Thursday, August 10, 2023

SIDANG DUN SABAH KALI PERTAMA DIDOMINASI ISU AIR

SETIAP persidangan semacam satu kemestian bahawa ada sahaja ADUN yang membangkitkannya, akan tetapi tidak sehangat seperti mana perbahasan mengenainya pada sidang DUN Sabah pada 8-10 Ogos.

Penulis mendapati, keprihatinan para ADUN, agar skandal besar yang menyelebungi Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) tidak berulang, atas sebab baki-baki berkaitan ketirisan masih menyelubungi jabatan kerajaan itu.

Ada lah sesuatu yang amat malang, dikala ramai pengguna kekeringan air berhari-hari, akan tetapi ada lori-lori tanki air swasta bebas mendapatkan air dan menjualnya dengan harga berkali-kali ganda.

Pertanyaannya daripada mana kah lori-lori itu mendapatkan sumber air (air terawat)? Sudah tentu daripada loji-loji air. Loji-loji air adalah milik JANS!!!.

Akibat kerjasama semua pihak terutama pengguna, sehingga terdedahnya kartel lori tanki air swasta, maka kerajaan negeri menerusi Kementerian Kerja Raya, bertindak pantas menghentikan aktiviti penjualan air oleh pihak swasta. Kesannya, luar biasa, bekalan air mendekati stabil, walaupun kadangkala, pada masa tertentu, terputus untuk beberapa jam sehari, akan tetapi keadaan bertambah baik.

Operasi bekalan air sangat unik, kerana membabitkan perpaipan kebanyakannya paip yang dibenamkan ke dalam tanah. Tiada siapa yang tahu tentang kualiti paip yang digunakan kecuali JANS dan kontrakor yang mendapat kerja.

Kecurigaan berkaitan kualiti paip yang digunakan rendah, apabila Non Revenue Water (NRW) tinggi. Ada yang kata, kerana kecurian, penyambungan haram. Akan tetapi, apabila didapati, kerapnya berlaku kebocoran, maka jelas ianya berkaitan kualiti paip yang digunakan. Jika kebocoran memancut ke atas maka mudah dilihat, akan tetapi jika kebocoran bawah tanah, hanya JANS yang boleh mengenalpasti, jika hanya jika jabatan itu mempunyai peralatan memantau tekanan air??? yang disalurkan menerusi jaringan perpaipan yang ratusan kilometer panjangnya.

Pada sidang DUN Sabah kali ini, isu hangat adalah berkaitan peruntukan RM320 juta yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan pada Jun lalu, yang belum diterima kerajaan negeri, sedangkan semasa pengumuman itu dibuat, mencerminkan kesungguhan kerajaan Persekutuan membantu negeri Sabah mengatasi isu bekalan air yang kritikal.

Oleh kerana peluncuran peruntukan kerajaan Persekutuan itu tidak sampai-sampai, maka mahu tidak mahu kerajaan negeri terpaksa menggunakan Kumpulan Wang Negeri yang Disatukan, dan membentangkan sebagai bekalan tambahan perbelanjaan negeri.

Di masa akan datang, mungkin jika ada keperluan mendesak seperti mana keperluan menyelesaikan masalah air, tidak perlu menunggu RUU Bekalan Tambahan, kerana telah ada AKAUN AMANAH KHAS yang diwujudkan. Akaun amanah khas tersebut dibawah bidang kuasa Kementerian Kewangan Negeri. Ertinya jika ada keperluan mendesak, maka wang daripada akaun amanah khas itu dapat digunakan segera.

Akaun Amanah Khas yang diwujudkan, selain mengumpul sumbangan daripada berbagai pihak termasuk agensi kerajaan, badan-badan korporat, dan lain-lain akan tetapi juga sebagai akaun untuk “parking” peruntukan Persekutuan kepada Sabah yang tidak dapat dibelanjakan untuk tempoh tertentu, dan tidak perlu lagi dipulangkan ke kerajaan Persekutuan untuk dikitar semula seperti mana praktis berdekad lamanya.

Pengwujudan Akaun Amanah Khas adalah salah satu reformasi hubungan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, untuk tujuan ketelusan dalam membela untung nasib rakyat dan negeri.

Seperti kata Menteri Kewangan Negeri Sabah- Datuk Masidi Manjun, tiada sesuatu yang disembunyikan atau maksud lain dalam pengwujudan Akaun Amanah Khas ini, melainkan untuk tujuan keadilan bagi rakyat dan negeri, yang berkaitan dengan peruntukan Persekutuan, selain mengatasi isu birokrasi berkaitan peruntukan itu.

No comments:

Blog Archive