Monday, July 03, 2023

JAWATAN POLITIK & GLC

TIDAK pernah berubah, mana-mana parti yang memerintah, berkecenderungan hanya melantik mereka daripada kalangan parti sendiri atau simpatisan selain pada jawatan politik juga pada syarikat-syarikat milik kerajaan, kerana ianya cara membalas sokongan, seperti mana iktibar selepas menanam bersama-sama, maka sama-sama menuai.

Bagi parti politik, perjuangan sehingga menang pilihan raya, ada lah masa-masa menanam, hasil yang dituai adalah jawatan-jawatan politik dan GLC.

Apabila kerajaan telah ditubuhkan, rakyat akan terus diberi perkhabaran bahawa si pulan dan si pulan dilantik pada kedudukan tertentu.

Mereka yang dilantik itu mengambil alih daripada pemimpin parti politik yang bukan lagi peneraju kerajaan. Ertinya, mana-mana parti politik yang bukan lagi kerajaan, maka pemimpin mereka hilang jawatan.

Mana-mana parti politik yang menjadi kerajaan, boleh melantik sesiapa saja jika menurut hemat yang melantik bahawa mereka yang diberi peluang boleh memberi sumbangan dan membantu kerajaan.

Hakikatnya, mereka yang dilantik mempunyai tanggungjawab berat, selain membantu memajukan negeri atau syarikat yang dinaungi, juga memastikan parti yang memerintah terus mendapat sokongan rakyat.

Matlamat pemimpin kerajaan melantik mereka adalah untuk membantu parti yang menerajui kerajaan terus mendapat sokongan, dan menang pada pilihan raya.

Malangnya tidak semua buah dalam setandan pisang itu baik, kerana itu ada di antara mereka yang diberi peluang, bukannya menambah kekuatan parti yang memerintah, akan tetapi bertukar menjadi liabilti, apabila menjadikan kedudukan mereka, sendirian berhad.

Semakin ramainya mereka yang berstatus sama menjadi sendirian berhad, maka melemahkan parti yang menerajui kerajaan. Tindakan mereka seperti setitik nila, susu sebelanga rosak binasa. Apabila tindakan mereka ini menjadi isu pada rakyat, maka penyebab sesebuah parti yang memerintah ditolak rakyat pada pilihan raya.

Penolakan rakyat pada parti Warisan pada PRN16 dan PRU15, apabila rakyat sedar, bahawa matlamat para pemimpin parti itu, ada lah untuk diri sendiri, apabila mereka yang dilantik ke jawatan-jawatan, menjadi sendirian berhad, tidak peduli lagi rakyat.

Latar belakang politik Sabah adalah demikian. Sebab itu Sabah adalah negeri yang kerap bertukar kerajaan.

Seharusnya mereka yang dilantik ke jawatan politik dan syarikat-syarikat berkait kerajaan, daripada awal sedar,jawatan mereka adalah untuk menyumbang, membela rakyat, jauh daripada tindakan sendirian berhad, maka menjadi pendorong pada rakyat untuk terus menyokong. Fikir-Fikirkan.

No comments:

Blog Archive