Thursday, November 02, 2023

KETUA LANUN-BERGURAU PUN KENA BERPADA-PADA LAH

PENGULUNGAN Belanjawan Kementerian Pertahanan di Parlimen yang disampaikan oleh Menteri Pertahanan merangkap Timbalan Presiden Umno, Datuk Mohammad Hassan, merujuk ahli Parlimen Semporna, Datuk Shafie Apdal sebagai Ketua Lanun (disampaikan secara bergurau,kemudian menarik balik) adalah satu kelakuan yang sewajarnya tidak perlu timbul dalam majlis rasmi, apa tah lagi dinyatakan dalam Dewan Rakyat, Dewan Yang Mulia.

Sudah menjadi “kebiasaan” pada era Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri, dalam majlis-majlis politik, suka sangat merujuk Shafie dengan panggilan timangan, “ketua lanun” untuk menggambarkan “keakraban” antara beliau dengan ahli parlimen Semporna itu, dikala itu, sebagai Naib Presiden Umno.

Akan tetapi, apabila Menteri Pertahanan, mengaitkan Shafie dalam hal ehwal pertahanan di Pantai Timur Sabah, yang kini dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP), ditukar daripada perintah berkurung, mecerminkan, bahawa penjenayah rentas sempadan, penyeludup, ada hubungkait dengan dengan MP Semporna itu, mungkin hubungkait itu dalam isu sukuan yang terlibat.

Penulis bukan pengkagum Shafie, bukan juga penyokong, baik secara peribadi mahupun parti politik yang beliau pimpin, akan tetapi penulis, menulis sebagai orang Sabah, rakyat Sabah, yang mempunyai susur galur berbagai etnik, termasuk etnik yang ramai di Pantai Timur dan pesisir pantai negeri Sabah.

Menggambarkan seseorang pemimpin sebagai ketua lanun, menunjukkan, bahawa orang itu adalah pemimpin dibelakang penjenayah, apa tah lagi merujuk ketua lanun turut sama berada dalam dewan rakyat.

Penulis yakin, bukan sahaja penyokong Shafie dan Parti Warisan terkilan dengan panggilan itu, akan tetapi rakyat Sabah yang berlatar belakang etnik di kawasan Pantai Timur Sabah turut sama terkilan.

Keselamatan bukan perkara yang boleh diguraukan. Ambil iktbar kejadian serangan di kampung Tanduo, Lahad Datu, rakyat negara ini yang menjadi mangsa culik termasuk dibunuh.

Betul penjenayah rentas sempadan, ada persamaan dari segi bahasa, etnik dengan Shafie Apdal, malah sebahagian besar pemimpin pantai Timur Sabah, termasuk lah Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah, akan tetapi, dalam isu penjenayah, tiada lah hubungkait dengan pemimpin Sabah.

Anggapan merendahkan rakyat Sabah, bukan hanya berlaku sekarang, akan tetapi sejak tahun 60-an lagi.Mungkin mereka yang pernah dihantar belajar di Semenanjung pada tahun 60-an, 70-an, 80-an, masih terngiang-ngiang lagi, “penghinaan” bahawa rakyat Sabah duduk atas pokok (hanya binatang yang duduk atas pokok), malah penulis 24 jam dibuang daripada mengikuti pendidikan, hanya kerana terlibat pergaduhan, apabila rakan sekelas menyamakan penulis dengan orang utan.

Apabila terkeluar perkataan, ketua lanun (walaupun gurauan), ianya membawa erti, bahawa pemimpin Sabah tidak sama status dengan pemimpin di Semenanjung. Jika demikian, bagai mana kah pemimpin Sabah dan Semenanjung boleh bekerjasama?

Betul di Sabah, dari segi politik telah berlaku kerjasama antara pemimpin Sabah dan Semenanjung, berdekad lamanya, natijahnya, kerjasama itu, hanya merugikan rakyat Sabah, baik daripada segi kemajuan dan pembangunan.

Dalam era inipun, walaupun beberapa tahun kebelakangan ini, ada sedikit perhatian terhadap kemajuan dan pembangunan Sabah, akan tetapi, semua itu terlahir, ATAS ketegasan pemimpin Sabah, yang tidak mahu berkompromi lagi, khususnya berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Walaupun suara pemimpin Sabah begitu nyaring, ketegasan yang berterusan, akan tetapi, daripada segi Peruntukkan Pembangunan Persekutuan untuk Sabah, berlegar-legar pada angka 7 peratus daripada keseluruhan peruntukkan pembangunan negara.

Bagi penulis, apabila seorang Pemimpin Nombor dua Parti Umno, boleh berkata bahawa Presiden Parti yang dijangka bekerjasama dengan parti itu pada PRN17 Sabah akan datang,apa kah sambutan penyokong parti Warisan? Apa kah bertepuk tangan? Sedangkan secara tersirat, pemimpin parti yang diperlukan sebagai rakan untuk melawan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dengan harapan boleh mengambil alih kerajaan negeri akan tetapi mempunyai niat tersirat.

Rakyat Sabah atau pemimpin Sabah, perlu sedar, bahawa sudah tiba masanya, kita jaga rumah kita, kita urus rumah kita, biar lah kita menentukan untung nasib kita, jangan lagi terpedaya, seperti mana yang lalu-lalu, 60 tahun, kita masih bergelut dengan kemudahan asas yang amat daif, kadar kemiskinan yang tinggi, sedangkan negeri kita kaya dengan sumber semulajadi, kaya dengan sumber yang boleh bertukar sebagai keuntungan perekonomian.

Berhenti lah menjadi seperti ketam dalam baldi, berhenti lah seperti enau dalam belukar, sebaliknya berganding bahu, berganding tangan, untuk majukan dan membangun negeri dengan resepi kita sendiri. Fikir-Fikirkan.

No comments:

Blog Archive