Sunday, July 02, 2023

NILAI RINGGIT SEMAKIN MEROSOT

PENURUNAN nilai ringgit bukan perkara baharu, malah dijadikan isu besar dalam politik, sehingga ada pemimpin yang mendakwa, jika kerajaan diganti, dan pemimpin tertentu dilantik Perdana Menteri maka nilai ringgit akan pulih.

Mereka yang membuat dakwaan dahulu, kini pemimpin kerajaan, seseorang yang perlu dilantik sebagai Perdana Menteri, kini Perdana Menteri.

Apabila nilai ringgit semakin merosot, maka membebankan rakyat, kerana mendorong peningkatan harga, sehingga meningkatkan kos sara hidup.

Betul, kerajaan sedang berusaha memulihkan nilai ringgit, tetapi belum ditemukan formula yang tepat.

Pakar formula hilang punca, kerana rupanya formula yang didakwa berkesan, sudah kaduwarsa, tidak berkemampuan mengikuti kedinamikan faktor-faktor yang mempengaruhi nilai ringgit.

Sebagai negara yang terlibat dengan perdagangan dunia, termasuk sebahagian keperluan harian rakyat terutama makanan atau bahan mentah makanan haiwan masih diimport, penurunan nilai ringgit memberi impak berganda pada kehidupan rakyat.

Jika ada pemimpin yang berkesempatan memantau harga, harga timun misalnya, sebelum PKP timun bersaiz sederhana boleh dibeli RM1 sebiji, selepas dua tahun berharga RM3.50 sebiji. Peningkatan 250%. Harga ikan “rakyat”basung sebelum PKP boleh dibeli RM5.50 sekilogram, kini RM18, peningkatan 227%. Sardin cap ayam size 150gram sebelum PKP RM2.60 kini RM4.80, peningkatan 85%. Iroinya, barangan ini bukan barangan import, tetapi harga turut meningkat dengan drastik.

Peningkatan harga barang domestik adalah kesan berganda kemerosotan nilai ringgit, kerana faktor psikologi, akibat harga barangan import yang melonjak naik.

Apabila harga barang naik, maka kos sara hidup juga naik, akan tetapi, pendapatan rakyat yang boleh dibelanjakan tidak meningkat seiring dengan peningkatan harga.

Mungkin dalam jangka pendek rakyat masih boleh menerima berbagai alasan kerajaan, punca nilai ringgit merosot, tetapi jika berpanjangan, maka tentu rakyat akan mula mempersoalkan kemampuan kerajaan menanganinya seperti mana berlaku sebelum ini, rakyat percaya apabila pemimpin kerajaan yang ada pada hari ini mendakwa ada formula memulihkan nilai ringgit, maka rakyat memberi peluang menjadi kerajaan.

Menjadi cabaran kerajaan untuk memulihkan nilai ringgit, supaya perancangan membasmi kemiskinan menerusi penyediaan berbagai lapangan pekerjaan, sektor-sektor yang boleh meningkatkan pendapatan, agar pendapatan yang diperolehi tidak ditelan inflasi, sehingga akhirnya keadaan “back to square one”.

No comments:

Blog Archive