Sunday, January 29, 2023

PARTI POLITIK DAN PEMIMPIN

DI Sabah tidak sedikit parti politik ditubuhkan, akan tetapi tidak banyak parti yang mendapat sokongan rakyat.

Mengapa demikian? Mereka yang mengikuti perkembangan politik negeri sudah pasti mengetahuinya, bahawa rakyat jarang sekali melihat ideologi atau perjuangan sesebuah parti, melainkan mereka melihat siapa yang memimpin parti itu.

Sebagai contoh, semasa Parti Bersatu Sabah (PBS) ditubuhkan pada tahun 1985, hanya berusia kurang dua bulan, akan tetapi menang PRN pada tahun yang sama, menumbangkan parti kerajaan, yang mempunyai 43 kerusi daripada 48 sebelum DUN dibubar. PBS menang 25 kerusi, USNO 16, Berjaya 6 dan Momogon-1.

Kemenangan PBS itu, kerana rakyat melihat siapa yang memimpin. Ertinya penerimaan rakyat pada sesebuah parti, bukan bergantung sejauh mana jentera atau jumlah ahli atau baharu atau lamanya sesebuah parti.

Ada sesetengah penganalisis politik terutama daripada institut pengajian tinggi, mempersoalkan, parti baharu yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Haji Noor, kononnya terpaksa bertapak lebih dahulu di semua kawasan, menerusi penubuhan cawangan-cawangan, jika ingin menjadi pilihan rakyat pada PRN-17 akan datang.

Pada hari Ahad semasa menutup Konvensyen Mahasiswa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pelancaran Sayap Pelajar GRS, Hajiji mengumumkan mengetuai sebuah parti politik yang bernama Parti Gagasan Rakyat Sabah atau singkatnya Gagasan Rakyat.

Gagasan Rakyat (GR) telah diterima sebagai anggota GRS pada 9 Disember 2022, dan akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Para mantan ADUN Bersatu akan menyertai GR, kecuali ahli parlimen langsung GRS kerana terhalang oleh Undang-Undang Anti Lompat.

Apabila Hajiji mengetuai sesebuah parti, maka tidak timbul lagi persoalan sesetengah pihak berkaitan kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri.

Pada hakikatnya, daripada awal lagi, jika mereka yang mempersoalkan kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri melaksanakan penyelidikan, maka tentunya tidak timbul dakwaan bahawa Ketua Menteri itu tidak berparti, kerana sebelum para ADUN yang asal daripada Bersatu, telahpun menjadi ADUN langsung GRS sebelum Bersatu digugurkan sebagai komponen GRS. Apabila secara rasmi mengumumkan bahawa semua ADUN tersebut keluar daripada Bersatu bersama dengan pemimpin-pemimpin lain pada 10 Disember, pada hakikatnya, mereka telah menjadi ahli langsung GRS.

GRS didaftar sebagai sebuah parti pada Mac 2022, ertinya, mereka yang mendapat watikah bertanding menggunakan logo GRS pada PRU-15, sebenarnya adalah ahli GRS. Atas sebab itu, apabila 4 ahli parlimen GRS yang dipersoalkan oleh Bersatu, akhirnya diputuskan oleh Speaker Dewan Rakyat, adalah ahli GRS, dan tidak tertakluk pada Undang-Undang Anti Lompat.

Penulis melihat, apapun nama parti yang disertai Ketua Menteri, jika rakyat menyokong, maka akan tetap mendapat sokongan.

Sesuai dengan senario politik tanah air termasuk di Sabah, nampaknya, semasa PRN-17 Sabah nanti, parti yang bakal mendapat mandat rakyat bergantung, bagai mana parti-parti tersebut menghadapi pilihan raya tersebut.

No comments:

Blog Archive