Wednesday, November 01, 2023

KETUA MENTERI KECEWA BAYARAN DIVIDEN BADAN BERKANUN DAN GLC MENURUN

BERBANDING tahun lalu bayaran dividen badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada kerajaan Negeri menurun 8.8 peratus bagi tahun ini kepada RM138.7 juta daripada RM152.04 juta.

Pada tahun lalu, GLC termuda negeri SMJ Sdn Bhd belum memulakan membayar dividen, akan tetapi pada tahun ini membayar RM50juta.

Pada Mac 2022 Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengingatkan badan berkanun dan GLC sekurang-kurangnya membayar RM1juta dividen kepada Kerajaan Negeri.

Bayaran dividen kepada kerajaan negeri adalah untuk mengisi tabung kewangan negeri untuk tujuan pembangunan. Selain itu, badan berkanun dan GLC perlu komited dan menyokong aspirasi kerajaan negeri untuk membangunkan ekonomi negeri secara holistik dalam rangka menghapuskan kemiskinan.

Pada Selasa, dalam satu majlis penyerahan dividen daripada badan-badan berkanun yang disaksikan Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Haji Masidi Manjun mewakili Ketua Menteri masih terdapatnya GLC membayar dividen di bawah RM1juta, malah ada yang membayar di bawah setengah juta ringgit, antaranya Borneo Development Corporation, Sabah Air Aviation Sdn Bhd, Keningau Agro-Venture Sdn Bhd.

Walaupun dividen dan sumbangan setakat ini berjumlah RM138.7 juta, akan tetapi masih banyak lagi akan menyusul antaranya Ghazanah Sabah Berhad, Progressive Insurance Bhd dan lain-lain.

Keupayaan Badan Berkanun dan GLC membayar dividen sangat diharapkan kerajaan negeri sebagai pulangan daripada pelaburan.

Di masa hadapan, mereka yang diberi tanggungjawab mengurus badan-badan dan syarikat-syarikat perlu sentiasa pro aktif selain memastikan syarikat berdaya maju juga menjamin keselamatan syarikat dan badan berkanun.

No comments:

Blog Archive