Adakah bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, seorang ahli politik dulu atau seorang doktor perubatan?.
Berbeza dengan tanggapan umum bahawa beliau menyertai politik selepas menjalani amalan perubatan, Dr Mahathir berkata bahawa beliau adalah seorang ahli politik dan kemudian memperoleh ijazah perubatan untuk mendapatkan tauliah bagi mengejar kerjaya politiknya.
Dr Mahathir yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri keempat selama 22 tahun dari 1981 sehingga beliau sendiri yang meletak jawatan pada tahun 2003, menyebut perkara itu ketika ditemu bual semasa "A Power Dialog" di sini, malam semalam.
Beliau ditemu bual oleh Haji Abdul Halim Ismail yang juga Setiausaha Agung Asean, lebih dikenali sebagai Dr Surin Pitsuwan.
Dr Surin, seorang muslim berasal dari Nakorn Si Thammarat, Selatan Thailand, yang jarang menampilkan diri di tempat awam, memakai sut gelap dan berkopiah putih telah mengemukakan soalan itu semasa sesi dialog pada majlis makan malam gala meraikan ulang tahun ke-72 Pondok Bantan (sekolah agama Islam tempatan).
Dr Surin, bekas Menteri Luar Thailand yang menjadi pemimpin Asean sejak 2008 dan tempohnya akan tamat hujung tahun ini.
Berbangga mengisytiharkan dirinya "seorang pelajar pondok", Dr Surin, seorang pemegang Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Sains Politik dan Pengajian Timur Tengah dari Universiti Harvard.
Ditanya, di mana Malaysia sekarang tanpa Wawasan 2020 yang beliau perkenalkan untuk menjadikan negara sebuah negara maju, Dr Mahathir berkata negara masih menuju kemajuan, tetapi mungkin tanpa sebarang fokus kerana visi akan menentukan hala tuju dan rancangannya.
Menyentuh mengenai pembentukan komuniti Asean menjelang 2015, Dr Mahathir berkata, kumpulan serantau mesti mengelakkan kesilapan yang dibuat oleh Kesatuan Eropah.
"Kesatuan Eropah (EU) menghadapi masalah hari ini, kerana ia tidak boleh bekerja untuk memberi manfaat kepada semua anggotanya ekoran hanya memberi tumpuan kepada anggota-anggota yang kaya. Asean perlu memastikan negara-negara miskin akan mendapat faedah daripada komuniti juga, katanya.
Asean katanya, perlu mengelakkan kesilapan memperkenalkan mata wang sama kerana tambah beliau, ia hanya memberi manfaat kepada negara-negara kaya serta menyebabkan kos sara hidup di negara-negara miskin meningkat secara mendadak.
Daripada aspek globalisasi. katanya Asean perlu juga melihat kepada kepentingan negara miskin kerana mereka tidak akan mendapat manfaat daripada pasaran bebas.
"Globalisasi asal dari negara-negara kaya dan kita tidak perlu mengambilnya 100 peratus. Kita mesti periksa diri kita. Kita tidak mahu yang kaya terus lebih kaya dan golongan miskin terus menjadi miskin,".
Menjawab soalan daripada hadirin, Dr Mahathir berkata Asean perlu meminta rakan anggotanya Myanmar untuk menghentikan apa yang disifatkan sebagai penindasan terhadap etnik minoritinya, Rohingya. - Bernama
No comments:
Post a Comment