Monday, February 13, 2023

HUBUNGAN BN SABAH -KERAJAAN NEGERI: LUKA YANG BERPARUT

BARISAN NASIONAL (BN) cuba memperbaiki hubungan antara BN Sabah dengan Kerajaan Negeri yang tercalar kesan tindakan Datuk Bung Moktar Radin bersama 12 ADUN Umno menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sabah- Datuk Seri Hajiji Haji Noor kerana hilang percaya pada 6 Januari lalu.

Kumpulan Bung pada awalnya mahukan Datuk Shafie Apdal Presiden Warisan Warisan menggantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri, walaupun kemudiannya Bung sendiri mahu dilantik sebagai Ketua Menteri, dengan harapan 5 ADUN Umno yang menolak menggulingkan Hajiji membuat pusingan U.

Seperti mana kita ketahui gerakan tersebut gagal, apabila Bung tidak dapat menukar pendirian 5 ADUN tersebut.

Kesan kegagalan menggulingkan kerajaan, Bung dan Shafie bersama-sama dengan 12 Umno dan 18  ADUN Warisan "show force" pada 10 Januari, apabila memboikot Persidangan Khas DUN Sabah yang membentangkan 2 Rang Undang-Undang berkaitan Kawan Selia Gas dan Tenaga.

Sidang Khas tersebut hanya dihadiri 44 ADUN yang menyokong Kerajaan Negeri.

Memandangkan Kerajaan Negeri yang dipimpin Hajiji, tidak menoleh ke belakang lagi, sebaliknya terus bergerak ke hadapan untuk memastikan fungsi dan perjalanan kerajaan efektif dan berkesan, maka Ketua Menteri telah melakukan rombakan kabinet pada 11 Januari, dengan menggugurkan mereka yang menolak kepimpinan beliau.

Adalah memperanjatkan, apabila semalam Setiausaha Agung BN Pusat telah melantik salah seorang yang menolak kepimpinan Hajiji dan penggerak menggulingkan kerajaan dilantik untuk mengetuai rundingan dengan Kerajaan Negeri, dan tentunya dengan Ketua Menteri.

Apa kah tindakan tersebut sesuai? yang mana menurut pandangan penulis, dalam situasi sekarang, rundingan jika diperlukan, perlu lah terlebih dahulu dimulakan oleh kumpulan 13 ADUN tersebut untuk menyatakan secara terbuka tanpa syarat menyokong Kerajaan Negeri.

Menerusi sokongan tersebut, maka kerusi mereka akan berpindah di bahagian penyokong kerajaan di DUN Sabah.

13 ADUN tersebut, perlu membuktikan sokongan mereka secara terbuka dan praktikal, termasuk menyokong semua usaha-usaha kerajaan negeri, termasuk merealisasikan visi Sabah Maju Jaya.

Pada hakikatnya, rundingan dengan Kerajaan Negeri bukan lah tindakan mendesak, kerana Umno/BN telah diwakili dalam kerajaan, termasuk salah seorang telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri.

Jika pun diperlukan rundingan, maka sepatutnya Umno/BN diwakili oleh pemimpin yang tidak berparut, yang dihormati ke dua belah pihak, agar dapat diambil keputusan menang-menang. Umno/Bn Sabah masih mempunyai pemimpin yang disanjung oleh Kerajaan Negeri termasuk Ketua Menteri, walaupun mereka itu bukan wakil rakyat.

No comments:

Blog Archive