Sunday, June 11, 2023

PERPADUAN KUKUHKAN KEDUDUKAN

PERPADUAN antara parti-parti dalam kerajaan adalah untuk memperkukuh kedudukan para pemimpin yang memikul tanggungjawab dan amanah.

Apabila kedududukan para pemimpin kukuh boleh lah mereka membela rakyat.

Betul ada pemimpin yang melaksanakan amanah, akan tetapi juga ada yang terbuai.

Mereka yang tergolong terbuai ini menjadi agen keruntuhan kerana nila setitik susu sebelanga rosak.

Sementara mereka yang terbuai ini ditolak rakyat pada pilihan raya, apabila jumlahnya ramai, maka menyebabkan parti yang diwakili kalah dan kerajaan yang diterajui juga tumbang.

Pada PRU14 (tahun 2018), pemimpin yang berkedudukan termasuk Menteri Besar, Menteri, Timbalan Ketua Menteri ditolak rakyat. Kesannya, sebuah parti yang menang berturut-turut dalam 13 kali PRU tumbang.

Berpandukan pada pengalaman Umno/BN itu, maka semua pemimpin parti yang menerajui kerajaan hari ini perlu mengambil iktibar.

Rakyat apabila menjadi pengadil, tidak lagi berpandu pada nostalgia melainkan tidak dapat lagi bertolak ansur dengan mereka yang diangkat pada kedudukan dan kuasa akan tetapi lupa pada tanggungjawab.

Sewajarnya tiada pemimpin terkecuali perlu mengerti, hukum alam, penanam pasti mengharapkan menuai hasil. Apabila penanam tidak dapat menikmati hasil, sebaliknya dibolot atau dinikmati pihak lain, maka akan menyebabkan longar hati untuk menyokong malah menjadi katalis tumbangnya sesebuah parti atau kerajaan.

Malangnya, tidak sedikit pemimpin lupa akan hukum alam ini. Kerana terbuai dengan kedudukan, lupa bawahan asal yang mendokong, lalu beralih pada bawahan baru, sehingga bertindak kera di hutan disusukan anak di pangkuan dibiarkan kelaparan, kerana terpancing bunyi guruh di langit lalu menumpahkan air di tempayan.

Pengalaman Umno perlu diambil iktibar oleh mana-mana pemimpin yang memimpin parti yang berkedudukan.

Di negara ini, di kala era Umno berkuasa, sedikit sekali pemimpin parti itu tidak berkedudukan. Malangnya kedudukan yang disertai kuasa itu, tidak digunakan untuk membela bawahan dan rakyat sebaliknya, untuk kepentingan pribadi dan keluarga, ada juga kroni.

Penulis mengikuti dengan rapat perkembangan mana-mana pemimpin yang mendapat kedudukan dan kuasa kerana sokongan bawahan yang tidak mengenal penat lelah. Kerana sokongan bawahan, maka rakyat juga turut menyokong.

Semua kena ingat, dalam politik itu bersifat massa. Ertinya mana-mana parti mendapat sokongan teramai atau majoriti itu lah pemenang. Tiada pemimpin yang mempunyai kuasa lampu alladdin atau ada kuasa “Kun Fayakun”.

Kena ingat juga, setiap rakyat itu tidak hidup dalam silo/gua, melainkan berkomunikasi. Ertinya, mana-mana pemimpin yang kuat di kawasan masing-masing, tidak bermakna, hanya kerana sokongan di kawasan masing-masing. Sokongan itu terbina kerana sokongan rakyat di kawasan-kawasan lain yang turut sama mempengaruhi keputusan di mana seseorang pemimpin kenampakan kuat.

Hakikatnya, mana-mana pemimpin yang diangkat diberi tanggungjawab, tidak lagi terpaku pada bawahan atau rakyat di kawasan yang diwakili sahaja, melainkan perlu menyeluruh, kerana mereka itu diangkat pada kedudukan yang mewakili rakyat secara keseluruhan.

Jangan kerana mewakili satu kawasan pilihan raya, maka kedudukan dan kuasa yang diamanahkan tertumpu pada kawasan yang di wakili sahaja, sehingga muncul istilah baharu bagi kawasan yang diwakili itu, seolah-olah lebih unggul berbanding kawasan lain.

Dalam demokrasi, tiada istilah, satu kawasan pilihan raya sahaja boleh mengangkat seseorang pemimpin pada satu kedudukan yang diiringi dengan kuasa, melainkan perlu jumlah kawasan yang mencapai jumlah majoriti mudah. Ertinya jika salah seorang daripada sekian ramai pemimpin dipilih sebagai pemimpin, membawa erti, bertanggungjawab pada semua. Misalnya, semasa Tan Sri Chong Kah Kiat dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah, walaupun hanya mewakili dirinya (satu ADUN) akan tetapi bertanggungjawab untuk semua rakyat.

Sebelum terlambat, penulis suka memperingatkan para pemimpin yang berkedudukan dan berkuasa, bertindak menyeluruh lah, supaya rakyat secara umum memberi penilaian bahawa anda mewakili semua, yakni rentas kaum/etnik, agama dan kawasan.

Kalau pun sudah berlaku homogeneous kaum/etnik/agama di kementerian/jabatan/syarikat-syarikat berkait kerajaan, belum terlambat untuk pengubahsuaian atau pembetulan menerusi penstrukturan semula.

No comments:

Blog Archive