BUKAN juta akan tetapi trilion ringgit dibelanjakan Amerika, Russia, China dan kini India hanya untuk menghantar sampah ke bulan.
Bulan/angkasa dijadikan perlumbaan teknologi atau dengan bahasa mudah kepintaran menggunakan otak, untuk mencerminkan keperkasaan atau kekuatan atau keunggulan atau kegagahan. Dahulu untuk menggambarkan semua ini menggunakan tenaga empat kerat, dibantu pedang/tombak/panah kemudian berkembang menggunakan peluru, bom malah racun.
Mengapa ada negara sanggup berbelanja begitu besar hanya menghantar sampah ke bulan? Tujuan sebenarnya, adalah menjadi pemasaran bagi rakyatnya untuk mendapatkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam apa-apa bidang yang berbentuk mengubah sesuatu bentuk ke bentuk lain, atau sesuatu imaginasi kepada sesuatu yang nyata.
Sepatutnya Malaysia juga perlu bertindak sama, walaupun bukan untuk maksud menghantar sampah ke bulan, akan tetapi menjurus kepada kepintaran berkaitan penambah baikkan berkaitan kemudahan asas, yang berjangka hayat singkat ke jangka hayat yang panjang atau lama.
Perlu ramai rakyat yang mempunyai kepintaran diperlukan untuk menambah nilai setiap sen peruntukan negara untuk berjangka hayat lama, misalnya, berkaitan kualiti jalan raya, paip saluran bekalan air, kabel penghantar tenaga, kualiti liputan internet, termasuk lah mencegah masalah “wiring” dalam bangunan yang menyebabkan KKIA bergelap.
Penulis juga mendengar luahan kesedihan Ketua Menteri Sabah berkaitan kelambatan penyiapan Loji Talibung2, yang menyumbang pada masalah bekalan air terawat. Kelewatan seumpama ini, mempunyai keterkaitan dengan kemampuan modal insan yang berkaitan kejuruteraan yang tentunya kepintaran menggunakan otak.
Keperluan kepintaran menggunakan otak adalah keutamaan,berbanding berbelanja besar hanya menjadi penumpang menunju ke ISS yang pernah negara lakukan, akan tetapi kesannya terhadap kemudahan asas atau keperluan rakyat negara ini secara umum, bagaikan embun pagi di atas daun keladi, terbit matahari kering lah ia.
Dalam konteks Sabah misalnya lebih 60 tahun bergelut dengan isu sama, batang paip pecah, jalan berlubang, gangguan bekalan letrik, masalah pendawaian dalam bangunan dan macam-macam lagi warisan kedaifan ilmu.
Mengapa semua ini berlaku? Kerana kita lambat melabur dalam kepintaran teknologi, kita terbuai melabur pada sesuatu yang bersifat pengelipur lara.
Contoh mudah, pengeluaran padi pun kita tidak mampu mencapai 18 matrik tan sehektar, kita masih berlegar-legar dengan keluaran seperti mana keluaran petani sebelum mendapat sentuhan baja-baja kimia, racun pencegah perosak, pembajak dan penuai mekanikal.
Kita terlambat mengambil peluang di mana kita mempunyai kelebihan, kelebihan 12 jam sinar matahari, tiadanya gempa bumi, tiadanya salji mempengaruhi tanaman atau binatang, curahan hujan mengikut musim dan sebagainya.
Kerana kesan yang menebal berkaitan gaya hidup bersifat pengelipur lara, maka generasi atau turunan kurang minat terhadap penambahan ilmu berkaitan teknologi yang perlu menggunakan otak untuk menghasilkan ketangkasan tulang empat kerat, seperti latihan TVET, bukan itu sahaja minat untuk menyertai bidang sains, tekonologi,kejuruteraan dan matematik (STEM) semakin menurun. Mengapa? kerana mereka yang menamatkan pengajian dalam bidang ini, baik daripada dalam negara mahupun luar negara, tidak mendapat penghargaan daripada segi peluang/pendapatan berbanding mereka yang dilatih dalam bidang pengelipur lara. Meminjam kiriman WA daripada seorang sahabat, hanya kerana kesan menamatkan PDP Pan Borneo Sabah oleh Kerajaan Era Warisan,maka ramai jurutera, QS menjadi pemandu grab (e-hailing) untuk meneruskan kehidupan.
Bagi kita di Sabah, jangan sampai lah berbelanja ratusan juta ringgit menghantar sampah akan tetapi cukup memadai melabur pada bidang-bidang tekonologi menerusi pengwujudan agensi atau syarikat berkaitan kerajaan. Memang agensi/syarikat ini pada awal penubuhannya akan menggunakan dana besar, ibarat mencari sebatang jarum di tengah lautan, akan tetapi suatu hari nanti akan menghasil sesuatu yang sangat menakjubkan, seperti mana kebolehan India mendarat di Selatan Lunar, yang gagal dilakukan Amerika, Russia dan China. Fikir-Fikirkan.
No comments:
Post a Comment