TENOM: DALAM satu kenyataan yang dihibahkan Pejabat Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri pada Khamis memetik Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bahawa Projek Hidroelektrik Ulu Padas diadakan Pecah Tanah hari ini bakal menjana tenaga elektrik sebanyak 187.5 megawatt (MW) sekali gus akan menyumbang secara signifikan kepada grid bekalan tenaga Sabah dengan penambahan sebanyak 15 peratus.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata projek ini bukan saja untuk mengatasi masalah bekalan elektrik di Sabah tetapi ia adalah antara usaha penyelesaian jangka panjang yang mampan kepada negeri ini.
Katanya, sebagai penyumbang utama kepada campuran tenaga boleh diperbaharui, empangan Hidroelektrik Ulu Padas dijangka boleh memenuhi peningkatan tenaga elektrik Sabah apabila siap nanti.
"Ini bukan sahaja akan dapat memenuhi peningkatan permintaan tenaga kita tetapi juga kritikal untuk Pembangunan Minyak dan Gas Sabah dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi dalam negeri kita.
"Selain itu, satu kajian juga sedang dijalankan agar empangan ini berpotensi untuk membekalkan aliran air bersih dan stabil kepada pengguna sehingga 6,000 juta liter sehari (JLH),” katanya sempena Majlis Pecah Tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Kampung Kungkular, dekat sini pada Khamis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim menyempurnakan majlis pecah tanah projek berkenaan.
Hajiji berkata, projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas adalah perkembangan penting dalam pembangunan infrastruktur demi menjamin keterjaminan tenaga elektrik untuk penduduk Sabah.
"Ini juga merupakan satu langkah ke arah meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan kesediaan kita untuk memacu Sabah ke era kemajuan baru.
“Projek ini akan memberi kesan limpahan positif kepada ekonomi tempatan dari segi peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan rakyat dan keusahawanan,” katanya.
Menurutnya, dengan memanfaatkan potensi hidro negeri yang sedia ada, projek Hidroelektrik Ulu Padas dijangka dapat memacu perubahan dan menjadi pemangkin kepada transformasi yang luas kepada negeri Sabah.
“Sektor tenaga merupakan pemacu penting dan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi Sabah sejak beberapa dekad yang lalu,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa komited untuk terus memperkasakan pengurusan sumber tenaga di Sabah dengan melancarkan Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) pada bulan September lalu.
Menurutnya, majlis pecah tanah projek itu merupakan tanda ikatan kerjasama strategik institusi awam dan swasta. Pihak pemaju projek, Upper Padas Power Sdn Bhd, adalah hasil dari ikatan kerjasama dengan kerajaan negeri melalui Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan sektor swasta iaitu Gamuda Berhad dan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd.
"Kehadiran Perdana Menteri yang melakukan upacara pecah tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas, jelas melambangkan sokongan Kerajaan Persekutuan terhadap negeri Sabah, dalam usaha membangunkan infrastruktur asas demi manfaat rakyat di negeri ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment