Sunday, January 28, 2024

CALON CUKUP PAKEJ TETAPI RAKYAT TOLAK

MAKSUD cukup pakej, berpengalaman, pernah menduduki berbagai jawatan politik, pemimpin parti, ada kekuatan kewangan, dikenali, disukai (walaupun oleh pembodek) akan tetapi apabila bertanding dalam pilihan raya rakyat tolak.

Di atas kertas parti mencalonkan seseorang menjadi calon berkategori cukup pakej kerana menurut hemat parti calon sedemikian adalah calon boleh menang “winnable candidate”.

Dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mungkin sesama pemimpin kurang menyedari adanya pemimpin cukup pakej apabila dicalonkan kelak menjadi liabiliti kepada parti kerana gagal menyumbang kerusi.

Mengapa calon cukup pakej ditolak rakyat? Salah satu sebabnya kerana pemimpin itu berada dalam dunianya sendiri, manakala rakyat di dunia lain.

Kerana berada di dunianya sendiri, maka tidak dapat mengukur sejauh mana penerimaan rakyat atau pengundi yang terbahagi pada berbagai lapisan.

Apa yang mendukacitakan kehadiran pemimpin dalam kategori yang dimaksudkan boleh memberi impak negatif secara umum pada parti dan pucuk pimpinan parti. Atau dengan maksud lain kerana seekor kerbau membawa lumpur semua terpalit.

Di Sabah bukan perkara luarbiasa, seseorang calon ada jawatan politik atau parti akan tetapi ditolak rakyat dalam pilihan raya.

Mengimbau PRU14 samada di peringkat DUN atau parlimen, ramai calon yang berkategori demikian ditolak rakyat. Demikian juga pada PRN16 atau PRU15, ada calon yang dianggap cukup pakej tetapi gagal menyumbang kerusi.

Semasa PRN17 nanti, diharapkan pucuk pimpinan GRS dapat meneliti dengan cermat berkaitan calon-calon yang bakal mewakili parti, dan cuba elakkan, calon cukup pakej akan tetapi di mata pengundi tidak.

Keinginan muncul semula sesetengah pemimpin parti yang ditolak rakyat di kawasan asal mereka, menutup peluang pemimpin lain yang berkebolehan, walaupun belum cukup pakej akan tetapi lebih menonjol sebagai calon boleh menang.

Muncul semula membawa pengertian mengakui kesilapan lalu dan berjanji untuk tidak mengulangi, sebab itu meminta peluang ke-dua. Setidak-tidaknya itulah alasan yang diberikan untuk dicalonkan semula.

Malangnya kesilapan lalu sesetengah pemimpin yang menyebabkan mereka ditolak sehingga parti banyak hilang kerusi, diulangi pemimpin lain yang diberi kedudukan. Jika kombinasi sedemikian berlaku pada sesebuah parti, maka di mata rakyat, parti itu mencalonkan calon-calon “cukup pakej” untuk ditolak. Sebelum rakyat melihat calon-calon “cukup pakej” untuk ditolak, maka pemilihan calon perlu teliti dan telus sesuai dengan permintaan akar umbi.

Cukup mudah melihat penanda aras, pakej apa yang patut ada pada seseorang calon, dengan mengambil contoh pemimpin yang sentiasa menang selagi dicalonkan. Di Sabah ramai pemimpin yang boleh dijadikan sebagai penanda aras.

No comments:

Blog Archive