Wednesday, June 07, 2023

PRN 6 NEGERI: JANGAN TERSALAH PILIH- NANTI GIGIT JARI

TIDAK lama lagi akan berlangsung pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam negeri di Semenanjung, iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Negeri Sembilan memiliki sebanyak 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Selangor (56 kerusi DUN), Pulau Pinang (40 kerusi DUN), Kedah (36 kerusi DUN), Kelantan (45 kerusi DUN) dan Terengganu (32 kerusi DUN). Seperti biasa akan berlaku proses pilih memilih siapa wakilnrakyat yang hendak dipilih.

Pastinya calon terbaik menjadi pilihan pengundi di enam negeri tersebut. Cuma paling dibimbangi mereka memilih calon yang hanya pandai menjual janji manis kerana tidak semua orang pandai menilai kebolehan kepimpinan seseorang. Tidak keterlaluan dikatakan, calon perangai jelek pun boleh menang undi.

Jika difikirkan semula ada kah kita boleh menyalahkan pemimpin yang tidak berapa bagus ini?

Membaca kenyataan di akhbar dan menilai lontaran idea mereka di media sosial kadang-kadang dapat memberi kita satu pandangan terhadap seseorang calon pilhan raya.

Ironinya kita sudah tahu, perangai seseorang begitu, tetapi masih undi dia. Kemudian tak sampai berakhir penggal PRU dan PRN, baru hendak komen itu ini. Jadi dalam soal begini hendak dipersalahkan yang memilih atau dipilih?

Bukan sahaja bagi enam negeri terlibat PRN itu,nasib rakyat di seluruh negara sangat memerlukan pemimpin berwibawa untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat di kawasan masing-masing.

Kurang bercakap,kerja jalan rasanya ;rbih jadi pilihan berbanding pemimpin yang kuat berceloteh tetapi masalah di kawasan masing-masing tidak berkesudahan.

Keadaan politik kita bukan calang-calang juga untuk dinilai. Perdana Menteri sahaja bertukar tiga kali dalam tempoh sepenggal.

Merujuk pada situasi ini, nak kata rakyat salah pun tahulah wajar atau tidak. Cuma apa yang dilihat, proses hendak berkuasa itu berlaku dalam kalangan pemimpin.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu,menyaksikan pembentukan Kerajaan Perpaduan apabila gabungan Pakatan Harapan memperoleh 82 kerusi Parlimen sementara gabungan Perikatan Nasional sebanyak 73 kerusi (kemudiannya 74 kerusi).

Proses kematangan demokrasi berlaku dalam keadaan mencabar. Sehingga kini masih terdapat spekulasi bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini tidak dapat bertahan sehingga hujung penggal.

Masalahnya, biarpun kita menyaksikan pemimpin bertukar ganti, namun rakyat tetap juga terbeban masalah dan kos sara hidup masih tinggi termasuk nilai mata wang masih rendah. Janji-janji ketika kempen pilihan raya seperti mainan bukan untuk ditepati.

Sempena PRN ini, kita sebagai pengundi perlu bijak menilai siapa pemimpin yang kita percayai yang boleh memimpin rakyat dan membantu menyelesaikan aduan penduduk.

Menjelang PRN ini juga,mungkin sahaja kita tidak boleh membuat tafsiran awal sama ada rakyat akan memilih parti atau calon.

Tetapi sekalilagi diperingatkan, nilailah calon yang bekerja dengan baik dan mampu membawa suara rakyat.

Pilihlah bakal pemimpin yang tepat supaya anda tidak kecewa. Pemimpin lama yang tidak capai indeks pretasi utama (KPI), tidak perlu diberi undi. Berilah peluang kepada yang lebih berwibawa.

Jika tersalah memilih pemimpin, hasilnya ANDA hanya gigit jari.

No comments:

Blog Archive