Showing posts with label Tun Mahathir. Show all posts
Showing posts with label Tun Mahathir. Show all posts

Tuesday, February 16, 2016

Apabila Tun Dr Mahathir Disiasat Kerana Fitnah

Bayangkan Tun Dr Mahathir sebagai negarawan, mantan Perdana Menteri, kini sudah tergolong sebagai pemitnah. Rupanya, walaupun pernah berkhidmat selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri,tidak menjamin maklumat yang dinyatakan sebagai benar dan betul, kerana pihak polis telah membuka kertas siasatan ke atas beliau kerana dikatakan memfitnah.

Cuba bandingkan dengan mereka yang belum pernah memegang sebarang jawatan dalam kerajaan seperti Tian Chua, Rafizi Ramli, Tony Pua, Zulkefli Ahmad, Zulkefli Noordin, Lokman Adam dan ramai lagi, apa kah status kenyataan mereka?

Adalah biasa, apabila sesuatu kenyataan tidak sesuai dengan kehendak seseorang atau kumpulan tertentu, maka sebarang kenyataan yang berunsur negatif berkaitan seseorang atau kumpulan itu dianggap sebagai fitnah. Namun, kalau kenyataan itu berunsur positif, meskipun tidak benar, bukan dianggap sebagai fitnah, akan tetapi sebagai betul.

Fitnah sebenarnya, adalah sesuatu dakwaan yang tidak betul atau tidak benar dengan demikian sebenarnya apa kah kenyataan/dakwaan itu positif atau negatif kepada sesiapapun jika kenyataan itu tiada asas, maka ianya termasuk fitnah. Malangnya, di negara ini, kalau kenyataan yang positif, walaupun tidak benar, tetapi tidak didakwa sebagai pemitnah, sebaliknya diberi pujian dan penghargaan.

Memang sukar membezakan antara pengeritik dan penabur fitnah. Terserah kepada mereka yang menerima, apa kah mengolong sebarang kenyataan pihak lawan sebagai kritikan atau fitnah. Di negara kita, ramai yang tidak dapat membezakan antara kritikan negatif dengan fitnah, sehinggakan mereka yang mengalamai keadaan demikian bertindak menggunakan undang-undang untuk menghentikan perbuatan seumpama itu.

Tulisan Tun Dr Mahathir melalui blog beliau sebenarnya hanya mengundang penjelasan dan jawapan. Tindakan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Dr Salleh Tun Said menjawab sebarang tulisan-tulisan mantan Perdana Menteri itu melalui tulisan merupakan tindakan yang sepatutnya dilakukan. Tulisan perlu dijawab dengan tulisan. Pertanyaan perlu dijawab dengan jawapan. Dakwaan perlu diberikan dengan fakta. Tulisan Tun Dr Mahathir umpama perbincangan kedai kopi, atau perbincangan dalam sessi soal jawab.

Oleh kerana pertanyaan dan dakwaan yang kerap berulang-ulang, maka bolehlah dinyatakan bahawa tindakan itu bagaikan tape yang rosak. Tape yang rosak, tidak memerlukan jawapan dan penjelasan, kerana sifat kepada tape tersebut.

Meredam kenyataan-kenyataan yang berunsur kritikan dan pertanyaan atau dakwaan menggunakan undang-undang, sebenarnya tindakan undur ke belakang. Seharusnya, mereka yang berdepan dengan keadaan demikian, menggunapakai, tindakan Salleh. Tujuannya, agar orang ramai yang mengikuti keadaan itu mengetahui mana cerita benar dan betul. Menghentikan menggunakan undang-undang sebarang tindakan seumpama yang dilakukan Tun Dr Mahathir, hanya mengundang persepsi negatif kepada kerajaan, dan persepsi itu akan berbuku dalam masa yang panjang.

Thursday, November 12, 2015

Hidup Mewah, Rumah Besar- Tanda Pengamal Rasuah?

1. Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir, mengatakan, bahawa hidup mewah, rumah besar, kereta besar adalah petanda seseorang itu pengamal rasuah. Menurut mantan PM itu, petanda ini perlu diterima oleh mahkamah sebagai bukti bahawa seseorang itu pengamal rasuah.

2. Mantan PM itu, mengeritik mahkamah, kerana tidak menerima petanda itu sebagai bukti rasuah, sebaliknya, hanya menerima apabila ada seseorang mengaku atau membuat kenyataan, memberi atau menerima habuan. Bagi individu yang berkedudukan, sukar mengheret mereka ke mahkamah, jikapun terlibat dalam rasuah, kerana mereka saling melindungi antara satu sama lain, demikian kata mantan PM itu. Tun Dr Mahathir merupakan Perdana Menteri selama 22 tahun, ertinya beliau tahu benar, bahawa belaku rasuah dikalangan para pemimpin semasa pentadbirannya, melalui modus operandi sepertimana yang beliau nyatakan. Adalah perkara lumrah, jika seseorang terlibat melalui kaedah itu, maka seseorang itu boleh menjelaskan dengan terperinci, bahawa memang kaedah itu berlaku. Persoalannya, mengapa hanya sekarang modus operandi itu didedahkan, mengapa bukan semasa beliau berkuasa?

3. Jika kaedah sepertimana yang dinyatakan oleh Tun Dr Mahathir itu digunapakai, maka ianya akan menjadi malapetaka kepada perundangan negara, kerana sesiapa sahaja yang mempunyai kedudukan dalam kerajaan atau yang terlibat dengan pemerintahan, kemudiannya mempunyai petanda hidup mewah, punya rumah besar, punya kereta besar, maka boleh didakwa sebagai pengamal rasuah. Nampaknya jika kaedah ini digunapakai, ramailah para wakil rakyat, pembantu menteri, timbalan menteri, menteri atau pengerusi GLC, timbalan speaker, speaker atau para pegawai menteri atau setiausaha-setiausaha politik akan didakwa di mahkamah, kerana kononnya pengamal rasuah.

4. Menurut mantan Perdana Menteri itu, jika seseorang mempunyai wang yang banyak, tidak akan dapat membendung diri untuk berbelanja, kerana duit yang berguni-guni itu, tidak akan boleh dibawa ke dalam kubur.

5. Kenyataan mantan PM itu, berimplikasi, bahawa ramailah para wakil rakyat, menteri, para pegawai kerajaan tidak taat pegangan agama, malah bermoral rendah. Hakekatnya mantan PM itu terlupa kerana akibat pengurusan kewangan yang baik, maka seseorang itu dapat menikmati kehidupan mewah, kerana pinjaman dapat bina rumah besar, kerana adanya bank, maka dapat beli kereta mewah.

Sunday, April 19, 2015

Sokongan Pada Najib Palsu- Tun M

PWTC-Ahad 19/4/2015
1. Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan serangan ke atas Datuk Seri Najib Razak hari ini dengan mendakwa sokongan yang diberikan kepada perdana menteri itu adalah tidak benar.

2. Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat tersebut menyindir Najib dengan membandingkan antara sokongan yang diterimanya daripada orang ramai semasa membuat keputusan untuk berundur pada 2003 dengan sokongan yang diterima Najib kini.

3. "Apabila seseorang merasakan beliau tidak lagi menerima sokongan, lebih baik beliau pergi (lepas jawatan)," kata Dr Mahathir semasa ditemui wartawan selepas forum anti peperangan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, pagi ini.

4. "Saya berundur, walaupun saya memiliki sokongan, tapi itu disebabkan saya menjadi perdana menteri terlalu lama.

5. "Tetapi, apabila rakyat menyatakan mereka tidak gembira, anda perlu respons, jangan hanya fikir diri sendiri, tetapi fikirkan rakyat yang anda pimpin, mereka yang di belakang anda.

6. "Apabila mereka tiada lagi, anda bukan lagi seorang pemimpin," katanya.

7. Katan Tun Mahathir, pendiriannya supaya Najib berundur dikongsi ramai orang kerana ia demi Umno dan kebaikan negara.

8. "Bukan saya seorang saja yang mahukan beliau (Najib) letak jawatan. Saya rasa ramai yang mahu beliau letak jawatan untuk kebaikan Umno dan negara," katanya.

9. Beliau berkata, ketika ini pun ramai pemimpin Umno dan orang ramai yang berjumpa dengannya bagi menyatakan sokongan terhadapnya dalam mengkritik Najib.

10. Tetapi, mereka tidak menyatakannya secara terbuka kerana bimbang ditangkap, katanya sambil menambah beliau memahami kebimbangan yang dihadapi menyebabkan mereka tidak berani untuk tampil ke depan.

11. "Ramai yang bertemu saya, tapi mereka tidak suka dilihat bertemu atau sokong saya. Saya memahami kebimbangan mereka.

12. Dr Mahathir dalam blognya sebelum ini mengakui keseorangan dalam mengkritik pentadbiran Najib, bagaimanapun keadaan tersebut berubah apabila ramai yang tampil menyatakan pendirian mereka bersamanya.

13. Katanya, ramai yang sependapat dan bersetuju dengannya, cuma mereka tidak menyokong secara terbuka.

14. "Jadi, mereka bersetuju dengan saya, tapi mereka tidak akan tunjuk (sokongan)," katanya.

15. Dr Mahathir kini secara terbuka melancarkan serangan terhadap Najib dan menyenaraikan pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepadanya, mengatakan tiada satu pun dijawab dengan sempurna.

16. Isu yang dibangkitkan termasuk pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Sharibuu; dakwaan salah seorang yang disabitkan, bekas komando Sirul Azhar Umar; masalah dihadapi dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad; gaya hidup mewah anak tiri Najib, Riza Aziz; dan jet peribadi baharu untuk Najib.

17. Walaupun pada 9 April Najib dalam program soal jawab Edisi Khas TV3 menghabiskan kira-kira 45 minit menjelaskan banyak perkara yang dipertikaikan Dr Mahathir, ia masih tidak memuaskan hatinya.

18. Dr Mahathir kemudiannya meneruskan serangan melalui wawancara dengan para blogger yang kemudiannya memuat naik klip video perbualan mereka di beberapa blog di Internet. – 19 April, 2015.

Thursday, July 19, 2012

Saya ahli politik sebelum jadi doktor perubatan: Tun Mahathir

Adakah bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, seorang ahli politik dulu atau seorang doktor perubatan?.

Berbeza dengan tanggapan umum bahawa beliau menyertai politik selepas menjalani amalan perubatan, Dr Mahathir berkata bahawa beliau adalah seorang ahli politik dan kemudian memperoleh ijazah perubatan untuk mendapatkan tauliah bagi mengejar kerjaya politiknya.

Dr Mahathir yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri keempat selama 22 tahun dari 1981 sehingga beliau sendiri yang meletak jawatan pada tahun 2003, menyebut perkara itu ketika ditemu bual semasa "A Power Dialog" di sini, malam semalam.

Beliau ditemu bual oleh Haji Abdul Halim Ismail yang juga Setiausaha Agung Asean, lebih dikenali sebagai Dr Surin Pitsuwan.

Dr Surin, seorang muslim berasal dari Nakorn Si Thammarat, Selatan Thailand, yang jarang menampilkan diri di tempat awam, memakai sut gelap dan berkopiah putih telah mengemukakan soalan itu semasa sesi dialog pada majlis makan malam gala meraikan ulang tahun ke-72 Pondok Bantan (sekolah agama Islam tempatan).

Dr Surin, bekas Menteri Luar Thailand yang menjadi pemimpin Asean sejak 2008 dan tempohnya akan tamat hujung tahun ini.

Berbangga mengisytiharkan dirinya "seorang pelajar pondok", Dr Surin, seorang pemegang Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Sains Politik dan Pengajian Timur Tengah dari Universiti Harvard.

Ditanya, di mana Malaysia sekarang tanpa Wawasan 2020 yang beliau perkenalkan untuk menjadikan negara sebuah negara maju, Dr Mahathir berkata negara masih menuju kemajuan, tetapi mungkin tanpa sebarang fokus kerana visi akan menentukan hala tuju dan rancangannya.

Menyentuh mengenai pembentukan komuniti Asean menjelang 2015, Dr Mahathir berkata, kumpulan serantau mesti mengelakkan kesilapan yang dibuat oleh Kesatuan Eropah.

"Kesatuan Eropah (EU) menghadapi masalah hari ini, kerana ia tidak boleh bekerja untuk memberi manfaat kepada semua anggotanya ekoran hanya memberi tumpuan kepada anggota-anggota yang kaya. Asean perlu memastikan negara-negara miskin akan mendapat faedah daripada komuniti juga, katanya.

Asean katanya, perlu mengelakkan kesilapan memperkenalkan mata wang sama kerana tambah beliau, ia hanya memberi manfaat kepada negara-negara kaya serta menyebabkan kos sara hidup di negara-negara miskin meningkat secara mendadak.

Daripada aspek globalisasi. katanya Asean perlu juga melihat kepada kepentingan negara miskin kerana mereka tidak akan mendapat manfaat daripada pasaran bebas.

"Globalisasi asal dari negara-negara kaya dan kita tidak perlu mengambilnya 100 peratus. Kita mesti periksa diri kita. Kita tidak mahu yang kaya terus lebih kaya dan golongan miskin terus menjadi miskin,".

Menjawab soalan daripada hadirin, Dr Mahathir berkata Asean perlu meminta rakan anggotanya Myanmar untuk menghentikan apa yang disifatkan sebagai penindasan terhadap etnik minoritinya, Rohingya. - Bernama

Friday, July 13, 2012

Jangan takut Tegur Pemimpin: Tun Dr Mahathir

Rakyat perlu berani menegur mana-mana pemimpin yang didapati melakukan perkara tidak betul sehingga boleh memudaratkan pentadbiran negara.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tindakan itu wajar supaya pemimpin terbabit sedar bahawa apa yang dilakukannya adalah salah.

Menurutnya, ada di kalangan pemimpin terlalu leka dibuai puji-pujian sehingga pemikiran mereka menjadi rosak.

"Kita kena tegur pemimpin kalau dia buat perkara tidak betul, marah dia.

"Tapi saya tengok kalau pemimpin itu buat tidak betul, dalam ucapannya semua bangun tepuk tangan.

"Jadi pemimpin pun naik seronok, kembang (bangga). Bila orang puji sangat, pemikiran dia pun rosak sikit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Wakil-wakil pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), di sini malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Mahathir menambah, tindakan menegur pemimpin merupakan tanggungjawab rakyat supaya kerajaan yang didirikan menjadi kuat dan mampu membawa negara ke arah kemajuan serta kesejahteraan.

"Apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kuat dan kukuh dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, kita pula mesti menjalankan tugas kita.

"Tugas kita adalah beritahu pemimpin apabila dia membuat sesuatu yang salah," ujarnya.

Thursday, June 14, 2012

Saya Tidak bimbang kalau Pakatan Rakyat Rampas Putrajaya: Tun Mahathir

Tun Dr Mahathir menulis melalui blognya hari ini, bahawa beliau tidak bimbang atau takut kalau Pakatan Rakyat merampas Putrajaya.

Apa yang beliau takut adalah penyangak dan penyalaguna kuasa menguasai Putrajaya. Menurut beliau, tindakan itu telahpun dibuktikan oleh Anwar Ibrahim semasa berkedudukan Timbalan Perdana Menteri, apabila mantan TPM itu mengarahkan seorang pegawai kanan polis menakut-nakutkan Dr Ristina Majid dan Ummi Hafilda menarik surat berkaitan salahlaku seksnya yang dihantar kepada mantan Perdana Menteri itu.

Tun Mahathir berkata hanya salahguna kuasa sahaja yang beliau takutkan, kerana melalui salah gunakuasa itu, pertuduhan palsu akan dibuat agar beliau masuk penjara atau dihukum gantung.

Mantan Perdana Menteri itu mengulas dakwaan Lim Kit Siang, kononnya mantan Perdana Menteri itu bertungkus lumus agar BN terus menguasai Putrajaya, kerana kebimbangannya akan didakwa kalau BN kehilangan kuasa.

Melalui blog mantan Perdana Menteri itu, beliau menulis lanjut, bahawa Lim Kit Siang mengambil contoh apa yang berlaku terhadap Muammar Gadapi dan Hosni Mubarak. Gadapi belum sempat dibicarakan kerana telah ditembak mati oleh pemberontak, manakala Hosni dijatuhi hukuman seumur hidup.

Dr Mahathir menyangkal bahawa selama pemerintahannya, beliau melakukan salahguna kuasa atau mengumpul harta. Malah semasa beliau dalam kerajaan, beliau melarang semua anaknya terlibat dalam politik. Selain itu, katanya tiada seorangpun anaknya mendapat tajaan kerajaan untuk melanjutkan pelajaran, kecuali Mirzan, di mana pada masa itu, beliau belumpun menyertai kerajaan, malah beliau di luar Umno kerana dipecat.

Tun Mahathir juga menulis bahawa selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri, beliau sangat berhati-hati dalam semua tindakannya, oleh kerana itu, beliau tidak gentar atau takut jika Pakatan Rakyat merampas Putrajaya, kerana tiadapun apa-apa yang boleh diambil tindakan terhadapnya. Kecuali, Tuduhan palsu akan dibuat, kerana salah seorang pemimpin Pakatan Rakyat sudah biasa melakukannya.

Thursday, January 26, 2012

Polisi berasaskan kaum masih perlu: Tun Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, adalah lebih baik pembangunan negara dilewatkan sedikit daripada memansuhkan dasar berasaskan kaum yang membawa risiko berlakunya rusuhan kaum di negara ini.

Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan,ada berkemungkinan jika masalah kaum tidak menghantui Malaysia, pertumbuhan negara akan bertambah pesat.

Sebaliknya beliau turut berkata, mengenepikan masalah bangsa dalam negara berbilang kaum juga tidak menjamin kepesatan pembangunan.

Dr Mahathir turut mempersoalkan samaada pengambilan kira bangsa dalam perniagaan di Malaysia melalui dasar Dasar Ekonomi Baru (DEB) benar-benar mengemukakan satu halangan bagi pertumbuhan ekonomi negara.

DEB, yang mula dilaksanakan pada tahun 1971, ditamatkan secara rasmi pada 1990, namun kebanyakan daripada program dibawahnya masih diteruskan.

Datuk Seri Najib Tun Razak telah berkata, bahawa beliau merancang untuk menghapuskan subsidi dan kuota-kuota Bumiputera di bawah pembaharuan ekonomi, tetapi usaha-usaha tersebut menerima bantahan, terutamanya daripada kumpulan yang memperjuangkan hak orang Melayu.

Antara pengkritik-pengkritik Najib termasuklah Dr Mahathir sendiri, yang telah berulangkali membuat panggilan untuk meneruskan kesinambungan dasar-dasar berasaskan bangsa di bawah DEB, dan memberi amaran ketegangan antara kaum akan bertambah jika dasar-dasar itu dimansuhkan.

Menulis dalam blognya pada tahun 2010, Dr Mahathir berkata: “Saya boleh dilabelkan sebagai seorang yang bersifat perkauman tetapi ketakutan digelar sedemikian tidak akan menghalang saya daripada usaha untuk apa yang saya fikir terbaik untuk negara ini.

Namun begitu, jelasnya lagi dalam blognya, Chedet, Dr Mahathir berkata apabila agihan kekayaan begitu luas di antara kaum, besar kemungkinan permusuhan akan berlaku antara kaum yang miskin dengan kaum yang kaya.

"Permusuhan ini sudah tentu akan menyebabkan ketegangan dalam masyarakat dan menjadikan negara tidak stabil dan terdedah kepada huru hara dan rusuhan.

"Keadaan seperti ini akan menghalang pelaburan, dagangan dan perusahaan. Dalam iklim seperti ini ekonomi tidak mungkin tumbuh dengan baik. Pembangunan akan terjejas," jelasnya dalam artikel bertajuk "Kaitan Bangsa dengan Bisnes".

Blog Archive