Monday, February 13, 2023

BERUNDING DENGAN KERAJAAN NEGERI: BN SABAH PERLU PEMIMPIN DIHORMATI DUA PIHAK

PENULIS tidak menganggap Datuk Yakub Khan tidak boleh menjalankan tugas sebagai ketua perunding bagi pihak BN sabah dengan kerajaan negeri, akan tetapi, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah itu, adalah salah seorang daripada ADUN yang bertindak menarik sokongan terhadap Ketua Menteri dengan alasan hilang kepercayaan pada 6 Januari.

Tindakan 13 ADUN Umno itu hampir menumbangkan kerajaan negeri, jika hanya jika 5 ADUN Umno turut sama, iaitu ADUN Tanjung Keramat, Pantai Dalit, Tempasuk, Sugut dan Sindumin, selain jika 7 ADUN Pakatan Harapan (PH) mengikuti langkah Datuk Bung Moktar Radin.

Tindakan Bung yang berpakat dengan Presiden Parti Warisan- Datuk Shafie Apdal dan Presiden PKDM- Datuk Peter Anthony, pada awalnya cukup yakin dapat menumbangkan kerajaan negeri yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Haji Noor, kerana tiga parti itu mempunyai 40 ADUN daripada 79, dan jumlah itu mencukupi bagi mereka mengambil alih kerajaan.

Oleh kerana kesetiaan 5 ADUN Umno pada mandat rakyat Sabah pada PRN-16 negeri, maka menyebabkan gerakan menggulingkan Ketua Menteri dan kerajaan gagal kerana tidak mendapat kerusi yang diperlukan.

Ketua Menteri dan kerajaan membuktikan mempunyai sokongan majoriti menerusi Sidang Khas DUN Sabah pada 10 Januari. Ekoran sokongan tersebut, maka Ketua Menteri melakukan rombakan kabinet pada 11 Januari dengan menggugurkan mereka yang menolak kepimpinan dan kerajaan.

Pada Ahad, Barisan Nasional menerusi Setiausaha Agung parti itu membuat pusingan U, apabila menerusi kenyataan media menyokong Kerajaan Negeri yang dipimpin Hajiji, dan seterusnya melantik Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah yang juga ADUN Karambunai, dan salah seorang anggota kabinet negeri yang digugurkan, kerana terlibat menggulingkan kerajaan sendiri.

Sewajarnya, Barisan Nasional Pusat melantik seseorang yang diterima oleh kedua belah pihak, tidak perlu sebagai wakil rakyat, akan tetapi pemimpin yang dihormati, untuk tujuan berunding bagi mencapai keputusan menang-menang, jika benar lah BN mempunyai hasrat ikhlas untuk mengwujudkan kestabilan politik di Sabah.

Bagi pandangan penulis, berunding bukan lah keutamaan pada masa ini, memandangkan, 5 ADUN Umno merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri, melainkan isunya hanya pada 13 ADUN parti itu yang menolak kepimpinan Hajiji.

Tindakan sewajarnya, adalah, 13 ADUN Umno tersebut perlu membuat kenyataan terbuka tanpa syarat menyokong kepimpinan negeri dan kerajaan.

Dengan kenyataan terbuka itu, kedudukan mereka akan bertukar daripada “pembangkang” ke penyokong kerajaan.

Selain itu tindakan mereka, perlu juga turut sama menjayakan perancangan kerajaan khususnya merealisasikan visi Sabah Maju Jaya.

Mereka juga perlu menunjukkan kesetia kawanan, dengan berkongsi aspirasi yang sama dengan kerajaan, dengan berpaksi pada tindakan hormat dan kepercayaan, supaya kerajaan dapat berfungsi dengan berkesan dan efektif, menunaikan janji-janji pilihan raya.

No comments:

Blog Archive