Showing posts with label prk Sibu Sarawak. Show all posts
Showing posts with label prk Sibu Sarawak. Show all posts

Monday, May 17, 2010

P212 Sibu: Bagi Duit Pada Cina Hanya Sia-sia! Malah Dituduh Beli Undi

Karpal Singh hari ini mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terbabit dalam 'pembelian undi' pada pilihan raya keci parlimen Sibu yang berakhir semalam.

Karpal merujuk kepada satu majlis di Rejang Park, sehari sebelum tarikh mengundi seperti mana yang dilaporkan oleh akhbar harian bahasa Inggeris Sunday Eastern Times.

Berikut petikan kata-kata Najib yang dipertikaikan oleh Karpal itu dalam bahasa Inggeris.

“I want to make a deal with you. Can we have an understanding or not? The understanding is quite simple. I help you, you help me,” kata Najib.

Menurut Karpal, Najib menjanjikan kerajaan persekutuan akan memberi RM5 juta untuk projek tebatan banjir di Sibu jika BN menang pilihan raya berkenaan.

“Ini jelas mencabuli Akta Kesalahan Pilihan Raya. Jika tidak berhati-hati, PM akan dihumban ke penjara. Kita mungkin terpaksa adakan pilihan raya kecil di Pekan,” kata Karpal.

Pengerusi DAP itu bercakap kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat pertama Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi membincangkan dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa 1Malaysia diciplak dari One Israel.

Keputusan PRK SIBU:Segalanya Telah Diberi CINA Tetap Tolak BN!!!

ANALISIS, 17 Mei — Skor keputusan pilihan raya kecil selepas Datuk Seri Najib Razak ambil alih kepimpinan kerajaaan April 2009 - Barisan Nasional (BN) dua manakala Pakatan Rakyat (PR) satu.

BN mengekalkan kerusi DUN Bagan Pinang di Negeri Sembilan Oktober lalu dan kemudian merampas kerusi Parlimen Hulu Selangor bulan lalu. BN meningkatkan majoriti tiga angka kepada empat angka walaupun ia kurang satu pertiga daripada 6,000 undi yang disasarkan.

Najib selain berkempen secara peribadi sepanjang separuh kedua untuk menarik pengundi, malah turun sendiri untuk menyambut kemenangan calonnya dari MIC.

Suasana di Sibu malam tadi agak berlainan.

Prestasi BN di Hulu Selangor secara perbandingan bukanlah sesuatu yang memuaskan perikatan 13 parti komponen itu. Ia sendiri diakui sebahagian besar pemimpin BN sendiri jika dibandingkan dengan dana yang diperuntukkan dan jentera yang diturunkan.

Semalam, DAP yang mewakili PR menawan semula kerusi Parlimen Sibu. DAP mencipta sejarah dengan menguasai kerusi kubu kuat BN buat kali pertama sejak 1982.

Majoriti direkodkan PR pula menurun daripada empat angka kepada tiga angka. Majoriti yang direkodkan cuma kira-kira satu persepuluh berbanding perbezaan undi direkodkan pada 8 Mac 2008.

Dalam sistem politik negara ini dan sistem pilihan raya negara ini, walaupun beza satu undi ia tetap dilihat sebagai kemenangan kerana ia memperlihatkan penguasaan kerusi di Parlimen atau di DUN. Oleh itu, yang membezakan cuma populariti moral.

Sebagaimana disaksikan di Hulu Selangor bakal juara pilihan raya kecil Sibu amat sukar untuk diramalkan. Saingan begitu sengit.

Keputusan tidak rasmi yang diperoleh dari pusat-pusat pengundian menunjukkan pergerakan yang cukup dramatik - BN berada di depan sehingga 30 peratus saluran undi siap dikira dan diumumkan. Selepas itu DAP mengatasi BN sehingga menikmati suasana selesa sehingga pukul 11 malam.

Apabila 110 daripada 111 saluran selesai diumumkan kira-kira 10.30 malam- kali ini keputusan rasmi dari pusat penjumlahan undi, DAP masih di depan dengan majoriti lebih 2,600 undi.

Bagaimanapun majoriti menurun kepada tiga digit apabila keputusan undi pos melangkah ke pusat penjumlahan undi.

Apapun di sebalik keputusan muktamad diumumkan semalam persoalan ialah apakah pengajaran diperoleh BN dan PR daripada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu.

Sarawak menyaksikan pilihan raya kecil kedua semalam sejak Mac 2008. Sebelum ini di Batang Ai pada April 2009.

PR menerusi DAP mencipta sejarah dengan merampas semula kerusi Sibu yang menjadi kubu kuat BN sejak 28 tahun yang lalu.

Calon DAP, Wong Ho Leng menewaskan Robert Lau Hui Yew dari BN dan calon Bebas Narawi Haron.

Wong memperoleh 18,845 undi. Robert Lau menerima 18,447 undi manakala Narawi pula 232 undi.

Kejayaan DAP ini, yang bertanding mewakili Pakatan Rakyat, dilihat signifikan bagi mereka selepas BN pula merampas kerusi Hulu Selangor daripada PKR tiga minggu lalu.

Ia juga dilihat akan memberi sokongan moral kepada PR untuk menghadapi pilihan raya umum negeri Sarawak dalam waktu terdekat ini.

Wong juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek dan Pengerusi DAP Sarawak.

Kedua-dua BN dan PR berhadapan dengan laluan sukar menghadapi pilihan raya umum negeri.

Di atas kertas PR masih boleh rasa lega dan yakin untuk berhadapan dengan pilihan raya umum negeri. Sebab itu DAP dan PR bekerja keras untuk memastikan kemenangan memihak mereka.

Di pihak BN pula, selain kepimpinan Najib bergerak atas konsep 1 Malaysia, perikatan bermurah hati dalam meluluskan projek pembangunan, kemudajan untuk rakyat dan peruntukan dengan mudah dan cepat — kesemua mencecah berjuta-juta ringgit. Pendekatan ini amat popular sehingga pilihan raya kecil Kuala Terengganu awal tahun lalu dan dihentikan sementara selepas ia dilihat kurang memberi kesan.

Ia menonjol semula di Bagan Pinang dan Hulu Selangor.

Di sebalik perkembangan ini bagaimana PR dan BN hendak menghadapi pilihan raya kecil akan datang, jika diadakan, dan juga pilihan raya umum negeri dan kemudiannya pilihan raya umum ke-13.

Sebelum ini pilihan raya umum negeri disebut-sebut akan diadakan bila-bila masa — mungkin dalam waktu terdekat — jika BN menang di Sibu. Jika kalah ia mungkin dilewatkan.

Bagaimanapun BN ada mandat sehingga Julai 2011. Bermakna kira-kira 14 bulan lagi.

Apakah kesan dan implikasi keputusan malam tadi kepada pilihan raya umum negeri dan pilihan raya umum ke-13 selepas hanya Semenanjung yang merasai tsunami politik dua tahun lalu. Sarawak sudah tidak terkecuali?

BN Sarawak bangga bahawa ia menyumbang sejumlah kerusi yang banyak kepada asas kukuh kesinambungan kerajaan pusat pada 2008. Apakah asas ini sudah mula mengalami keretakan?

Apapun BN dan PR berada di persimpangan destinasi baru yang sememangnya mencabar dan penuh menarik untuk dilihat. Kedua-dua perikatan perlu pandai mendukung, membela dan melayan landskap politik baru.

BN Sarawak perlu mengelak kesan tsunami politik yang lewat tiba ini.

Sunday, May 16, 2010

P212 Sibu: Calon Bebas dan Undi Rosak Besar Pengaruhnya

Berikut adalah keputusan penuh pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu di Sarawak yang berlangsung Ahad.

1. Robert Lau Hui Yew (BN)................ 18,447 undi
2. Narawi Haron.......(BEBAS)............. 232 undi
3. Wong Ho Leng.......(DAP)......... ..... 18,845 undi

Jumlah mengundi/Votes cast.................37,919
Peratus/Percentage.........................70 peratus

Undi rosak/Spoilt votes....................395

Majoriti/Majority..........................398
Undi pos/Postal votes......................2,429

Penyandang: Datuk Robert Lau Hoi Chew (BN) (meninggal dunia 9 April 2010)

Undi diperoleh: 2008: 19,138 Majoriti: 3,235 (tewaskan Wong Ho Leng-DAP)

P212 Sibu: Politik Pembangunan BN Di Musim Pilihanraya Bukan Senjata Ampuh Lagi

Kekalahan BN melalui PRK Sibu menggambarkan bahawa politik pembangunan dikala pilihanraya bukan senjata ampuh lagi.

Mengabaikan para pemimpin tempatan terutama Ketua Menteri Pehin Seri Taib Mahmud dengan tidak memasang poster di bandar Sibu juga mempotretkan, bahawa kuasa para pemimpin tempatan diabaikan.

Ini lah kesilapan besar BN melalui PRK Sibu ini.

Dap berjaya mempengaruhi para pemimpin BN kerana DAP menyerang Taib Mahmud secara peribadi, melalui serangan tersebut, para pemimpin BN terutama yang berasal daripada Semenanjung mempercayai, bahawa kempimpinan Pehin Seri Taib sudah di penghujung jalan.

Pendekatan BN kali ini tersilap langkah, kerana terikut-ikut rentak pembangkang.

Apa yang boleh dikata lagi, nasi sudah menjadi bubur.

Gula-gula pilihanraya, langsung tidak bermakna lagi.

Para pemimpin perlu mengambil iktibar melalui PRK ini, kerana isu di Semenanjung tidak sama dengan Sabah dan Sarawak.

P212 Sibu: Benar-benar Pengundi Cina Memberi Pelajaran Pada BN

Hanya 32,742 pengundi atau 59.86% daripada 55 ribu pengundi berdaftar P212 Sibu membuang undi pada PRK Sibu kali ini.

Benar lah 67% pengundi kaum cina P212 Sibu memberi pelajaran kepada BN, bahawa peruntukan dan janji pembangunan yang dianggap begitu murah selama kempen ini tidak mampu mempengaruhi mereka.

Setelah undi pos yang berjumlah 2,537 diambil kira, akhirnya BN kalah 398 undi.

keputusan adalah seperti berikut:

Election Commission makes official announcement:

DAP - 18,845
BN - 18,447
Ind -232

Majority - 398

The two-hour delay in the announcement of the result was due to a dispute in the postal ballots where 208 votes were rejected. This however did not change the final result.

The final result of the postal ballots:

DAP - 70
BN - 2,323
Ind - 36

Rejected postal votes - 208

Kerusi Sibu Hilang Sebab Poster Taib Tidak Dipamer di Bandar Sibu?

Memang diakui bandar Foochow Sibu di diami majoriti kaum cina. Namun sejak sekian lama pada setiap pilihanraya, poster Pehin Seri Taib terdapat di mana-mana di sudut bandar itu, namun kali ini jarang sekali poster ketua menteri terlama di Malaysia itu.

Di bandar Sibu hanya poster perdana menteri DS Najib dan calon SUPP Robert Lau jr. Malah dikhabarkan, kempen saat-saat akhir DS Najib tidak ternampak kehadiran Ketua menteri Sarawak itu.

Dalam kiraan tidak rasmi yang masuk setakat ini, pengundi bagi kawasan majoriti cina, BN hanya mampu memperolehi antara 27-30%, manakala selebihnya telah mengundi DAP.

Untuk kawasan bumiputra, dikhabarkan pengundi yang mengundi BN dan DAP hampir seimbang, hanya dibezakan dengan peratusan antara 3-4%. memihak kepada BN.

Memandangkan jumlah pengundi cina adalah 67% daripada jumlah pengundi, maka berasaskan analisis tidak rasmi, BN akan kehilangan kerusi SIBU.

P212 Sibu: Peti Undi Bumiputra Berpihak Pada BN

Proses pengundian akan berlangsung daripada jam 8 pagi sehingga 5 petang ini. Keputusannya dijangka diketahui pada jam 9 malam ini.

3.44 petang: Setakat jam 3 petang, peratusan keluar mengundi sebanyak 29,000 orang atau 53.02 peratus.

3.30 petang: Keputusan tidak rasmi daripada 12 pusat pengundian yang telah ditutup menunjukkan DAP ketinggalan 1,029 undi di belakang BN.

DAP mendapat 810 undi, BN 1,839 manakala bebas 15 undi.

Sudah 21 daripada 45 pusat pengundian telah ditutup setakat ini.

3.15 petang: Kiraan tidak rasmi DAP mendapati mereka ketinggalan 500 undi kepada BN.

Daripada 11 saluran, DAP setakat ini memperoleh 619 undi, BN mendapat 1,100 manakala bebas hanya mendapat 11 undi.

3.10 petang: Selepas 21 pusat pengundian ditutup - di kawasan yang jumlah pengundinya sedikit, terutama di rumah-rumah panjang - pada jam 3 petang tadi, pemimpin popular DAP Lim Kit Siang kelihatan terus pesimis.

"Keputusan daripada lapan pusat pengundian - DAP ketinggalan 540 undi," katanya dalam laman Twitter.

"Masih dapat ditebus - tetapi bergantung pada keajaiban Sibu."

2.50 petang: Pemimpin popular DAP Lim Kit Siang berkata keputusan hasil kiraan di 10 pusat pengundian yang ditutup awal "tidak baik".

"Bolehkah 2 jam 15 minit lagi menampung kekalahan ini? tanya Lim dalam laman Twitter.

Daripada 45 pusat pengundian yang dibuka, 21 telah ditutup (10 ditutup pada jam 1, lima pada 2 petang dan enam pada 3 petang). Manakala dua lagi akan ditutp pada 4 petang dan 22 pusat pada 5 petang.

2.34 petang: Dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 46.29 peratus, sasaran SPR untuk mencapai peratusan sebanyak 80 peratus dalam masa tiga jam lagi dilihat sukar menjadi kenyataan. Sebagai perbandingan "Pada jam 2 petang, sebanyak 63.74 peratus telah mengundi di Hulu Selangor.

"Prospek nampak suram kecuali terdapat peratusan keluar mengundi yang tinggi," tulis tokoh popular DAP Lim Kit Siang dalam laman Twitter beliau.

12.31 tengah hari: Setakat jam 2 petang, peratusan keluar mengundi sebanyak 25,319 orang atau 46.29 peratus.

2.18petang: SPR memulakan pengiraan undi untuk pusat pengundian yang telah ditutup.

Daripada 45 pusat pengundian yang dibuka, 10 daripada pusat itu akan ditutup pada 1 tengah hari, lima pusat pada 2 petang, enam pusat pada 3 petang, dua pada 4 petang dan 22 pusat pada 5 petang.

2.15 petang: "PENTING! Peratusan keluar mengundi rendah. Ho Leng mungkin kalah, sila ajak keluarga dan rakan-rakan kamu keluar mengundi!" tulis ahli parlimen Serdang daripada DAP Teo Nie Ching dalam laman Twitter.

1.41 tengah hari: Setakat jam 1 tengah hari, sebanyak 23,103 atau 42.24 peratus telah membuang undi.

12.43 tengah hari: Menurut Zentrum Future Studies - NGO yang mengkaji mikro persepsi kepercayaan politik di Sibu - sehingga jam 12.30 tengahari, sokongan untuk BN dan Pakatan seimbang.

Menurut kajian itu, BN mendapat 49.8 peratus sokongan, Pakatan 49.2 peratus dan bebas 1. peratus.

12.32 tengah hari: Menurut laman Twitter Sibu4change, peratusan keluar mengundi di beberapa pusat pengundian tinggi, setakat jam 12 tadi.

- Di SK Rantau Panjang, Bawang Assan PD, peratusan keluar mengundi sebanyak 82.6 peratus. Pusat pengundian ditutup pada jam 1 tengah hari.

- Di SK Sg Pinang, Rassau PD peratusan keluar mengundi sebanyak 72.7%. Akan ditutup pada jam 2 petang.

- Di SK Rantau Panjang  peratusan keluar mengundi sebanyak 80.6%. Ia akan ditutup pada jam 4 petang.

- Di Kg Sg Pasai peratusan keluar mengundi sebanyak 56.5 peratus, akan ditutp pada jam 4 petang.

- Di SK Sg Pasai, Rassau PD peratusan keluar mengundi sebanyak 50 peratus, akan ditutp pada jam 4 petang.

Keputusannya dijangka diumumkan oleh SPR di Dewan Suarah Sibu selewat-lewatnya pukul 9 malam ini.

Kerusi parlimen itu kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew yang juga tiimbalan menteri pengangkutan pada 9 April lalu.

P212 SIBU: Kerusi Siapa???

Sejumlah 52,158 pemilih berdaftar mula keluar mengundi hari ini untuk memilih anggota parlimen mereka yang baru dalam pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen Sibu mulai jam 8 pagi ini.

Manakala 2,537 pengundi pos - yang terdiri daripada 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis - mengundi pada hari Khamis dan Jumaat lalu di kem tentera di Rascom dan Oya dan ibu pejabat polis daerah Sibu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka 45 pusat pengundian, dengan 110 saluran, di 39 buah sekolah, dua tadika dan sebuah pusat latihan, sebuah rumah panjang, sebuah perpustakaan awam dan sebuah pusat rekreasi awam.

Pilihan raya kecil ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Robert Lau Hui Yew, calon DAP Wong Ho Leng yang juga ADUN Bukit Assek dan calon Bebas, Narawi Haron.

Hui Yew, , dijadual mengundi di SMK Rosli Dhoby i pada kira-kira 9 pagi manakala Wong akan mengundi di SJKC Goung Ann.

Keputusannya dijangka diumumkan oleh SPR di Dewan Suarah Sibu selewat-lewatnya pukul 9 malam ini.

Kerusi parlimen itu kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew yang juga tiimbalan menteri pengangkutan pada 9 April lalu.

Saturday, May 15, 2010

Persepsi Golongan Muda Pro-Pakatan Meragukan

Keputusan pilihan raya kecil parlimen Sibu esok akan dipengaruhi pola pengundian masa lalu.

Persepsi bahawa golongan muda dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun yang mewakili 42 peratus pengundi di Sibu akan menentukan pola pengundian tidak akan berlaku, kerana pola sebelum ini hanya antara 18-20% dalam golongan itu akan membuang undi.

Jika pola pengundian Sarawak seperti yang lalu-lalu, esok BN akan dinobatkan sebagai pemenang.

Rekod pola pengundian P212 Sibu, walaupun BN bersaing hebat dengan DAP yang hanya dipisahkan antara 3-4% undi, namun kegagalan DAP menembusi kaum bumiputra merupakan penghalang utama parti itu.

Laporan para pemimpin yang turut berkempen di Sibu antaranya Timbalan Pengerusi Umno Sabah Datuk Salleh Said, melihat keadaan berasaskan persepsi pengundi, BN masih mendapat sokongan pengundi Sibu antara 54-56%.

Malah dilaporkan di semua tiga kerusi DUN iaitu Bawang Assan, Pelawan dan Nangka, yang terletak di kawasan parlimen Sibu BN masih mengatasi DAP.

Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari terakhir kempen, menggambarkan pertempuran sengit untuk memenangi hati pengundi khasnya golongan pemuda di sana.

Walaupun dikatakan bahawa terjadi persiangan sengit, namun kemenangan BN kali ini akan bertambah walaupun ramai yang meramalkan undi BN akan merosot.

Faktor bertambahnya undi BN kerana faktor sokongan padu kaum bumiputra dan seimbangnya sokongan kaum cina antara BN dan DAP.

PRK SIBU: Terpulang Kaum Cina Sokong Pembangkang Kah BN: Pehin Sri Taib

Terpulang kepada pengundi cina nak sokong DAP kah BN, itu lah kata-kata Pehin Seri Taib Mahmud Ketua Menteri Sarawak.

Selain itu Ketua Menteri Sarawak itu berkata beliau tidak kisah bagaimana pembangkang menyerang beliau secara peribadi semasa kempen pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu sekarang.

"Biar mereka cakap apa yang mereka suka. Jika saya seburuk yang mereka katakan, negeri ini tentu telah hanyut lama dulu.

"Rakyat sudah lama mengenali saya. Mereka lebih tahu," kata beliau.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui media selepas melawat Rh.Dick, rumah panjang Iban mengandungi 54-pintu di km 12, Ulu Oya Road di sini.

Menyentuh perkara lain, Taib berkata terpulang kepada masyarakat Cina untuk mengundi siapa dalam pilihan kecil itu.

"Tetapi kita tidak boleh kata mereka tidak akan berlaku adil.

Saya fikir apa yang adil dan yang benar akan menarik hati mereka. Jika mereka tak kisahkan keadilan atau kebenaran, tidak banyak boleh kita lakukan," kata beliau.

Sementara itu, Abdul Taib berkata rakyat Sibu hendaklah bertanyakan diri mereka sendiri siapa yang mereka lebih percaya untuk membantu mereka dan menjaga kebajikan dan hak mereka.

"Sama ada kerajaan Barisan Nasional atau pembangkang, rakyat adalah hakim terbaik. Tetapi BN sentiasa memenuhi janji yang dibuat, jika tidak 100 peratus, setidak-tidaknya 90 peratus dan kadang kala lebih dari 100 peratus," kata beliau.

Beliau berkata ini juga bergantung pada dana yang ada dan ekonomi dunia.

"BN mempunyai rekod pencapaian cemerlang, tetapi pembangkang akan berkata sebaliknya," kata beliau.

Sibu Tiba-tiba Jadi Tumpuan Kabinet dan Juga Pemimpin Pembangkang

PENGUNDI DAN PENDUDUK Sibu tidak pernah menyaksikan hampir semua anggota Kabinet Persekutuan turun ke akar umbi berjumpa dengan rakyat, termasuk di rumah panjang dan kampung Melayu-Melanau.Tidak ketinggalan istri Perdana Menteri Datin Rosmah Mansor ikut berkempen dan berjumpa dengan kaum wanita dan pengundi atas pagar.

Mereka hairan mengapa lebih daripada 20 orang anggota kabinet perlu turun padang untuk menumbangkan hanya seorang calon DAP?

Begitu kuatkah pengaruh pengerusi DAP Sarawak itu sehingga perdana menteri perlu turun ke bandar Foochow ini sebanyak tiga kali dalam tempoh yang relatif singkat.

Itu belum lagi mengambil kira jumlah ahli politik dan menteri Sarawak, serta seluruh instrumen dan agensi kerajaan yang terpaksa dikerah untuk memujuk dan menundukkan pengundi di Sibu.

Memang ada sesuatu yang tidak kena dengan Barisan Nasional (BN) di kawasan yang mempunyai 54,695 pengundi ini.

Meskipun dikuasai mendiang Datuk Robert Lau, mantan Timbalan Menteri Pengangkutan dari parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) selama lima penggal sejak 1990, namun majoriti yang dimenanginya pada 2008 tidaklah begitu menggembirakan.

BN sedar akan risiko yang bakal ditanggung jika mereka tidak bekerja keras untuk menggerakkan seluruh jentera pilihan raya kali ini. Itulah sebabnya, segala langkah diambil untuk memujuk pengundi agar menyokong calon SUPP Robert Lau Jr.

Setiap kaum mempunyai rungutan dan masalah masing-masing.

Sebahagian besar daripada 8,665 pengundi Iban di rumah panjang kecewa kerana kerajaan dipersepsi meminggirkan mereka. Jika tidak, bagaimanakah sesudah lebih 45 tahun merdeka, masih ada yang merungut tidak menikmati bekalan air bersih, elektrik dan jalan berturap.

Menteri Persekutuan yang berjumpa dengan pengundi yang sebahagiannya miskin dan papa kedana terkejut melihat keadaan rumah panjang yang daif dan kehidupan sebahagian orang Iban yang melarat.

Melayu-Melanau di kawasan DUN Nangka pula kecewa dengan sikap wakil rakyat sehingga gagal memahami aspirasi dan masalah mereka.

Manakala 36,494 pengundi Cina pula mempunyai persepsi yang negatif terhadap dasar kerajaan yang dianggap tidak adil sehingga merugikan mereka dari segi pendidikan, ekonomi dan peluang pekerjaan di sektor swasta. Bagi mereka, kerajaan menganggap mereka seolah-olah anak tiri meskipun tinggal di bawah rumah yang sama.

Pada pillihan raya kecil parlimen Sibu sekurang-kurangnya 60 peratus daripada mereka dijangka menyokong DAP. DAP dilihat berani, lantang dan mampu menyuarakan kepentingan dan masalah mereka.

SUPP pula, yang dibelenggu oleh masalah dalaman yang belum selesai, dianggap gagal menyelesaikan masalah mereka. Malah, parti Cina Sarawak itu dikatakan tidak berani membangkitkan isu dan masalah yang dianggap sensitif, kerana takut menyinggung perasaan Ketua Menteri, Pehi seri Taib Mahmud, yang telah berkuasa selama 29 tahun.

Tidak hairanlah, antara kata-kata yang terdapat di kain rentang di bandar 270,000 penduduk ini ialah 'Undi SUPP = Undi Taib'. DAP menyifatkan kepemimpinan Taib semarak dengan nepotisme, kronisme dan penyelewengan, khususnya dari segi agihan sumber kekayaan negeri.

Pengundi Cina sebanyak 66.7 peratus sudah mendahului rakan mereka di Semenanjung dari segi pola pengundian.

Pada pilihan raya negeri 2006, enam kerusi SUPP terlepas ke tangan DAP kerana isu kenaikan harga minyak dan isu tanah yang dianggap merugikan mereka.

Mereka kecewa dengan kerajaan kerana gagal menangani masalah banjir di Sibu. Banjir kerap melanda bandar ini setiap kali hujan lebat. Bagi memujuk hati pengundi, sebanyak RM300 juta diperuntukkan untuk melaksanakan projek tebatan banjir.

Manakala isu ketiadaan universiti ditangani dengan rancangan untuk menaikkan taraf Kolej Laila Taib menjadi kolej universiti menjelang 2012.

Tetapi DAP mengkritik SUPP kerana menjual kolej itu kepada pihak Yayasan Sarawak dengan harga RM1, tanpa mempedulikan perasaan dermawan Cina yang telah menyumbang kepada kewujudan kolej itu.

Kehadiran Perdana Menteri, Timbalan Perdana, serta puluhan menteri dan timbalan menteri Persekutuan dan negeri, untuk menyelesaikan masalah rakyat menimbulkan pertanyaan.

Mengapakah masalah berkenaan seolah-olah hanya cuba diselesaikan menjelang pilihan raya?

Mengapakah kerajaan BN kelihatan begitu bermurah hati pada waktu berkempen kali ini?

Namun, sejauh manakah projek mi segera dan penyelesaian ala bomba memadamkan kebakaran itu, berjaya memujuk pengundi? Dalam tempoh 10 hari lalu, beratus-ratus juta ringgit nilai projek diumumkan bagi memujuk rakyat.

Alangkah hausnya pengundi di Sibu ini terhadap projek pembangunan walaupun slogan politik pembangunan Taib telah didendangkan sekian lama.

Hakikatnya, meskipun pengundi Iban dan Melayu-Melanau kecewa, mereka tetap merupakan pendukung kuat BN.

Dengan rekod yang tidak memihak kepada pembangkang dalam pilihan raya kecil selama ini dan sikap pengundi Bumiputera luar bandar yang begitu setia kepada kerajaan, dijangka sekitar 75 peratus daripada 40 peratus keseluruhan pengundi Bumiputera akan tetap menyokong BN.

BN begitu berjaya membenamkan ke dalam minda pengundi terbabit konsep kebergantungan sehingga minda mereka tertawan oleh BN. Golongan ini ialah pengundi tegar yang menganggap politik pembangunan masih relevan.

Politik penaungan masih mengambil tempat utama ketika mereka masih lagi memerlukan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, api dan jalan berturap. Sedangkan bagi pengundi Cina di bandar, isu berkaitan sudah lama diselesaikan.

Pengundi Cina lebih selesa bercakap tentang isu tadbir urus yang baik, ketelusan, rasuah, ekonomi, pendidikan dan isu nasional yang lain. Bagi pengundi Bumiputera di rumah panjang, isu ini terlalu abstrak dan tidak meninggalkan sebarang kesan.

Bagaimankah Pakatan Rakyat dapat mempengaruhi pengundi terbabit ketika sebahagian mereka masih bergelut untuk hidup?

Kemiskinan dan kesukaran mencari pekerjaan di Sibu-lah yang menjadi punca anak muda mencari peluang pekerjaan sejauh Singapura dan Kuala Lumpur. Siapakah yang mahu memerah tulang empat kerat di ladang kelapa sawit dengan gaji kurang RM20 sehari?

Hanya buruh asing terutama dari Indonesia yang sanggup melakukannya. Ketiadaan golongan muda di Sibu menguntungkan BN, kerana rata-rata, kerana pendidikan dan pendedahan kepada media alternatif, mereka menjadi anti-BN.

Jentera BN terlalu hebat untuk dilawan oleh Pakatan Rakyat. Laporan media tidak memihak kepada mereka, apatah lagi tiga akhbar tempatan dikaitkan dengan keluarga calon SUPP.

Dalam usaha menggempur pengundi dari semua penjuru di semua tempat oleh instrumen kerajaan dan BN, DAP dijangka berhalangan untuk menguasai kerusi ini sekali lagi.

Sumber, wang, jentera pilihan raya dan banyak lagi memihak kepada BN. Namun, kemenangan dengan majoriti undi yang merosot kali ini, tentu merupakan pukulan hebat ketika BN yang ingin melangkah ke gelanggang pilihan raya negeri dengan lebih yakin.

Kehadiran begitu ramai pemimpin yang disertai kabinet persekutuan dan negeri nampaknya kurang berbaloi jika dikaitkan dengan undi yang akan diperolehi calon BN.

Bagi pembangkang dalam hal ini DAP atau Pakatan, jumlah undi yang akan diperolehi pengerusi DAP negeri itu cukup berbaloi jika diakitkan dengan kos dan masa yang mereka korbankan.

Sekiranya wakil rakyat sebelum ini telah menyuarakan dan mengatasi sebahagaian daripada masalah-masalah yang disebutkan di atas, sudah tentulah Perdana Menteri dan Timbalannya tidak perlu meluangkan masa yang cukup ketera banyaknya hanya untuk mengalahkan calon DAP dan cuba mempertahankan kerusi P212 Sibu.

Seharusnya pengelaman yang ada di Sibu Sarawak perlu diambil sebagai iktibar para pemimpin kerajaan, kerana masa cerah itu tidak selamanya mengambang, dan mendung itu akan senantiasa mengarak.

Esok adalah hari pengundian. Berasaskan pengamatan BN masih boleh menang, namun kemenangan yang sukar diramal majoritinya.

Sunday, May 09, 2010

Jangan Bawa Budaya Samseng Ke Sibu Sarawak

BUKAN isu tidak lagi bertamadun. Bukan isu belum lagi terbuka. Bukan isu belum lagi berubah. Isunya adalah budaya Sarawak adalah budaya bukan berasas polarisasi, budaya Sarawak adalah budaya kekitaan.

Berbagai etnik di Sarawak hidup dengan aman damai tanpa mempersoalkan kesukuan atau bangsa. Tidak timbul pertanyaan "awak orang mana" "Baru sampai sini" dan sebagainya.

Budaya Sarawak tidak mengenal warna kulit atau bentuk mata, jenis rambut, budaya Sarawak adalah budaya berbilang kaum yang hidup dengan harmonis.

Iban melananu,orang ulu, cina dan sebagainya boleh duduk semeja di kedai-kedai kopi, tidak sama dengan saudara-saudara kita di tanah besar, di mana polarisasi kaum itu amat jelas sekali.

Di semenanjung, jika kita berkunjung ke kedai-kedai mamak, di Sabah dan Sarawak disebut kedai-kedai kopi, kita biasa melihat, satu meja ditempati oleh kaum melayu, satu meja oleh cina dan satu meja oleh kaum india. Jarang kita dapat melihat percampuran. Percampuran yang biasa kita nampak hanya berlaku diperingkat korporat atau pada mereka-meraka yang berjawatan tinggi, mungkin secara kebetulan berkerja pada jabatan atau syarikat yang sama.

Kembali kepada PRK P212 Sibu, di mana penamaan calon telah berjaya dilaksanakan semalam di mana 3 calon bertembung untuk merebut kerusi parlimen tersebut. BN yang diwakili oleh SUPP dan merupakan wakil rakyat bertahan ditentang oleh Pengerusi DAP Sarawak dan oleh seorang calon Bebas, seorang warga emas.

Semalam dalam sidang akhbar penasihat DAP LIM Kit Siang menyatakan bahawa hanya keajiban yang membolehkan DAP menang untuk kawasan parlimen itu. Kit Siang seterusnya mencabar para pengundi Sibu, jika mahu perubahan, maka apa yang perlu mereka lakukan adalah mengundi DAP.

Sibu merupa kawasan majoriti cina, namun sejak 5 penggal lalu, kawasan ini tetap dimenangi oleh BN melalui parti SUPP.

Semalam juga Lim Kit Siang mengatakan bahawa PRK Sibu adalah pertarungan ABAD ini. Apa kah yang dimaksudkan oleh pemimpin DAP ini? Jawapannya sudah tentulah pihak mereka akan bermati-matian, menggunakan semua sumber kewangan yang ada dan seterusnya mempergunakan putar belit isu, seperti kebiasaan yang mereka lakukan pada setiap PRK atau PRU.

Parti pembangkang akan mempergunakan isu tanah, isu banjir dan isu kaum. Mereka sudah tentunya mempersoalkan semua ini, dengan mengatakan bahawa kerajaan tidak membela rakyat kerana selama pemerintahan BN yang menjangkau usia 50 tahun, maka masalah-masalah rakyat masih wujud.

Masalah-masalah peluang perniagaan akan juga dimainkan. Mereka akan membangkitkan bahawa projek-projek yang berjalan di Sarawak adalah kepunyaan orang-orang semenanjung dan hanya mempergunakan rakyat tempatan Sarawak sebagai batu loncatan.

Pada PRK Sibu ini, jelas BN dalam keadaan bertahan, kerana pihak pembangkang telah melihat isu-isu ini sejak awal-awal lagi.

Pembangkang akan terus mengapi-apikan semua isu ini, mereka akan membangkit keadaan curiga mencurigai antara kaum, demi matalamat politik sempit mereka.

Pembangkang akan memperkudakan Parti SNAP untuk menembusi kaum-kaum bumiputera Sibu, kerana mereka telah tahu bahawa kekalahan parti DAP sejak 5 penggal lalu adalah berpunca daripada undi para peribumi.

Mampukan Ketua Menteri Sarawak mempertahankan imejnya bahawa pada setiap PRK, maka selalunya kemenangkan kepada ketua menteri yang bergelar Pehin Seri itu? Sama-sama kita tunggu hari pengundian pada 16 Mei ini.

Akan berlakukan Pertembungan ABAD ini seperti dakwaan Lim Kit Siang, atau PRK Sibu Sarawak hanya PRK biasa sepertimana PRK-PRK sebelumnya?

Saturday, May 08, 2010

PRK SIBU: DAP Sangat Pesimis: Hanya Keajiaban Parti Itu Boleh Menang

DAP berharap keajaiban politik akan berlaku bagi membolehkan mereka memenangi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu pada Ahad depan.

Pemimpin kanan dan Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang, hari ini berkata parti itu menghadapi laluan sukar untuk berdepan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil ini.

Malah, beliau meramalkan peluang DAP untuk menang hanya 40 peratus.

"Pertarungan untuk abad ini telah bermula dan kami mahu penduduk Sibu untuk bersuara," katanya pada sidang akhbar yang diadakan selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu selesai hari ini.

DAP mencalonkan Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng, untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Robert Lau Hoi Chew, pada 9 April lalu.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Wong, calon BN, Robert Lau Hui Yew, dan calon Bebas, Narawi Haron.

PRK Sibu, walaupun ditandingi 3 penjuru, tetapi pertandingan sebenar adalah antara SUPP dan DAP.

Sejak 5 penggal lalu, kerusi parlimen Sibu memang pertandingan yang amat sengit antara SUPP dan DAP walaupun kesemuanya berpihak kepada SUPP.

PRK Sibu: Jika Penanda Aras Adalah Penyokong Hari Ini: BN Sudah Menang

Jika penanda aras diukur dengan kehadiran para penyokong BN dan DAP, pada penamaan calon hari ini, maka BN sudah menang.

Calon BN Robert Lau Hui Yew disamping diiringi oleh TPM juga oleh 3,000 penyokong BN dibanding calon DAP hanya diiringi oleh kira-kira 300 penyokong.

Hui Yew, lebih dikenali dengan panggilan Robert Lau Junior, menyerahkan borang pencalonannya di Dewan Suarah Sibu. Tempoh penamaan calon ialah selama satu jam dari 9 pagi, dan kemudiannya disusuli dengan tempoh bantahan selama satu jam, dan selepas itu nama-nama calon akan diumumkan. Pengundian ditetapkan pada 16 Mei.

Pemimpin BN yang lain, antaranya Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang sudah mempunyai program dan jadual padat menjelang pilihan raya kecil itu.

Peguam Hui Yew, 45, mempertahankan kerusi itu dalam kawasan majoriti kaum Cina berikutan kematian Timablan Menteri Pengangkutan dan anggota Parlimen Sibu selama lima penggal Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April.

Pengerusi DAP Sarawak dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Assek Wong Ho Leng, 50, disebut-sebut akan menentang Hui Yew, tetapi kemungkinan besar pilihan raya itu tidak akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu kerana sekurang-kurangnya seorang calon Bebas dijangka bertanding.

Sementara itu kebanjiran orang luar, seperti pekerja kempen parti, anggota penguatkuasaan dan wakil media turut memberi faedah kepada ekonomi penduduk setempat berdasarkan semua bilik hotel habis ditempah dan kesesakan trafik di bandar yang terletak di pinggir sungai terpanjang di negara ini, Batang Rajang.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohmad Salleh berkata 2,000 anggota polis ditugaskan bagi pilihan raya kecil itu untuk memantau keselamatan dan menjamin ketenteraman.

Pada pilihan raya umum 2008, Hoi Chew mengekalkan kerusi Sibu dengan majoriti 3,549 undi menewaskan Ho Leng dan Lim Chin Chuang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar, terdiri daripada 52,158 pengundi biasa dan 2,537 undi pos terdiri 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis.

Menurut senarai pemilih yang dikemas kini setakat 9 April tahun ini, pengundi Cina adalah hampir 67 peratus daripada jumlah pengundi, diikuti oleh Melayu/Melanau (10.5 peratus) dan Bumiputera Sarawak (22 peratus).

Sebanyak 45 pusat mengundi dengan 110 saluran akan dibuka di 39 buah skeolah, dua tadika dan sebuah pusat latihan, sebuah rumah panjang, sebuah perpustakaan awam dan sebuah pusat rekreasi awam bagi pengundian.

Wednesday, May 05, 2010

PRK SIBU Sarawak Berimplikasi Politik Baik Negeri Mahupun Nasional

Selain menjadi tumpuan calon dan parti yang bertanding, pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu pada 16 Mei ini mempunyai keistimewaan tersendiri yang pastinya akan menarik minat pelbagai pihak untuk mengikutinya dengan penuh teliti.

Pertarungan antara pengerusi DAP Sarawak Richard Wong Ho Leng dan muka baru Robert Lau Hui Yew dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bukan saja akan menjadi tumpuan orang ramai, tetapi juga para pemerhati dan penggiat politik.

Kemenangan dalam pilihan raya kecil ini mempunyai erti besar bagi kedua-dua parti yang bertanding dalam persiapan mereka bagi menghadapi pilihan raya negeri yang dijangka diadakan sebelum Julai tahun depan.

Keputusan pilihan raya kecil ini juga memberi petunjuk penting tentang arah aliran politik di peringkat nasional.

Sekiranya DAP mencapai kemenangan pada pilihan raya kecil ini, ia bermakna SUPP akan menghadapi masalah besar pada pilihan raya negeri kelak, seperti yang dialami parti itu pada pilihan raya negeri 2006.

Tetapi, jika SUPP memenanginya, maka ini bermakna parti itu berada di laluan yang kukuh untuk menebus kekalahan yang dialaminya sebelum ini.

"Inilah sebabnya kenapa pilihan raya kecil Sibu bukan saja menarik minat pelbagai pihak, tetapi juga dilihat amat penting kerana ia menentukan tahap sokongan kaum Cina kepada Barisan Nasional (BN), khususnya SUPP," kata seorang ahli politik veteran.

Beliau berkata SUPP mungkin menguji keberkesanan "rancangan pemerkasaan semula dan pemulihannya" pada pilihan raya kecil itu bagi membolehkannya mengatasi kelemahan yang ada, sebagai persiapan untuk membantunya menawan semula lapan kerusi yang terlepas dari genggamannya pada pilihan raya lepas.

Penganalisis politik kelahiran Kuching Prof James Chin berkata beliau percaya kelemahan paling ketara pada SUPP ialah ia dianggap sebagai "parti yang sedang menuju kematian", manakala kelemahan DAP Sarawak pula ialah ia dilihat sebagai parti muda dengan pemimpin yang muda juga.

"Masalah DAP ialah para pemimpinnya sering dibuang oleh parti itu. Ini lebih ketara apabila mereka menjadi semakin berjaya. Apabila semakin berjaya, mereka akan lebih banyak melawan," katanya.

Bagaimanapun, para pemimpin SUPP berkata sejak parti itu mengalami kekalahan mengejutkan pada pilihan raya negeri 2006, ia mula mengasuh lebih banyak anggotanya yang muda dan berpendidikan tinggi untuk menjadi calon dengan mendedahkan mereka kepada persekitaran politik, seperti memainkan peranan sebagai anggota majlis perbandaran.

"Antara langkahnya ialah mengenal pasti calon sejak awal lagi. Sebab itulah anda tidak melihat ada masalah dalam pemilihan calon bagi pilihan raya kecil Sibu kali ini kerana calon yang berpotensi ini telah diasuh sejak dua tahun lepas.

"Ini memberi kami masa yang secukupnya kepada kami kali ini dalam memilih calon yang tepat dan memperkenalkannya kepada orang ramai," kata pengerusi SUPP Sibu Datuk Seri Wong Soon Koh.

Oleh itu, kata Wong, walaupun Robert Lau junior dicop sebagai calon mentah, parti SUPP yakin peguam berusia 45 tahun itu mampu mengekalkan kerusi berkenaan bagi BN.

"Malah, Perdana Menteri sendiri kagum dengan keistimewaan yang ada pada dirinya. Ini memberi petunjuk awal kepada kami bahawa kami telah mengasuh calon yang tepat bagi pilihan raya kecil ini," kata Wong, yang juga Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam dan Menteri Kewangan Kedua Sarawak.

Pilihan raya kecil Sibu menarik untuk diamati kerana ia diadakan tidak lama selepas pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini yang menyaksikan kemenangan semula BN, walaupun parti itu kehilangan banyak pengundi Cina yang memihak kepada gabungan parti pembangkang, Pakatan Rakyat (PR).

Inilah sebabnya pilihan raya kecil ini begitu menarik minat mereka yang mengikuti perkembangan politik secara mendalam...kerana mereka berminat untuk mengetahui bagaimana pola pengundian kaum Cina di Sibu. Adakah mereka akan mengundi SUPP atau DAP?," tanya seorang pemerhati politik.

Berdasarkan trend pengundian sebelum ini, termasuk pada pilihan raya umum 2008, hanya kira-kira 40 peratus hingga 45 peratus pengundi Cina memilih Lau. Kemenangan beliau banyak bergantung pada undi kaum Iban, Melayu/Melanau dan undi pos.

Kalaulah bukan kerana undi itu, keputusan pilihan raya umum lepas bagi kawasan ini mungkin telah memihak kepada Wong Ho Leng dari DAP, yang meraih 15,903 undi berbanding 19,138 yang diterima mendiang Robert Lau.

Beberapa penganalisis politik percaya pakatan pembangkang di negeri ini, yang terdiri daripada PKR-DAP-PAS-SNAP, akan cuba mempengaruhi pola umum pengundian masyarakat Cina di negara ini dengan menimbulkan isu nasional yang sama, seperti yang mereka lakukan pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor.

"Kami menjangka mereka akan memainkan isu yang boleh membuat sesetengah pengundi Cina menentang keras BN seperti yang telah berjaya dilakukan DAP pada pilihan raya kecil Hulu Selangor," kata satu sumber parti itu.

Bagaimanapun, katanya, belum pasti lagi sama ada sentimen begitu akan merebak ketika menjelangnya pilihan raya kecil Sibu dan sama ada ia akan memberi kesan buruk terhadap calon SUPP kerana pengundi di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak adalah berbeza.

Sebagai persiapan awal, semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor baru-baru ini, pengerusi BN Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah mengerahkan dua orang kuat politiknya ke sana bagi membuat penilaian terhadap keadaan, terutama berhubung isu yang ditimbulkan dan bagaimana kempen dijlankan di sana.

"Kemenangan di Hulu Selangor meningkatkan semangat kami dalam menghadapi pilihan raya kecil Sibu. Ia memberi kesan penting kepada kami," kata seorang daripada dua orang kuat Abdul Taib itu yang tidak mahu dikenali.

Orang yang sama juga berkata sekiranya BN dapat mengekalkan kerusi Sibu, ia memberi petunjuk tentang kemungkinan pilihan raya negeri akan diadakan lebih awal.

"Sekiranya kami menang, ada kemungkinan kami akan adakan pilihan raya negeri lebih awal...mungkin menjelang suku ketiga atau keempat tahun ini," katanya.

Kawasan Parlimen Sibu mempunyai 54,695 pengundi, 66 peratus daripadanya masyarakat China Foochow. Selebihnya adalah pengundi Melayu/Melanau yang terdiri daripada kira-kira 17 peratus, diikuti pengundi Iban (15 peratus) dan pengundi Bidayuh, Orang Ulu dan India.

Di samping itu terdapat 2,537 pengundi pos, yang kebanyakannya terdiri daripada anggota tentera yang bertugas di dua kem dan anggota polis.
 
Penamaan calon bagi P212 Sibu akan berlangsung pada 10 Mei ini, jika ada pertandingan, maka pengundian akan diadakan pada 16 mei.

Thursday, April 29, 2010

Pakatan@DAP Akan Kempunan DI PRK Sibu Sarawak

Pakatan@DAP jangan merasa bahawa kemerosotan sokongan pengundi kaum Cina kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Hulu Selangor merupakan postif kepada parti itu. Pola pengundian Hulu Selangor tidak akan berlaku pada pilihanraya kecil Parlimen Sibu pada 16 Mei ini.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata perspektif pengundi di Sibu, kawasan yang didominan oleh kaum Cina adalah berbeza daripada rakan mereka dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor.

"Masyarakat Cina di Sarawak tidak mengambil polarisasi kaum sebagai satu isu. Selain itu, konsep 1Malaysia bukan satu perkara baru di Sarawak kerana ia sudah lama dipraktikkan di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

"Apa yang berlaku pada pilihan raya kecil Hulu Selangor tidak akan berlaku di Sarawak," katanya kepada pemberita selepas menutup bengkel penulisan pilihan raya Persatuan Wartawan Komanwel (CJA) di sini Rabu.

Pilihan raya kecil Parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandang Datuk Robert Lau Hoi Chew yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 8 Mei sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 16 Mei.

BN menamakan peguam Robert Lau Hui Yew, 45, sebagai calon bagi pilihan raya kecil Sibu manakala DAP akan meletakkan pengerusi DAp negeri dan Angota Dewan Undangan Negeri Bukit Assek, Wong Ho Leng, 50.

Hui Yew yang turut dikenali sebagai Robert Lau Junior; dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) adalah sepupu kepada mendiang Hoi Chew.

Abang Johari, yang juga Menteri Perumahan dan Kemajuan Bandar berkata keputusan pilihan raya kecil Sibu bukan ditentukan oleh pengalaman berpolitik kedua-dua calon.

Katanya para pengundi akan menilai keperibadian, kemampuan dan polisi kedua-dua calon sebelum mengundi.

"Saya yakin mereka tidak mahu Sibu tertinggal daripada arus perdana pembangunan (Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak). Kesinambungan adalah amat penting bagi penduduk Sibu," katanya.

Sambil memberikan satu contoh, Abang Johari berkata kerajaan komited bagi mengurangkan masalah banjir di Sibu di mana peruntukan disalurkan dan ia tidak dibuat semasa pilihan raya kecil.

"Tidak ada isu besar di Sibu kerana mendiang Datuk Lau telah mengenal pasti isu dan kami (BN) sedang berusaha menyelesaikan dan menangani semuanya," katanya.

Sementara itu, Abang Johari meminta media di negeri ini supaya menulis laporan yang seimbang dan tidak mensensasikannya dalam membentuk pendapat awam.

Katanya kerajaan negeri menghargai sumbangan media dan berharap sebagai rakan yang bertanggungjawab dalam arus kemajuan, supaya sentiasa objektif dalam laporan mereka.

Sementara itu, pengerusi CJA Sarawak Caroline Jackson berkata bengkel itu bertujuan untuk membantu wartawan di negeri ini membuat liputan bagi pilihan raya kecil Sibu dan pilihan raya negeri tidak lama lagi.

Wednesday, April 28, 2010

PRK: Pas Dah Kalah: PKR Dah Kalah: Sibu? DAP Pula Kalah

Selepas PRU-12 permulaan 7 PRK yang disengejakan, kecuali Parlimen Bukit Gantang dan Kuala Terengganu, semuanya dimenangi oleh Pakatan 3 Parti DAP-PAS-PKR.

Kemenangan gabungan 3 parti itu tersendat hanya di Batang Ai Sarawak, Bagan Pinang dan terakhir di HUlu Selangor pada 25 April lalu.

Namun yang menarik pada PRK-PRK terakhir adalah kekalahan bergilir-gilir parti-parti pembangkang tersebut. Bermula dengan kekalahan Pas pada PRK Bagan Pinang pada Oktober tahun lalu, kemudian PKR pada 25 April lalu. Kini giliran DAP pula akan kalah di Sibu Sarawak.

P.212 Sibu adalah satu kawasan bermajoriti kaum cina. Namun setiap pilihanraya, kawasan itu tetap dimenangi oleh calon BN daripada SUPP.

Kerusi P.212 Sibu kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Robert Lau Hoi Chew akibat barah pada 9 April lalu.

Pada setiap pilihanraya Robert Lau mendapat perlawanan yang sengit daripada Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng. Pada PRU-12 lalu, Robert menang hanya dengan majoriti 3,549. Dalam rekod, jumlah ini lah yang memisahkan antara calon BN dan DAP.

pada PRK 16 Mei nanti sekali lagi Pengerusi DAP Sarawak itu, Wong Ho Leng dicalonkan bagi mewakili DAP.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada 8 Mei dan pengundian pada 16 Mei.

Sibu mempunyai 54,695 pengundi berdaftar termasuk 2,537 undi pos.

Pemilihan Wong yang juga ADUN Bukit Assek, diumumkan oleh setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu majlis jamuan malam yang dihadiri pemimpin Pakatan di Sibu malam tadi.

BN telah mengumumkan pemilihan peguam Robert Lau Hui Yew dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebagai calon BN.

Monday, April 26, 2010

Mimpi Anwar Ke Putrajaya Kian Sirna; Hulu Selangor Kandas, Bagaimana Pula Sibu Sarawak?

Mimpi Anwar ke Putrajaya kian sirna, Hulu Selangor ternyata kandas, bagaimanapula Sibu, Sarawak.

P.212 Sibu adalah kawasan majoriti cina dimana jumlahnya adalah 32,207 (60%) pengundi daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar 53,679. Undi bumiputra Sarawak, samada Iban,Melanau atau orang Ulu adalah baginya, yakni 21,472.

Pada PRU-12, Parlimen Sibu masih dimenangi calon SUPP (BN) mendiang Robert Lau Chew (BN) dengan kelebihan undi 3,235 mengalahkan musuh tradisinya Wong Ho Leng daripada DAP. Mendiang Robert memperolehi undi sebanyak 19,138 sementara Wong Ho Leng 15,903 undi.

Selama 2 PRU, kawasan Sibu menyaksikan pertembungan antara BN dan DAP. Setiap pilihanraya, pertandingan di kawasan itu amat sengit.

Memandangkan kawasan ini adalah kawasan majoriti cina, maka kali ini calon BN dianggap sebagai "under dog" berasaskan kepada pola pengundian di Hulu Selangor yang baru sahaja menyaksikan kemenangan calon BN P Kamalanathan daripada MIC dengan kelebihan 1,725 undi ke atas Zaid ibrahim, walaupun 80% penundi cina tidak mengundi BN.Pengundi Cina di Hulu Selangor adalah 17,000 pengundi daripada jumlah 64,000.

Apa kah pola pengundian di Hulu Selangor akan merebak di SIBU?, jika pola pengundian ini merebak, maka BN terpaksa berkerja lebih keras untuk mempertahankan kawasan itu.

Kepimpin Pehin Seri Taib Mahmud akan tercabar kali ini, apakah rekod sokongan kaum cina masih berpihak kepadanya, atau kah sokongan Cina berpihak kepada DAP.

PRK Sibu ini akan sekali lagi menjadi medan laga antara pemimpin BN khasnya TPM Muhiyiddin dan pemimpin Pakatan khasnya Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

Dalam perkembangan lain Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, calon yang bakal mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil parlimen Sibu, akan diumumkan esok.

Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata, nama calon itu akan diumumkan di Kuching sekembalinya beliau daripada menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Semalam, menurut Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, parti itu sebulat suara memilih peguam Robert Lau Hui Yew sebagai calon BN.

Katanya, jawatankuasa kerja pusat SUPP bersetuju Robert Lau Junior dipilih sebagai calon pada pilihan raya kecil Sibu kerana beliau merupakan calon terbaik.

Dr Chan, yang juga timbalan ketua menteri berkata sebagai pelan kontinjensi, parti itu juga mempunyai calon pilihan kedua "jika pucuk pimpinan BN berpendapat Hui Yew masih belum mempunyai merit untuk menjadi calon BN.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya Robert Lau, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu.

Lau, 68, dari SUPP memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 3,235 undi. Beliau menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.

Dia mendapat 19,138 undi manakala Wong mendapat 15,903 undi dan Lim (812).

Lau mewakili parlimen Sibu sejak 1990.

Dalam pilihan raya umum 2008, parlimen Sibu mempunyai 53,679 pengundi, dengan majoriti kaum Cina (60 peratus), Melanau (20 peratus), Iban (18 peratus) dan Orang Ulu (1.1 peratus).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 Mei sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 16 Mei.

Mengikut daftar yang lalu, Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 52,158 pemilih biasa dan 2,537 pengundi pos, terdiri daripada 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis.

Blog Archive