengikut cara Umno, MCA ataupun MIC," katanya lagi.

Kesepakatan yang ada setakat ini, tambahnya, hanya wujud dalam objektif umum Pakatan Rakyat untuk menggulingkan BN dan juga kesefahaman untuk tidak menentang satu sama lain dalam pilihan raya 2008.

"Pemuafakatan itu sudah ada tapi tidak kukuh bila ada ahli yang mula menyoal pendirian parti dalam isu-isu berbeza. Masing-masing (parti) kena tumpukan lebih jauh daripada untuk tumbangkan BN semata-mata dan kena fikir tentang nilai-nilai persamaan," katanya.

Dalam pilihan raya Mac 2008, katanya, parti-parti yang bernaung di bawah Pakatan tidak menentang sesama sendiri dan pertandingan berlaku satu lawan satu antara calon BN dan Pakatan.

"Kita juga lihat bila DAP bertanding, ada juga penyokong PAS yang bawa bendera DAP dan sebaliknya," katanya.

Bagaimanapun, katanya, perlu dilihat sama ada dalam pilihan raya umum seterusnya pengundi akan terus menunjukkan pola pengundian yang sama seperti tahun lepas.

Read more...

Tuesday, 24 November 2009

Minyak RON95 Selamat Pada Kereta

Tanggapan pengguna terhadap penggunaan minyak petrol RON95 yang merosakkan enjin adalah tidak tepat, persidangan Dewan Rakyat diberitahu Selasa.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe berkata sekiranya enjin kenderaan cukup sekadar dengan pembakaran RON95, penggunaan RON yang lebih tinggi tidak akan memberi kesan kepada keupayaan enjin secara optimum.

"Negara-negara pengeluar kenderaan utama dunia seperti Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat juga menggunakan petrol RON95. Di Eropah, penggunaan RON95 adalah lebih 84 peratus daripada keseluruhan penggunaan petrol yang merupakan bahan bakar utama kenderaan," katanya di sini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) yang ingin tahu sama ada minyak petrol yang dijual di stesen minyak Petronas iaitu Primax 95 tidak sesuai digunakan untuk kereta import dan kereta mewah kerana minyak itu boleh merosakkan enjin.

Tan berkata sebelum keputusan untuk memperkenalkan RON95 dilaksanakan, beberapa siri perbincangan dengan pelbagai pihak yang terlibat telah diadakan untuk mendapatkan maklum balas daripada setiap aspek penggunaan petrol RON95.

"Semua pihak tersebut bersetuju dengan pelaksanaan RON95 memandangkan kebanyakan enjin kenderaan di Malaysia menggunakan teknologi yang direka bentuk sesuai dengan penggunaan petrol RON95," katanya.

Beliau berkata dengan menggunakan petrol yang mempunyai nilai RON minimum yang bersesuaian dengan keperluan kenderaan sepertimana yang disyorkan oleh pengeluar enjin kenderaan akan memastikan pembakaran berlaku tepat pada masanya lantas mengelakkan berlakunya fenomena ketukan enjin.

Ketika menjawab soalan tambahan Johari mengenai terdapatnya notis yang diletakkan di stesen minyak bukan Petronas mengenai petrol RON95 yang boleh membahayakan enjin, Tan berkata kementerian tidak menyedari mengenai perkara itu.

"Pihak kementerian tidak sedar tentang hal ini, dan kita akan menghantar pegawai penguatkuasa kita untuk memeriksa semua stesen minyak khususnya daripada bukan Petronas," katanya.

Read more...

Monday, 23 November 2009

Menantu Nik Aziz Akhirnya Letak Jawatan

Menantu tokoh PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dilanda kontroversi sejak dua minggu lepas meletakkan jawatannya sebagai ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Abdul Ariffahmi Abd Rahman, yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menjadi fokus kontroversi apabila memecat Syed Azidi Syed Abdul Aziz, seorang pegawai kanan exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa.

Beliau, yang juga seorang exco Pemuda PAS Kelantan, mengumumkan perkara tersebut dalam sidang media hari ini.

Surat rasmi peletakkan jawatan tersebut bagaimanapun belum diserahkan, katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Ketika dihubungi sebentar tadi, beliau juga enggan mengulangi kenyataannya dalam sidang akhbar tersebut.

Sementara itu, menurut media rasmi PAS, Nik Abdul Aziz yang juga menteri besar ingin "menasihati" menantunya agar melepaskan jawatan tersebut.

Persetujuan itu dilaporkan diumumkan Nik Abdul Aziz pada satu sidang media selepas pertemuan dengan pemimpin kanan PAS di kediaman rasmi menteri besar 10 pagi tadi.

Pertemuan tersebut disertai Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din, Naib Presidennya Salahuddin Ayub dan Bendahari Agung Dr Hatta Ramli, laor Harakahdaily.net.

"Mereka telah mengemukakan cadangan kepada Nik Abdul Aziz agar menasihatkan Ariffahmi melepaskan jawatan," laporan akhbar web itu dipetik.

Read more...

Sunday, 22 November 2009

Sistem Dua Parti Belum Masanya

Ketiadaan budaya politik yang membolehkan sisitem dua parti dijalankan maka usaha Pakatan Rakyat sebagai alternatif kepada BN masih menerima kekangan daripada sistem warisan BN, manakala masyarakat Malaysia sendiri masih belum menyedari keperluan untuk mengamalkan sistem dua parti.

Usaha Anwar melalui Pakatan untuk memberi pilihan kepada rakyat negara ini dan seterusnya mengwujudkan sistem ala-Amerika masih menempuh jalan sukar, kerana "broke the range" seperti seorang exco menyerang kerajaannya sendiri, masyarakat masih melihat perkara ini sebagai tindakan yang tidak betul, jadi bagaimana kita boleh melihat sistem dua parti dijalankan?

" Sistem Amerika dan United Kingdom belum boleh ditiru kerana kita tidak mempunyai budaya politik yang sama, ataupun konvensyen yang sama apabila sesuatu undang-undang dilaksanakan,"

Pendek kata dalam masa terdekat ini, sistem ada sekarang masih akan dipertahan rakyat sehinggalah pada suatu masa, apabila perubahan sosial, ekonomi telah menyeluruh, maka sistem dua parti mungkin mengambil tempat.

Pemimpin Pakatan seperti Anwar belum boleh memaksa rakyat keseluruhannya menerima sistem dua parti.. kerana.. pengwujudan parti-parti di Malaysia masih bercorak perkauman.

Read more...

Perjuangan Merentasi Kaum Perjuangan Saya: Anwar

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak yang mahukan perubahan agar jangan berdiam diri dan sekadar menjadi penonton sahaja.

"Mereka yang mahukan Perubahan tidak boleh lagi berdiam diri dan sekadar menonton. Mereka sewajarnya terjun ke medan, menyatakan pendirian dan bersama-sama mencorak ruang kerjasama parti serta Pakatan Rakyat.

"Jangan lekas makan hati, kerana rakyat akan merasa mual. Bersegeralah memikul tanggungjawab memimpin walau sesederhana mana pun kekuatan di tempat masing-masing," kata Anwar dalam blognya.

Menurutnya, pimpinan ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat menyedari permuafakatan yang berusia muda ini pasti akan berdepan dengan pelbagai cabaran dan halangan.

"Pembentukan Pakatan Rakyat bercita-cita membawa Perubahan sedaya mungkin. Pastinya sepanjang perjalanan memperkukuh kerjasama akan ada perbezaan dan pertikaian serta mereka yang kecewa lalu meninggalkan perjuangan manakala berbondong bondong lagi hadir menyertai mendokong hasrat perubahan," katanya.

Bagi beliau, perjuangan yang merentasi batas kaum, kepercayaan dan fahaman ini menimbulkan kegerunan kepada Umno-Barisan Basional.

"Ianya kerana falsafah serta dasar permuafakatan kita mencerminkan kenyataan masyarakat majmuk di Malaysia," katanya.

Menurut beliau, tidak mungkin wujud penjajahan dalam permuafakatan ini di mana satu parti menunjuki apa yang perlu dilakukan oleh parti yang lain.

"Permuafakatan Pakatan Rakyat terbina dari asas untuk menghormati suara parti komponen dan akan berusaha bergerak dengan menggembeling dari kekuatan itu," katanya lagi.

Read more...

Saturday, 21 November 2009

Angin Perubahan: antara realiti dan persepsi

Bagi seseorang yang telah bertekad untuk berubah- apapun cara tarikan yang dipersembahkan ke hadapannya apa kah tersirat maupun tersurat terlalu sukar mengubah pendirian dan keputusan yang telah diambil. Dalam era moden ini- tiada lagi istilah membuat keputusan membabi buta- keputusan yang dibuat rentetan dari peristiwa-peristiwa yang telah dialami oleh individu itu.

Merayu,mengajak seseorang mengubah keputusan yang telah diambil semata-mata hanya berpaling ke kiri atau ke kanan- dimana destinasi atau keputusan yang serupa- cuma bezanya mungkin cara dan bentuknya- biasanya dalam dunia ilmu ini- terlalu menyukarkan mengubah keputusan seseorang.

Keinginan untuk berubah ternyata mengubah lanskip berfikir rakyat negara kini. Keinginan ini telah melanda rakyat terutama generasi setelah merdeka. Generasi ini sebaik sahaja membuka mata ke arah hidup berdikari telah tersajikan kepada suasana persaingan yang luar biasa hebat. Mereka membesar menyaksikan bagaimana manusia menjadi input industri- manusia dipergunakan oleh manusia- manusia digunakan sebagai modal mencari rezeki- manusia penyebab kerosakan alam- manusia penyebab kerosakan sosial,; perdagangan manusia dan bermacam-macam kaedah penggunaan manusia- telah disaksikan.

Pengalaman dan peristiwa yang dialami baik pahit atau manis- menjadikan manusia itu belajar-menjadikan manusia berpengetahuan- ada manusia dijadikan tauladan- ada manusia dijadikan sempadan. Berpaksi kepada pengalaman ini- manusia terbuka kepada deminsi keinginan baru-terbuka untuk membuka lembaran baru. Di sinilah keinginan untuk berubah bermula. Keinginan ini bukan lagi riotik- tetapi telah menjadi kemastian- motto “desire to change” menjadi panutan.

Dalam usaha merebut kuasa misalnya- berbagai kaedah digunakan- ada kaedah yang biasa digunakan tetapi dimodifikasi sedikit- misalnya- cara pengadaan pilihanraya. Kita biasa menghadapi pilihanraya- samada pilihanraya umum (PRU) atau pilihanraya kecil. Sama-sama kita tahu- bahawa PRU- diadakan semata-mata untuk meminta mandat baru- dengan satu tujuan- menperkukuh kekuatan- walaupun keputusannya kadang-kadang memeranjatkan seperti PRU-12. Sedangkan pilihanraya kecil (PRK) pula diadakan disebabkan jika sesuatu kawasan itu tidak berwakil rakyat- kerana penyandangnya kehilangan kelayakan maupun terjadi kekosongan kerana kematian.

Setelah PRU-12- kebiasan PRK tidak lagi berpaksi kepada kebiasaan ini, tetapi telah dimasukan dalam strategi dan perancangan dalam usaha mendapat kuasa- kerana menafaatkan situasi rakyat yang ingin berubah. Bagi individu atau kelompok individu yang ingin mendapat kuasa- apa sahaja kaedah yang boleh digunapakai- dipergunakan semaksima mungkin, agar tujuan atau matalamat tercapai. Kata orang “hook or by crock” tujuan mesti dicapai dan kemahuan mesti didapat.

Kos pilihanraya- bukan merupakan “concern” bagi pembuat statergi dan perancang- apa yang mustahak adalah agar stratergi dan perancangan itu menepati sasaran. Apabila sasaran tercapai- maka kepuasan yang begitu tinggi nikmatnya kepada ahli strategi dan perancang tercapai.

Persepsi: bahawa angin perubahan melanda- dimanafaatkan oleh Anwar Ibrahim dalam usaha menjadi perdana menteri Malaysia. Terdorong dengan persepsi ini maka berbagai strategi dan perancangan telah di atur melalui istilah pakatan. Strategi dan perancangan yang bersifat menyerang disusun sedemikan rupa kerana menurut pandangan kelompok Anwar- tanda-tanda keinginan untuk berubah yang melanda rakyat- berorentasi dan terdorong melalui sifat menyerang.

Strategi menyerang Anwar ada yang bersifat halus dan ada juga yang bersifat kasar. Penggunaan mahkamah, tulisan dalam akhbar-akhbar atau blog, propaganda kepada pemimpin asing, pengosongan kawasan-kawasan yang dimenangi pakatan melalui PRU-12, penyusunan semula kepimpinan dalam PKR adalah cara halus Anwar, manakala demonstrasi, ceramah-ceramah, karektor assassination perorangan atau pemimpin atau pro- kerajaan merupakan cara kasar Anwar untuk memaksa terjadinya perubahan.

Bagi Anwar- apakah angin perubahan benar-benar ada- bukan persoalan, kerana menurut fahaman beliau- angin perubahan boleh dirancang dan dirasang melalui stimuli luaran, dalaman ; apakah melalui isu kemanusian atau isu kenegaraan. Yang paling penting dalam penciptaan angin perubahan adalah terletak kepada memontem yang berterusan.Bagi kelompok Anwar – lenturlah besi selagi panas.

Akibat keputusan PRU-12, seolah-olah angin perubahan telah melanda- pihak pemegang tampuk kerajaan yakni Barisan Nasional terpengaruh, terbawa-bawa, hanyut dengan persepsi bahawa angin perubahan memang melanda.

Pertahanan kerajaan belum bersedia untuk menangkis “ angin perubahan” seperti ini. Dalam waktu sejenak kerajaan terpaksa berada dalam situasi bertahan- saling menuding jari- saling menyalahkan sipulan dan simulan- ada juga secara terang-terangan ketidak siap siagaan benteng pertahanan kerana sistem pertahanan yang disediakan oleh sang ketua tidak ampuh- ketinggalan zaman- telah lapuk dan hampir luput kualitinya.

Belum pernah terjadi di negara- selama lebih 50 tahun bahawa tampuk pemegang kuasa terpaksa bertahan sebegini rupa- terpaksa menggali berbagai pendekatan dalam penyusunan pertahanan. Membina pagar-pagar yang kuat- mempergunakan seluruh sumber yang ada agar supaya pertahanan yang kuat dapat dibina agar angin perubahan tidak melanda.

Tampuk pemerintahan- berfikir bahawa kelemahan pertahanan yang kuat kerana para jeneralnya telah tua- ketandusan idea; dalam proses membina semula kekuatan pertahanan- proses penggantian barisan depan pucuk pimpinan perlu diganti. Berguguranlah barisan pimpinan yang tua-tua dan berganti dengan barisan daun-daun muda.

Setelah terjadi perubahan pucuk pimpinan negara: pagar pertahanan pemerintah ditemukan dan dirumuskan melalui konsep “Satu Malaysia, Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”. Bagi pihak pemerintah melalui konsep ini pertahanan dianggap kukuh untuk menempis serangan angin perubahan dan juga kelompok yang memanfaatkan kelompok masyarakat yang berkeinginan untuk berubah.

Rupanya berasaskan kepada pendekatan tampuk yang memerintah kini- angin perubahan itu memang suatu realiti bukan persepsi. Cuma amaran awalnya tidak dikesan, disebabkan sistem pengesan telah lapuk dan tidak mampu mengesan angin seumpama ini.

Persoalannya sekarang apakah konsep dan sistem yang dipertaruhkan oleh tampuk pemerintahan kini dapat menangkis strategi dan perancangan pihak yang memanfaatkan angin perubahan?

Pada mutakhir ini- telah disaksikan bahawa pemanfaatan angin perubahan ini benar-benar digunapakai oleh pihak Anwar Ibrahim melalui pemeliharan memontem yang berterusan- umpamanya melalui pengosongan kawasan-kawasan tertentu agar supaya pilihanraya kecil dapat dilangsungkan. Pembangkitan isu-isu undang-undang, isu ketelusan,isu kepolisan, isu kesukuan, isu pilih kasih, isu pelajaran, isu agama terus dimainkan agar supaya memontem berterusan dan menaikan semangat kelompok-kelompok yang terasuk dengan angin perubahan.

Siri pilihanraya kecil yang masih dalam senarai menunggu adalah DUN Kota Shah Alam, setelah Penanti. Bagi menghadapi pilihanraya kecil Penanti pihak pakatan telah awal-awal lagi mengumumkan calonnya Dr Mansor Osman mantan setiausaha politik Anwar Ibrahim semasa mejawat DPM di bawah pemerintahan BN- jika menang Dr Mansor pasti dilantik sebagai TKM-1 Pulau Pinang.

Strategi dan perancangan pihak pakatan ini dalam usaha memelihara memontem terhidu oleh Datuk Najib- dan pada awal-awal lagi- PM-6 ini membayangkan akan memulaukan PRK-Penanti.

Pemulauan PRK- Penanti- jika benar-benar terjadi- ramai para penganalisis politik, para pemimpin dalam kerajaan,maupun bloger-bloger termasuk- bloger A Kadir Jasin- menyifatkan pemulauan ini sebagai kembiri dan penakut. Menurut A Kadir Jasin lagi- setelah terjadinya perubahan kempimpinan kerajaan- sepatutnya kerajaan bertambah berani.

Datuk Najib mempunyai kaedah tersendiri untuk menghadapi pendapat seumpama ini. Bagi Najib- berundur setapak bukan bererti takut. Tidak melawan bukan bererti pengecut.

Bagi Datuk Najib- perangkap lawan telah ternga-nga di depan mata- adalah suatu keputusan yang daif untuk memasukinya. Apakah boleh diiktiraf bahawa perangkap musuh yang telah jelas boleh memusnahkan- kerana hendak dikatakan bukan kembiri- bukan penakut- bukan pengecut tetap sahaja memasuki perangkap itu. Adalah terlalu daif dan bodoh untuk memasuki perangkap itu jika senjata yang ampuh tidak terbawa bersama bagi memusnahkan perangkap itu.

Senjata ampuh Datuk Najib akan terus diasah untuk peperangan yang besar, bukan untuk peperangan kecil. Senjata ini terlalu tinggi harganya- adalah tidak berbaloi digunakan untuk peperangan kecil, kerana menurut hemat Najib- memang angin perubahan yang sangat besar akan melanda- dan kerana itu- senjata ampuh mesti disimpan baik-baik agar tidak diketahui jenisnya dan kemungkinan pihak musuh mencari penangkisnya.

Angin perubahan memang berlaku di negara ini, bukan sahaja mengubah senerio berpolitik tetapi juga mengubah cara berpolitik- mengubah cara pendekatan kepada rakyat- mengubah cara pentabiran- mengubah pengurusan- dan paling afdal mencoba mengubah mentaliti.

Rupanya apabila angin perubahan terjadi yang diuntungkan adalah rakyat- melalui angin perubahan- rakyat akan menikmati bahagiannya- menikmati rancumnya yang selama ini diberikan secara terpaksa dan disendat-sendat. Demi kemakmuran rakyat dan negara- biarlah angin perubahan terus bertiup dan menjadi realiti dan jangan cuma persepsi.

Read more...

Friday, 20 November 2009

Lagi Berita Penahanan 6 Pemuda Umno Bahagian Kota Tinggi

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam anggota Pemuda Umno bahagian Kota Tinggi, Johor hari ini atas dakwaan rasuah.

Mereka didakwa cuba menawarkan rasuah kepada tiga daripada 18 bekas anggota jawatankuasa bahagian itu yang meletakkan jawatan Ahad lepas berikutan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan ketua pemudanya.

Dipercayai, ekoran peletakan jawatan beramai-ramai itu suspek dipercayai cuba berunding dengan seorang bekas anggota jawatankuasa sayap itu bagi mengelakkan pemilihan untuk sayap itu diadakan.

Keenam-enam suspek berusia antara 30 dan 40 tahun, ditahan pada pukul 2 pagi di rumah bekas anggota jawatankuasa sayap itu selepas didakwa cuba memujuknya agar menarik semula peletakan jawatannya dengan menawarkan RM40,000.

Difahamkan kesemua suspek kini disoal siasat di ibu pejabat SPRM negeri.

Pengarah SPRM negeri Simi Abdul Ghani enggan memberi komen berhubung tangkapan itu.

Ketua Umno bahagian Kota Tinggi Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata biarlah SPRM menyiasat perkara itu.

Read more...

Nizar: Khalid Hanya Main Politik Mendakwa Muhd Taib Memberi Pujian

Bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib telah mengamanahkan tugasnya sebagai ketua Umno bahagian Kelana Jaya kepada timbalannya, Datuk Yahya Bujang.

Beliau menyerahkan tugas tersebut kepada Yahya semenjak dipilih memegang jawatan ketua bahagian tersebut tahun lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Yahya berkata beliau diamanahkan menjalankan tugas-tugas Muhammad mulai Mei tahun lalu.

"Dia selalu ke luar negara, jadi dia amanahkan kepada saya untuk menjalankan tugas-tugas tersebut, termasuk menghadiri mesyuarat perhubungan negeri," kata Yahaya.

Beliau bagaimanapun menolak desas-desus mengenai kemungkinan Muhammad (gambar) akan keluar Umno.

Desas-desus itu tercetus ekoran kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim di konvesyen PKR Selangor Ahad lalu bahawa Muhammad mengakui perubahan yang dilakukan di negeri itu oleh pemimpin Pakatan, ketika mereka bertemu minggu lalu.

Khalid juga mendakwa, dalam pertemuan itu, Muhammad juga menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengannya "untuk membangunkan rakyat dan ekonomi rakyat luar bandar.".

"Saya kenal sangat Tan Sri Muhammad. Dia tu bekas bos saya, saya tak fikirlah dia akan keluar umno. Sangat susah untuk percaya dia akan buat begitu. Bekas setiausaha

"Saya tidak boleh pastikan berlaku pertemuan atau tidak. Persoalan ini kita kena tanya tuan punya diri Tan Sri Muhammad Taib sendiri untuk jawab," kata Yahaya yang juga merupakan bekas setiausaha politik kepada Muhammad.

Yahya menjelaskan bahawa Muhammad - yang kalah dalam pemilihan jawatan timbalan presiden Umno tahun lalu - tidak memintanya memangku jawatan ketua bahagian Kelana Jaya kerana ianya tidak dikosongkan oleh bekas menteri besar itu.

"Saya cuma diamanahkan untuk jalankan tugas-tugas beliau. Tidak boleh kata saya pemangku. Kalau pemangku maknanya Tan Sri dah letak jawatan sebagai ketua bahagian. Tapi dia tak letak jawatan (ketua bahagian), jauh sekali untuk keluar Umno," katanya lagi.

"Kalau dia nak keluar Umno, kenapa dia hendak bersusah payah amanahkan saya jalankan tugasnya?" soal Yahaya lagi.

Yahaya juga berkata beliau sering berhubung dengan Muhammad walau telah "lama" tidak bertemu dengan menteri besar Selangor yang ke-12 itu.

"Minggu ini pun ada berhubung," katanya lagi tanpa mengulas lanjut.

Seorang lagi pemimpin Umno Selangor, Datuk Seri Khir Toyo berkata Muhammad tidak mungkin akan lompat parti kerana beliau adalah seorang yang setia kepada parti.

Dr Khir yang merupakan ketua pemikir Umno Selangor, menjelaskan bahawa Muhammad sedang "bercuti" daripada menjalankan aktiviti parti sejak tiga bulan lalu.

"Dia sedang berehat tapi masih lagi ketua bahagian," kata Dr Khir ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

"Saya kenal dia, dia tidak mungkin akan lompat parti. Dia tidak mungkin akan buat begitu," katanya lagi ketika ditanya.

Dr Khir menjelaskan, ada kemungkinan Khalid mereka-reka cerita mengenai pertemuan dengan Muhammad, kerana ingin mendapatkan sokongan.

"Mungkin Khalid reka cerita itu sebab nak naikkan nama dia. Jadi sekarang Khalid yang kena jelaskan sama ada benar Muhammad ada kata begitu.

"Isu lompat parti tidak timbul. (Muhammad) sudah nafi. Jadi dia tidak perlu buktikan apa-apa," kata Dr Khir lagi.

Dr Khir berkata beliau bagaimanapun tidak menemui Muhammad untuk mendapatkan penjelasan berkaitan kenyataan Khalid itu.

"Kali terakhir saya jumpa dia adalah dua atau tiga bulan lalu," katanya lagi.

Ketua penerangan Umno negeri, Shukor Idris pula berkata beliau masih gagal menghubungi Muhammad.

"Dia sedang bercuti. Mungkin sekarang tengah sibuk dengan aktiviti keluarga. Setakat yang saya tahu, dia juga sudah lama tidak aktif dengan aktiviti dan di bahagiannya di Kelana jaya.

"Tugas-tugas sebagai ketua bahagian pun sekarang dipangku oleh Datuk Yahaya Bujang," katanya lagi.

Read more...

Nizar News: Santapan JUMAAT: 7 Kekuatan Membangun

SEORANG ulama terkenal, Sayyid Sabiq menyatakan, terdapat tujuh kekuatan yang perlu ada pada setiap orang Islam jika ingin membangun.

Kekuatan pertama ialah akidah yang merangkumi keimanan mutlak kepada Allah SWT. Kedua, kekuatan ilmu iaitu yang merupakan penegak peribadi manusia, penyingkap hakikat kewujudan sesuatu benda atau perkara di alam nyata. Ketiga, kekuatan budi pekerti iaitu dengan cara menyucikan jiwa sehingga dapat berkembang di jalan yang lurus menuju kemuliaan dan keluhuran rohani.

Keempat, kekuatan ekonomi iaitu memperoleh kekayaan, kemakmuran bumi, memperkembangkan kekuatan alam dan mengambil kemanfaatan daripada sumber alam. Kelima, kekuatan ikatan masyarakat iaitu menggerakkan masyarakat atas dasar kemerdekaan, keadilan dan kesamarataan. Juga mengikut asas-asas syariat Islam, bekerja kuat, pergaulan yang baik dan undang-undang yang jujur menuju kebahagiaan.

Keenam, kekuatan susunan perdamaian iaitu melaksanakan perdamaian umum yang berteraskan kepada hormat-menghormati antara sesama manusia, menjamin hak manusia dan melindungi semua perjanjian. Yang terakhir pula iaitu ketujuh, kekuatan jihad iaitu memberi pengorbanan nyata demi membela hak, memperoleh kehidupan yang merdeka dan memperoleh kehidupan manusia.

Asas-asas kekuatan yang digariskan oleh Sayyid Sabiq itu bersesuaian dengan pandangan Imam al-Ghazali bahawa pembangunan insan harus menekankan peningkatan dua perkara penting. Iaitu kekuatan intelektual dan kekuatan taharah (penyucian).

Berlandaskan kekuatan di atas, dapat difahami bahawa agenda pembangunan merupakan satu proses berterusan. Kerana ia terikat dengan kehidupan manusia sejak dijadikan sehinggalah kehidupannya di hari akhirat. Ini kerana pembangunan atau kehidupan di dunia merupakan alat untuk mendapat keredaan Allah (mardatillah) sebagai ganjaran kebahagiaan kehidupan di akhirat kelak.

Pembangunan insan dalam konteks Islam membawa manusia ke arah satu tamadun yang seimbang iaitu tamadun yang mementingkan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Umumnya, matlamat-matlamat pembangunan dalam Islam boleh dilihat dalam beberapa konteks di bawah.

Pembangunan peribadi dan keupayaan manusia tercetus apabila seseorang itu patuh sepenuhnya kepada ajaran Islam dan menjadikan Islam sebagai pegangan hidup. Ini kerana Islam mengajar manusia ke arah membentuk watak dan sikap yang betul menerusi pendidikan, kepimpinan dan sebagainya yang berdasarkan nilai-nilai Islam.

Sumber pengeluaran berguna dan bermanfaat yang dimaksudkan dalam Islam adalah makanan dan benda-benda asasi yang lain. Juga keluaran untuk pertahanan Islam dan barang-barang untuk kegunaan sendiri.

Satu perkara yang dititikberatkan oleh Islam terhadap bahan keluaran yang dihasilkan itu ialah ia mesti mampu dibeli oleh orang-orang miskin dan berpendapatan rendah. Bersesuaian dengan firman Allah SWT menerusi surah Fussilat ayat 7.

Islam mementingkan kesejahteraan sama ada dalam bidang ekonomi, sosial mahupun politik. Kesejahteraan ini adalah gambaran kualiti kehidupan umat Islam.

Kualiti kehidupan yang dimaksudkan boleh dicapai dengan tiga cara. Iaitu mewujudkan peluang pekerjaan; mewujudkan jaminan sosial secara meluas khususnya kepada golongan yang tidak dan kurang berupaya contohnya melalui pengagihan zakat.

Juga pengagihan pendapatan dan harta wajib dilakukan secara adil supaya boleh merapatkan jurang ketidaksamaan di kalangan masyarakat. Islam juga mementingkan pembangunan teknologi. Teknologi yang ingin dibangunkan mestilah sesuai dengan persekitaran tempatan iaitu selari dengan keperluan atau aspirasi negara Islam.

Islam menggalakkan reka cipta, memperbaiki, dan mengubahsuai teknologi yang ada kepada teknologi yang lebih canggih. Jelaslah bahawa agama Islam melarang sebarang pembangunan yang mendatangkan kesusahan kepada manusia.

Pembangunan jenis ini sebenarnya berasaskan kepada kuasa dan kebendaan semata-mata. Pembangunan sedemikian termasuklah yang memberi kezaliman kepada manusia, mengancam kesejahteraan sejagat dan menjadikan manusia lupa tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi.

Oleh itu, setiap pembangunan mestilah mendatang manfaat kepada kehidupan manusia. Kejadian manusia sebagai khalifah di muka bumi dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan mentadbir urusan dunia demi kebahagiaan kehidupan di dunia dan akhirat.

Dalam konteks yang lebih besar, manusia merupakan agen perubah yang dinamik dan progresif. Ini kerana kejadian manusia itu pada dasarnya adalah baik, tetapi kerana dorongan nafsu dan bisikan syaitan, manusia disesatkan sehingga pembangunan dilihat daripada aspek keduniaan semata-mata.

Hakikat ini difirmankan Allah SWT menerusi surah ar-Rum ayat 41 yang bermaksud: ''Telah timbul berbagai kerosakan dan bala' bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat),''.

Dalam erti kata lain, kehidupan manusia di muka bumi ini berasaskan kepada elemen perhubungan yang penting. Sekiranya elemen perhubungan itu diamalkan dengan sebaik-baiknya, manusia akan dapat menunaikan tanggungjawabnya dan memberi manfaat dan kebahagiaan.

Hubungan yang dimaksudkan itu ialah hubungan di antara Allah SWT dan manusia (hablul minallah) yang terjalin menyatakan bahawa manusia adalah hamba Allah SWT. Pada masa sama manusia ialah khalifah dan penguasa di muka bumi dalam konteks perhubungan sesama makhluk dan ciptaan tuhan yang lain (hablul minnas).

Inilah konsep yang sering dipinggirkan dalam memahami konsep pembangunan. Pembangunan dalam konteks Barat hanya dikaitkan kepada urusan duniawi semata-mata. Walhal kita mengetahui hakikat yang mana manusia sebagai agen perubah dalam masyarakat, mempunyai pertalian atau perhubungan rapat dengan penciptaNya.

Allah SWT sebagai Maha Pencipta meletakkan amanah kepada setiap manusia di muka bumi ini untuk membuat kebaikan dan menghindarkan kemungkaran.

Sebagaimana firman Allah SWT menerusi surah al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud: ''Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persedian yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan".)

Setiap negara mengimpikan pembangunan yang menjamin keadilan dan kesejahteraan hidup. Keagungan dunia Islam suatu ketika dulu musnah apabila umat meminggirkan hubungan mereka dengan Allah SWT dan sesama manusia. Kemusnahan ini disebabkan oleh kerakusan manusia yang terlampau mengejar pembangunan dunia sehingga melupakan pembangunan akhirat.

Oleh itu, setiap dasar pembangunan yang hendak dibuat haruslah dimulai dengan kekuatan akidah, intelek, dan kemasyarakatan. Apabila ini berlaku maka kesan pembangunan yang diambil akan mendatangkan manfaat dan kesejahteraan kepada manusia itu sendiri.

Read more...

About This Blog

Catatan dalam blog ini ada yang berasaskan pengalaman pribadi dan isu-isu semasa.

  © Blogger template The Business Templates by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP