Showing posts with label Lebuhraya Pan Borneo. Show all posts
Showing posts with label Lebuhraya Pan Borneo. Show all posts

Monday, August 19, 2024

PUNCA PROJEK SAKIT DAN BERMASALAH DI SABAH

PEMBINAAN LPB (Lebuhraya Pan Borneo) untuk memenuhi tanggungjawab Persekutuan pada Sabah dan Sarawak.

Selain itu matlamat pembinaan tersebut untuk meningkatkan akses, pergerakan, perhubungan dan ketersambungan melalui rangkaian jalan raya bermutu tinggi, selamat dan selesa.

Kesan yang diharapkan antara lain memangkin pertumbuhan ekonomi penduduk tempatan.

Sementara di Sarawak LPB Fasa 1 telah siap dan digunakan, di Sabah pula hanya sebahagian siap dan sebahagian lagi dijangka siap hanya pada tahun 2026.

Antara penyebab lambatnya penyiapan di sebelah Sabah, kerana bermula setahun lewat berbanding Sarawak; selain perubahan pelaksanaan, apabila PDP dibatalkan oleh Kerajaan Warisan, yang menyebabkan 20 pakej daripada 35 dinilai semula termasuk perlantikan kontraktor baharu.

Apa yang menyedihkan, walaupun pembinaan LPB bahagian Sabah giat dilaksanakan, akan tetapi projek tersebut terkategori projek sakit dan bermasalah.

Jika sesebuah projek berkedudukan sakit dan bermasalah, tentunya penyiapan juga terbantut.

Di Sabah apa yang tidak berkategori sakit dan bermasalah? era Datuk Shafie Apdal menteri KKLW berbilion ringgit peruntukan diberikan untuk menaik taraf kemudahan asas luar bandar seperti Bekalan Air Bersih Luar Bandar (BABLB); Bekalan Elterik Luar Bandar (BELB); Jalanraya Luar Bandar (JRLB) tidak selesai walaupun peruntukan habis dibelanjakan.

Pendek kata, apabila isu-isu pembangunan dipolitikan, maka kesudahannya projek-projek tersebut bertukar sebagai projek sakit dan bermasalah.

Demikian juga berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dipolitikan, maka pelaksanaannya terbantut atau tertangguh.

Yang paling merugikan rakyat dan Sabah, apabila politik juga dipolitikan, apabila parti-parti politik dan para pemimpin parti-parti itu saling menekan antara satu sama lain, bagaikan enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.

Sabah yang hanya mempunyai 25 kerusi parlimen, dan kedudukan itu lah asas kekuatan politik negeri dalam politik Persekutuan, pun demikian terpecah-pecah, sehinggakan kehilangan kesan malah berkedudukan seperti melukut di tepi gantang.

Perpecahan ada lah sumbangan para pemimpin yang tidak saling mengalah, tiada yang sanggup menjadi pemimpin nombor 2, melainkan mesti pemimpin nombor 1.

Apabila pemimpin diberikan kedudukan nombor 1 oleh rakyat menerusi pilihan raya, pemimpin lain tidak mahu menerima, dan sepanjang masa digerakan berbagai kaedah agar pemimpin tersebut hilang pada kedudukan tersebut.

Mengapa berlaku tindakan tumbang menumbang? atas sebab perbezaan kepentingan. Perbezaan kepentingan antara pemimpin lah yang menyebabkan Sabah dalam segala aspek berada dalam dalam keadaan “sakit dan bermasalah”.

Mengapa berlaku perbezaan kepentingan? sebabnya yang ada kuasa bertindak “take all” daripada yang sekecil-kecil hingga ke besar. Contoh sederhana, projek-projek kecil daerah, samada peruntukan wakil rakyat atau kementerian atau peruntukan khas, berpusing-pusing untuk orang-orang tertentu dalam “inner circle’ atau “dalam sistem”, termasuk yang separti atau seperjuangan akan tetapi bukan “inner circle” atau bukan “dalam sistem” bau pun tidak lepas, apa tah lagi daripada parti lawan.

Tindakan mereka yang ada kuasa, berbuat demikian, kerana dalam pengertian mereka, mereka sahaja yang layak makan isi, melainkan yang lain, hanya tulang, air sup pun tidak merasa.

Pada yang berkuasa cuba tanya diri sendiri, apa yang anda lakukan? Walaupun masih ada pemimpin berbudi luhur, tetapi bilangan mereka sangat sedikit.

Apabila niat pemimpin sentiasa dikongkong kepentingan peribadi, maka tindakan sehingga menyebabkan pembinaan LPB sebelah Sabah tidak akan menjadi projek SAKIT DAN BERMASALAH.

Berdepan dengan rakyat semasa pilihan raya, jangan marah atau salahkan rakyat apabila yang pernah menyokong menarik sokongan.

Rakyat yang pernah menyokong kemudian menarik sokongan, berpunca daripada pemimpin yang mereka sokong, mengharapkan pembelaan, mengharapkan harapan & aspirasi ditunaikan, malangnya, tidak kesampaian, melainkan, apa yang mereka lihat perubahan yang amat ketara daripada segi gaya hidup (life style) pemimpin yang disokong yang melahirkan penyokong/pengikut yang besar-besar kepala.

Keadaan ini (Rakyat yang pernah menyokong kemudian menarik sokongan, berpunca daripada pemimpin yang mereka sokong, mengharapkan pembelaan, mengharapkan harapan & aspirasi ditunaikan, malangnya, tidak kesampaian, melainkan, apa yang mereka lihat perubahan yang amat ketara daripada segi gaya hidup (life style) pemimpin yang disokong yang melahirkan penyokong/pengikut yang besar-besar kepala.) lah yang berlaku di Sabah, dan menjadi punca kerapnya bertukar kerajaan.

Antara tahun 2003-2018, tindakan tidak memilih bulu, memungkinkan kerajaan negeri bertahan melepasi jinx dua penggal, namun, kemaruk kuasa daripada pemimpin tertentu, dengan menubuhkan parti sendiri dan bersengkokol dengan parti lawan telah menyebabkan perpecahan, kesannya parti tunjang menjadi lemah, dan akhirnya terus berpecah, apa tah lagi kini dipimpin oleh mereka yang hanya menunggang parti untuk kepentingan peribadi.

Mereka yang menjadikan kerajaan negeri lemah dan tumbang, tidak menerima hakikat, bahawa projek LPB tidak akan terealisasi jika bukan hasil kepimpinan kerajaan pada masa itu. Bukan itu sahaja kerana dendam dengan kepimpinan yang ditumbangkan, maka “giving the last blow” dengan menukar kaedah pelaksanaan pembinaan LPB, kesannya, rakyat dan negeri yang merasainya, sehinggakan kesan yang diharapkan terbantut dan tertangguh.

Apa kah rakyat Sabah terus melayari kehidupan dengan penuh masalah? masalah politik, kemajuan dan pembangunan? jika rakyat tidak ingin lagi keadaan berdekad-dekad berterusan, maka perlu menentukan pilihan terbaik pada PRN-17, dan menentukan kerajaan yang dapat menunaikan harapan dan aspirasi rakyat selamanya.

Rakyat perlu menyahkan pemimpin politik toksik, pilih lah pemimpin berorentasi rakyat secara menyeluruh.

Tuesday, April 23, 2024

PDP PAN BORNEO: SAYA HANYA MAKAN GAJI- SHAHELMEY

PEMIMPIN Umno seperti Datuk Bung Moktar Radin tidak wajar bertanya siapa pemilik syarikat Projek Delivery Partner (PDP) Pan Borneo, kerana syarikat yang ditubuh era kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah yang ditunjangi Umno adalah syarikat usaha sama beberapa syarikat multi-nasional yang berkeupayaan untuk mempercepat penyiapan Fasa 1 Pan Borneo.

Pengelibatan Ir Shahelmey Yahya kerana dilantik sebagai Pengarah Urusan berpandukan kepada kelayakan beliau menerajui syarikat seumpama itu.

Penulis terkejut apabila pada Sidang DUN Sabah pada Isnin Bung bertanyakan siapa pemilik Syarikat PDP itu, seolah-olah termakan dakwaan segelintir pemimpin Parti Warisan yang sekian lama mendakwa bahawa syarikat itu dimilki Timbalan Ketua Menteri III itu.

Penamatan PDP era kerajaan Warisan, walaupun sesetengah pemimpin parti itu terutama Ketua Penerangan Datuk Ajis jaman mendakawa penamatan dibuat oleh Lim Guan Eng selaku menteri kewangan, dengan alasan untuk tujuan penjimatan, kerana apabila projek itu diurus oleh Jabatan kerja Raya, maka kerajaan menjimat RM700juta kos pengurusan yang perlu dibayar kepada PDP, sedangkan kesan pada penamatan itu bukan sahaja memperlambat penyiapan akan tetapi juga peningkatan kos melebihi kos yang dikatakan dijimatkan.

Kini, sudah lah penyiapan projek itu terlambat kerajaan juga terpaksa menanggung kos tambahan yang tidak perlu jika pada masa itu dilakukan sedikit penyelidikan berkaitan status PDP tersebut.

Sepatutnya Bung daripada awal lagi mengetahui bahawa syarikat PDP itu adalah usahasama antara Warisan Tarang Construction Sdn Bhd (syarikat negeri Sabah), UEM Group Bhd dan MMC Corp Bhd dan tidak terikut-ikut dengan dakyah pemimpin parti Warisan, kerana jelas projek era Barisan Nasional itu sepatutnya telah lama siap (Fasa 1) jika tidak dibatalkan.

Apabila pemimpin bertindak kerana dendam, bertindak tidak profesional, maka kesannya bukan sahaja merugikan kewangan kerajaan juga memberi kesan besar pada rakyat yang sepatutnya telah merasai lebuh raya tersebut.

Kepada rakyat Sabah agar keadaan seumpama ini tidak berulang, maka para pemimpin sedemikian tidak wajar diberi peluang, kerana hanya memudaratkan kemajuan dan pembangunan negeri.

Nota: PDP dibatalkan pada tahun 2019 era Kerajaan Parti Warisan yang berketua Menterikan Datuk Shafie Apdal.

Sunday, April 24, 2016

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Bakal Bawa Impak Besar - Najib

PAPAR, 24 April (Bernama) -- Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan membawa impak yang besar kepada bumi Sabah dan rakyatnya termasuk dari segi pembangunan sosioekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata walaupun banyak projek telah dilaksanakan di negeri ini namun jika dibuat perbandingan tidak dinafikan apabila projek lebuh raya itu siap kelak, ia bakal menjadi projek yang membawa kesan dan impak paling besar di negeri ini.

Katanya ini kerana impak pembangunan yang bakal dibawa Lebuhraya Pan Borneo Sabah kelak bersifat lonjakan berganda serta berterusan, tidak seperti projek biasa yang lain.

"Ya, kita telah buat banyak projek di Sabah. Kita telah buat Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP), Sabah Oil & Gas Terminal (SOGT), Lahad Datu Palm Oil Industrial Cluster (POIC), kita wujudkan Universiti Malaysia Sabah (UMS), kita bina jalan raya luar bandar, laksanakan projek bekalan elektrik, air, projek perumahan rakyat dan pelbagai lagi sejak Sabah bersama membentuk Malaysia.
"Tapi kalau kita nilai dalam banyak projek tersebut, dalam membuat perbandingan mana satu projek yang bawa impak paling besar, saya berani kata bahawa projek Lebuhraya Pan Borneo untuk Sabah merupakan projek yang paling besar kesan dan impaknya kepada bumi Sabah," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah di Kampung Andus, Papar yang dihadiri lebih 20,000 rakyat pelbagai lapisan dan kaum.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak serta menteri-menteri persekutuan dan negeri Sabah.

Najib berkata pelancaran projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah juga membuktikan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) menepati janjinya dalam manifesto pilihan raya umum 2013 bahawa dalam tempoh lima tahun projek Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,300 kilometer dari Semantan, Sarawak ke Serudong, Sabah akan dilaksanakan.

"Janji BN pasti kita tunaikan kerana BN bukan parti yang mengamalkan politik melahirkan rasa benci, bukan parti adu domba rakyat, bukan parti yang mengelirukan perasaan dan pemikiran rakyat. Itu adalah parti pembangkang.

"BN adalah sebuah parti yang punya visi masa depan. BN adalah sebuah parti yang mempunyai pelan pembangunan sosio ekonomi mentransformasikan bumi Malaysia ini," katanya.

Perdana Menteri berkata BN ialah sebuah parti yang mampu melaksanakan projek pembangunan demi faedah rakyat.

"Inilah yang kita mesti bezakan dengan orang yang tabur janji, dengan orang tabur fitnah dan orang kelirukan rakyat. Kita tidak boleh bergantung kepada mereka, kita tidak boleh mengharapkan mereka (penabur fitnah). Kita cuma boleh bergantung dan berteduh di bawah payung BN," katanya.

Najib juga menyifatkan Lebuhraya Pan Borneo Sabah sebagai pencetus perubahan sebenar kerana projek itu akan membentuk rangkaian jalan raya empat lorong bermula dari Sindumin ke Tuaran, Kudat, Ranau, Lahad Datu, Tawau dan kemudian Tawau ke Kimanis dan Kota Kinabalu dalam tempoh 20 tahun.

Katanya meskipun kerajaan kini kekurangan pendapatan ekoran kejatuhan harga minyak di pasaran antarabangsa namun fasa pertama projek lebuh raya tanpa tol bernilai RM12.86 bilion dan dijangka siap menjelang 2021 itu tetap diteruskan demi pembangunan Sabah yang lebih hebat.

Beliau berkata tiga pakej permulaan yang merupakan sebahagian fasa pertama projek sepanjang 706km itu akan ditawarkan pada bulan hadapan iaitu Pakej Papar-Donggongon sepanjang 11.7 kilometer, Jalan Tawau-Semporna (5km) dan Lahad Datu Bypass (7km).

Perdana Menteri berkata beliau mahu projek Lebuhraya Pan Borneo dilaksanakan sebagai projek "paling demokratik dan inklusif" dengan semua pihak diberi hak yang adil dan saksama dalam pelbagai aspek pelaksanaannya.

"Saya nak projek ini bukan syarikat besar sahaja dapat. Kita beri syarikat orang Sabah dengan syarat mereka mampu buat. Jangan jual projek, jangan songlap duit. Buat betul-betul, siapkan mengikut masa, sebab janji kita kepada rakyat. Kita senarai hitam syarikat begitu, kita beri syarikat tulen Sabah yang berkemampuan," katanya.

Menurut Najib beliau juga tidak mahu projek lebuh raya berkenaan diberikan kepada kontraktor besar sahaja sebaliknya kontraktor kelas F juga perlu mendapat bahagian dalam projek berkenaan.

"Orang Sabah sudah cukup bersemangat. Kita merangsang minda orang Sabah supaya orang Sabah juga boleh maju dengan lebih hebat lagi. Inilah falsafah di sebalik (projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah). Tak tersurat tetapi tersirat dalam hasrat saya sebagai perdana menteri.

"Saya mahu Sabah lebih maju, lebih ke hadapan lagi sampai ke peringkat lebih tinggi dalam beberapa tahun akan datang ... berbaloilah Sabah bersama Malaysia," katanya.

-- BERNAMA

PM Komited Memajukan Sabah: Musa

PAPAR: Projek Lebuhraya Pan Borneo bukan satu-satunya bukti komitmen kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak membangunkan Sabah, malah pelbagai lagi program dilaksanakan sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada April 2009.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata ini termasuklah keprihatinan kerajaan Persekutuan meneruskan pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Keningau dan Tawau.

"Walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah diteruskan, begitu juga UTC di Keningau dan Tawau. Ini semua membuktikan komitmen Perdana Menteri kepada Sabah.

"Tidak cukup dengan itu, malah sejak Perdana Menteri menerajui kepemimpinan negara, pelbagai projek lain seperti penyediaan bekalan air, elektrik dan jalan raya luar bandar, pelaksanaan rumah untuk rakyat miskin, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta bantuan kewangan kepada pelajar dibuat. 

"Ini adalah sebahagian kecil program yang dibuat Perdana Menteri namun kesannya kepada rakyat amat besar. Kita terharu dengan keprihatinan Perdana Menteri kepada Sabah dan rakyatnya," katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang disempurnakan Perdana Menteri di Kampung Andus, di sini, sebentar tadi.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof fan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. 

Musa berkata projek Lebuhraya Pan Borneo bukan saja menjadi pemangkin kepada ekonomi Sabah tetapi membantu merancakkan agenda pembangunan negeri menerusi Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

Perdana Menteri telah melancarkan Pan Borneo Sabah bertempat di Kg Andus, Papar pada Ahad.

Blog Archive