Sunday, February 12, 2023

DILEMA WAKIL RAKYAT UMNO SOKONG KERAJAAN NEGERI

DILEMA besar wakil rakyat Umno yang menyokong kerajaan negeri yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Haji Noor adalah berkaitan pembahagian kerusi semasa pilihan raya, atas sebab parti mereka telah membuat keputusan tidak menyokong kerajaan negeri walaupun sebahagian kerajaan Persekutuan.

Jika semasa pilihan raya diputuskan, bahawa semua parti yang menyokong kerajaan Persekutuan mengelak pertembungan, biasanya pada keadaan demikian, parti-parti menggunapakai status quo, iaitu kawasan-kawasan yang dimenangi parti dalam pilihan raya dipertahankan oleh parti.

Apabila itu berlaku, maka peluang 5 ADUN Umno yang menyokong kerajaan negeri, tidak dapat mempertahankan kawasan masing-masing, jika berpindah plaform. Boleh juga berlaku, dan mempunyai kebarangkalian tinggi, mereka juga tidak dicalonkan oleh parti mereka, kerana kesan “ketidak patuhan” pada ketua parti.

Dalam keadaan demikian, mereka berada dalam keadaan serba salah, diluah mati emak ditelan mati bapa.

Di antara 5 ADUN Umno, 4 di antara mereka mempunyai masa depan dalam politik Sabah. Ada lah sayang, rakyat Sabah khususnya di kawasan masing-masing kehilangan perkhidmatan mereka, hanya kerana terperangkap dengan isu perbalahan yang sepatutnya tidak berlaku.

Keadaan politik Sabah,khususnya di kawasan-kawasan tradisi Umno, walaupun kawasan-kawasan sedemikian tidak juga selamat bagi parti itu, sebaliknya berkeadaan 50:50, misalnya kawasan-kawasan yang diwakili 5 ADUN parti itu, akan tetapi jika mereka menggunakan platform baharu, pemimpin Umno akan berusaha akan mengalahkan mereka, dengan meletakan calon parti.

Penulis melihat di akaun media Datuk Bung Moktar Radin, dengan memaparkan wajah ADUN Sugut- Datuk James Ratib, adalah wakil rakyat yang perlu dinyahkan di DUN tersebut. Demikian juga di DUN Tempasuk, sudah pasti Umno Kota Belud akan meletakkan calon terbaik mereka melawan Datuk Mohd Arsad Bistari, demikian juga di DUN Tanjung Keramat, Pantai Dalit dan Sindumin.

Akan tetapi perubahan politik Sabah dengan kewujudan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang 100% tempatan, selain salah satu komponen gabungan itu, adalah Gagasan Rakyat (GR) yang dipimpin Ketua Menteri, akan menjadi game changer politik Sabah pada PRN-17 negeri akan datang.

Kecenderungan rakyat Sabah mencontohi Gabungan Parti-Parti Sarawak (GPS) membolehkan GRS mempunyai masa depan yang cerah di Sabah. Jika demikian keadaannya, jika 5 ADUN Umno itu dipecat daripada parti mereka, atau bertukar platform dengan menyertai GR, mempunyai peluang tinggi mempertahankan kawasan masing-masing jika dicalonkan semula.

Penulis mempunyai keyakinan, mereka boleh dipilih semula, kerana duluan sebelum ini, seperti ADUN Apas, Membakut, Kawang, Sulaman, Klias, Kuala Penyu, Karanaan, Kuamut, Kemabong, walaupun bertukar platform, kekal dipertahankan oleh pengundi di kawasan masing-masing.

Pun demikian semuanya SANGAT bergantung pada AGIHAN kerusi, termasuk TIDAK mengorbankan MEREKA (5 ADUN), jika berlaku, maka akan berulang SITUASI Parlimen Beluran, apabila GRS-BN berpakat, yang mana GRS terpaksa mengalah dengan mengorbankan penyandang.

No comments:

Blog Archive