Friday, March 24, 2023

MASIH WUJUD KAH PROJEK GOTONG ROYONG?

PROJEK Gotong royong yang membabitkan peruntukan kerajaan atau peruntukan kerajaan yang disalurkan menerusi wakil-wakil rakyat, tidak kedengaran lagi.

Projek seumpama ini, pada hakikatnya bertujuan, agar orang kampung di Pusat-Pusat Daerah Mengundi (PDM) di mana projek-projek kecil itu diadakan merasa dilibatkan dengan pembangunan.

Kaedah gotong royong adalah kaedah menang-menang antara rakyat dan wakil rakyat, kerana wakil rakyat mendapat nama sekali gus membawa nama kerajaan, rakyat yang terlibat juga mendapat saguhati kerana menyertai gotong royong tersebut.

Mungkin kegiatan gotong royong diambil alih oleh kontraktor yang bermotif keuntungan, maka rakyat yang mendiami kawasan di mana projek kecil dibuat, hanya jadi pemerhati, walaupun projek itu demi kemudahan mereka.

Bertukarnya pendekatan gotong royong pada sistem kontraktor, menjadikan projek-projek kecil itu dimonopoli?

Penulis cuba membuktikan, bahawa kegiatan gotong royong ditinggalkan, apabila memohon projek kecil yang membabitkan naik taraf jalan kampung daripada tanah ke gravel atau aspal, dan menghantar surat ke Pejabat Daerah untuk dimasukkan sebagai projek keutamaan bagi daerah, namun, penulis diberi tahu, tanpa sokongan wakil rakyat setempat, khususnya wakil yang mewakili kawasan, pejabat daerah tidak boleh memasukkan projek tersebut sebagai keutamaan.

Isunya disini, bukan mudah mendapat sokongan wakil rakyat. Seeloknya pejabat Daerah memasukkan permohonan tersebut, dan semasa mesyuarat tindakan daerah, mungkin wakil rakyat hadir, maka dapat melihat permohonan itu, dan jika benar-benar ianya diperlukan, maka boleh diluluskan, dan seterusnya boleh menggunakan peruntukan wakil rakyat tersebut, atau memohon peruntukan, daripada jabatan yang terkait, umpamanya Jabatan Ketua Menteri, atau Kementerian Kewangan, atau Kementerian Luar Bandar atau kementerian-kementerian lain, termasuk Kementerian Kerja Raya.

Penulis tertanya-tanya, mengapa kah, birokrasi seperti ini masih berlaku? Sedangkan Pejabat Daerah yang diketuai oleh pegawai Daerah adalah agen pelaksana atau penghubung antara daerah dan kerajaan, semata-mata untuk membela untung nasib rakyat.

Atau kah pihak pelaksana/penghubung ini mendapat tekanan, daripada pihak wakil rakyat/pemimpin politik, jangan bertindak, tanpa ARAHAN?

Jika senario ini berlaku, maka ianya menjadi punca, mengapa sesebuah kerajaan/parti politik ditolak rakyat semasa pilihan raya, seperti mana berlaku di Sabah sebelum ini. Kerajaan bersilih ganti, dengan parti yang berbeza.

Penulis sangat suka apabila sesebuah kerajaan yang disokong, mengutamakan rakyat, kerana penulis telah melalui pengalaman berdekad apabila rakyat tidak menjadi keutamaan, menjadi punca menolak kerajaan.

Punca kemajuan rakyat dan pembangunan negeri ketinggalan, antaranya kerana kesan berganti-gantinya kerajaan. Apabila kerajaan berganti, maka lazimnya, sekali air bah sekali pantai berubah. At the end of the day, rakyat juga yang melopong.

Tulisan ini sengaja penulis siapkan bukan kerana disebabkan air paip tidak keluar setitik dalam tempoh 24 jam, akan tetapi menggambarkan betapa jauhnya jurang antara rakyat dengan kerajaan yang memerintah.

Para pemimpin kerajaan boleh berswafoto dalam keadaan yang sangat kondusif, kenampakan sangat gembira, akan tetapi pada masa yang sama, rakyat dirundung malang.

Jangan perlekeh kuasa rakyat, walaupun melibatkan seorang (satu undi), kerana rakyat lah penentu pada sesebuah parti untuk menjadi kerajaan.

Tanpa sokongan rakyat, sehebat mana pun pemimpin yang memimpin sesebuah parti tidak akan ke mana.

Jika rakyat merasa tidak terbela, sudah tentu menjadi elemen penolak pada sesebuah parti.

Mungkin kah senario ini, maka wakil rakyat mengambil peluang semaksimumkan mungkin dalam tempoh menjadi wakil rakyat, untuk menabung untuk kegunaan di masa hadapan? Kerana itu, sebarang permohonan projek perlu mendapatkan tanda tangan mereka terlebih dahulu? sebagai keadah pemastian, bahawa setiap projek perlu jatuh di tangan kumpulan lingkaran?, dan mungkin kerana syarat tersebut maka pihak pelaksana tidak sanggup melanggar, jika pemohon diluar lingkaran?. Mungkin fenomena ini penyebab.. projek dilaksana secara gotong royong tidak kedengaran lagi!!!.

No comments:

Blog Archive