Sunday, March 19, 2023

JANGAN TERBUAI DENGAN KUASA

JANGAN ambil mudah peringatan Datuk Bung Moktar Radin, apabila merujuk pengalaman Parti Berjaya yang dipimpin Datuk Harris Salleh (kini Tan Sri) antara tahun 1976-1985.

Dipenggal kedua pemerintahan, para pemimpin parti Berjaya yang diketuai Harris yang menerajui kerajaan begitu terbuai dengan kuasa, sehingga terlepas padang persepsi sebenar rakyat di peringkat akar umbi.

Gelombang perubahan di peringkat akar umbi dilihat sebelah mata, kerana menganggap rakyat akan kekal menyokong, kerana kerajaan mengutamakan politik pembangunan.

Pendekatan politik pembangunan, tidak pernah berhenti dan berlangsung sehingga kini, termasuk dalam Kerajaan yang diterajui Parti Gagasan Rakyat (GRS).

Politik pembangunan yang diterapkan pada pemerintahan negeri, pada hakikatnya telah membuahkan hasil yang cukup signifikan, sehinggakan Ketua Menteri terlama Sabah- Tan Sri Musa Aman diberi gelaran BAPA PEMBANGUNAN MODEN SABAH.

Melihat kadar pembangunan dan kemajuan yang tercipta antara tahun 2003-2018 di Sabah, sepatutnya rakyat Sabah terus menyokong kepimpinan semasa PRIU-14, akan tetapi, pada PRU tersebut, parti yang memerintah walaupun menang kerusi terbanyak akan tetapi tidak melepasi 50% daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan.

Penulis melihat, kekalahan beberapa calon kerajaan terutama mereka yang berkedudukan termasuk menteri, kerana terlepas pandang gelombang perubahan di kawasan masing-masing.

Gelombang perubahan itu, kerana kesan daripada wakil-wakil rakyat yang terbuai dengan kuasa, sehingga terlupa bahawa kedudukan mereka atas sokongan rakyat.

Penulis melihat fenomena itu sedang berlaku pada kerajaan hari ini, kerana ada sesetengah wakil rakyat atau pemimpin terbuai dengan kuasa yang ada, apatah lagi kejayaan Ketua Menteri dalam tempoh 2 bulan mendapat sokongan 2/3 ADUN Sabah.

Apa yang sangat ketara, mereka yang mempunyai kedudukan, seolah-olah, kedudukan mereka atas sebab kapasiti secara individu, bukan kerana kesan sebagai sebahagian daripada kepemimpin parti.

Penulis, membandingkan pendekatan/style setengah pemimpin sebelum dilantik pada kedudukan tertentu, termasuk lah semasa tiada kedudukan. Kini pendekatan/style mereka berubah, sangat berbeza, bagaikan malam dan siang.

Penulis teringat, era pemerintahan Berjaya, keadaan serupa juga berlaku, walaupun tidak sepenuhnya.

Apabila Bung membangkitkan isu kerajaan era Berjaya, tape recoder penulis berputar semula, dan ternyata apa yang dipercakapkan oleh Pengerusi Perhubungan Umno Sabah itu ada kebenarannya.

Tindakan kepimpinan yang terlepas pandang pendekatan asal, sebaliknya menggunapakai pendekatan baharu dengan memisahkan diri dengan penyokong asal sebaliknya memberi keutamaan pada “rakan-rakan baharu” termasuk daripada pihak lawan, untuk menggambarkan sokongan, hampir sama dengan tindakan Harris semasa penggal kedua pemerintahan.

Pada era Harris, para pelopor yang bertindak menegur/mengeritik untuk kebaikkan dianggap penentang, dan seterusnya dipecat daripada parti. Manakala para pengampu, yang rata-rata daripada rakan baharu, ditatang bagaikan minyak penuh. Kesannya, sepertimana kata Bung, pada PRN tahun 1985, kerajaan bukan sahaja tumbang, malah Ketua Menteri kalah, parti yang dipimpin hanya menang 5 kerusi daripada 43 sebelum pembubaran. Pada masa itu, jumlah kerusi DUN Sabah adalah 48 yang terbahagi kepada 20 kawasan bumiputera islam, 20 kawasan bumiputera bukan islam dan 8 kawasan majoriti kaum cina.

Belum terlambat bagi Ketua Menteri sebagai pemimpin kerajaan negeri, mengingatkan para wakil rakyat atau pemimpin parti yang diberi jawatan kerajaan untuk berubah, dan perlu kembali pada pendekatan asal, kerana pada pendekatan asal itu lah mereka mendapat sokongan rakyat, bukannya pada pendekatan/style yang baharu.

Sayang sekali, jika parti yang baru tumbuh, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan komponen baharu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) layu sebelum berkembang, kerana perbuatan segelintir pemimpin yang terbuai dengan kedudukan dan kuasa.

Tindakan para pemimpin Gabungan/Gagasan sepatutnya sedaya upaya menyanggah peringatan Bung itu, dengan kembali kepada pendekatan/style asal, iaitu mengutamakan rakyat, termasuk terus memupuk erat dengan pendokong asal, kerana mereka ini merupakan para pejuang yang tidak didendang.

Jangan sekali terlintas dalam pemikiran para pemimpin, dengan menganggap mereka ini tiada kesan, kerana terbukti pada PRU-15, kerana tindakan beberapa orang bertanding sebagai calon bebas, di kawasan yang sepatutnya milik calon parti, terbukti kawasan itu terlepas begitu sahaja.

Senario politik Sabah masih dalam keadaan teka teki, kerana masih kentalnya perjuangan Umno dan Parti Warisan Sabah, selain Pakatan Harapan, terutama Parti PKR. Tiga parti ini, sangat mempengaruhi keupayaan GRS/Gagasan mendapat sokongan kerana sama-sama bermain di kolam yang sama.

Mengingat pada keadaan ini, jika masih ada pemimpin yang terbuai dengan kuasa dan kedudukan, dibimbangkan akan mempengaruhi keupayaan parti mendapat sokongan.

Apa yang diperlukan pada keadaan politik yang masih dalam teka teki ini, setiap pemimpin perlu bertindak sedekat mungkin dengan rakyat, dan pada masa sama memahami permasalahan yang dihadapi mereka.

Parti atau pemimpin yang dapat menambat hati rakyat, maka itu lah yang di hadapan. Ambil iktibar pada pemimpin-pemimpin yang berkedudukan akan tetapi ditolak rakyat semasa pilihan raya, kerana hasil tindakan mereka sendiri yang menjauhkan diri dengan rakyat yang menyokong, hanya kerana status yang sudah berbeza. Fikir-Fikirkan.

No comments:

Blog Archive