Saturday, January 28, 2023

POLITIK SABAH ITU BERBEZA DENGAN SARAWAK

JIKA pemimpin politik Sabah dalam masa singkat mahu mengikuti politik Sarawak yang dikuasai parti tempatan, tidak mudah berlaku, atas sebab latar belakang politik yang berbeza.

Memang betul di Sarawak parti nasional terlibat mana-mana pilihan raya, baik DUN mahupun Parlimen, tetapi tiada satupun pernah menganggotai kerajaan negeri. Berbeza dengan Sabah, pernah dikuasai parti nasional, iaitu Umno sejak tahun 1994.

Di Sarawak, penentuan Ketua Menteri atau anggota kabinet negeri itu, semuanya ditentukan oleh pemimpin mereka, tanpa sebarang campur tangan daripada kerajaan Pusat, sama seperti Sabah sebelum tahun 1994.

Di Sabah pula, penentuan Ketua Menteri, terutama semasa tempoh pengiliran Ketua Menteri, semuanya ditentukan oleh Perdana Menteri, kecuali semasa Datuk Shafie Apdal mengambil alih jawatan Ketua Menteri pada Mei 2018. Selepas itu, termasuk pada PRN-16 Sabah, penentuan Ketua Menteri mendapat restu daripada Perdana Menteri, malah semasa kemelut menggulingkan Datuk Seri Hajiji Haji Noor pada 6 Januari, Perdana Menteri juga turun memberi nasihat.

Selepas sahaja parti PBS tumbang pada tahun 1994, diluar pilihan raya,  tiada satu parti pun pernah memerintah Sabah tanpa sokongan parti nasional.

Kerajaan Sabah pada hari ini, daripada 47 ADUN yang menyokong Datuk Seri Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri, 8 daripada Umno/BN dan 7 daripada Pakatan Harapan (PH), iaitu 6 daripada parti nasional dan satu parti tempatan.

Penulis tidak pasti, bagai mana kaedah yang digunakan pemimpin politik Sabah, supaya Sabah  diperintah parti tempatan, walaupun pada PRN-16 Sabah parti Warisan cuba mengabui mata pengundi Sabah, apabila calon-calon parti DAP menggunakan LOGO Warisan, pun demikian, tidak juga mendapat kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan.

Dalam senario politik Sabah mutakhir ini, nampaknya kerjasama antara parti tempatan dan nasional akan kembali, apa kah itu kerjasama antara GRS dan PH atau kah Warisan dan BN.

Penulis belum nampak, bagai mana politik Sabah boleh terlepas daripada parti nasional, kerana belum ada tanda-tanda ke arah itu, kecuali lah para pemimpin Umno atau PH akan menyertai salah satu parti tempatan, dan keputusan Umno dan PH tidak akan meletakan calon pada mana-mana pilihan raya apa kah peringkat DUN mahupun parlimen, maka boleh lah Sabah dikuasai parti tempatan.

Berbeza di Sarawak, walaupun parti nasional meletakan calon dan menang kerusi, akan tetapi tidak mempengaruhi penguasaan parti tempatan, lagi pun setiap pilihan raya, mereka saling berlawan, sedangkan di Sabah keadaan yang sama tidak berlaku, kerana masing-masing saling memerlukan.

Memang di Sabah ini, tidak pelik, walaupun parti-parti sama-sama menyokong kerajaan Persekutuan, akan tetapi di peringkat negeri saling berlawan.

Kini, politik  Sabah pula mencatit rekod baharu, apabila berlaku, ada ADUN parti sebahagian daripada kerajaan dan yang bertindak pembangkang.

Matlamat kerajaan negeri yang dipimpin Hajiji, hanya satu, mereka yang dilibatkan dalam kerajaan mempunyai aspirasi sama berasaskan hormat dan saling mempercayai, supaya kerajaan dapat berfungsi dengan baik sehingga tamat penggal.

Mereka yang berada di luar kerajaan, perlu berperanan semak dan imbang yang efektif, untuk kemajuan rakyat dan negeri.

Bagi pandangan penulis, apa pun kedudukan kita, mempunyai fungsi masing-masing, yang bertujuan untuk memperbaiki sistem pemerintahan, agar rakyat dapat perkhidmatan dan pembelaan yang terbaik.

Adalah afdal, bagi sesebuah negeri yang haus akan kemajuan dan pembangunan, semua pemimpin perlu bersatu sebagai sebuah pasukan, untuk membawa negeri dan rakyatnya mencapai kesejahteraan, dan tentuya perlu mengakui adanya kapten sebagai pengemudi, dan lainnya sebagai pendokong, bagaikan kepala keretaapi, kemana kepala ke situ lah lokomotif ikut bergerak hingga sampai ke destinasi.

Semua pihak, perlu mengambil iktibar pada seberkas lidi, sebatang mudah dipatah, seberkas, bukan sahaja liat, tidak mudah dipatah.

Para pemimpin politik Sabah pada masa kini, perlu melihat ke belakang, kemajuan dan pembangunan Sabah dan rakyatnya terbantut, hanya kerana perbalahan politik yang berpanjangan, sehinggakan menyebabkan kerajaan negeri saling berganti.

Bagi penulis yang hanya sebagai blogger dengan keterbatasan dariada segi maklumat berkaitan kerajaan kecuali maklumat yang diperolehi semasa Sidang DUN, atau hebahan akhbar, hanya dapat memberi pandangan,ulasan, laporan untuk dikongsi dengan rakyat.

No comments:

Blog Archive