Sunday, September 18, 2022

TIADA KOMPROMI TUNTUT HAK SABAH: HAJIJI

KERAJAAN Gabungan Rakyat Sabah- Barisan Nasional (GRS-BN) komited meneruskan usaha menuntut hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), demikian menurut Ketua Menteri Sabah- Datuk Seri Hajiji Haji Noor dalam ucapan sambutan Hari Malaysia Tahun 2022 Peringkat Negeri di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada Jumaat.

Kerajaan Sabah akan memanfaatkan sepenuhnya persefahaman dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan tuntutan-tuntutan Sabah dipenuhi dan dilaksanakan.

Kerajaan negeri percaya, bahawa isu berhubung hak dan kepentingan negeri yang melingkari hubungan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan selama ini akan dapat ditangani melalui perundingan dan muafakat atas semangat Keluarga Malaysia.

Menurut Hajiji, dalam Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 8 September lalu, beliau telah mengulangi bahawa Sabah akan tanpa henti terus menuntut 40 peratus pulangan daripada hasil bersih Sabah sendiri yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan, seperti yang ditetapkan dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Menteri Sabah itu juga berkata, bahawa Sabah telah melangkah sejauh ini sejak pengisytiharan bersejarah Malaysia pada 16 September 1963.

Walaupun masih banyak ruang untuk penambahbaikan dalam konteks pembangunan di bawah semangat MA63, Sabah akan terus menuntut apa yang patut, supaya rakyat Sabah juga akan menikmati hasil pembangunan sebagai rakan kongsi kepada negara.

Rakyat Sabah juga ingin melihat erti sebenar Keluarga Malaysia diterjemahkan menerusi konteks kesaksamaan dalam usaha membangunkan negara.

Kerajaan Sabah akan terus melangkah ke hadapan untuk membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan di Sabah.

Agenda pembangunan negeri,khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kini berada di landasan yang betul dan mula menampakkan hasil. Ini jelas apabila Sabah merekodkan pelaburan asing berjumlah RM9.9 bilion sepertimana laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tempoh Januari hingga September 2022 sekali gus meletakkan Sabah sebagai penerima pelaburan asing ketiga terbesar di Malaysia.

Atas sebab itu, Kerajaan Negeri akan terus menjadi negeri mesra pelabur dan akan mengurangkan semua halangan bagi memudahkan pelaburan.

Kerajaan Negeri akan mengekalkan momentum ini bagi memastikan Sabah terus menjadi destinasi menarik bagi pelaburan.

Untuk memacu kemajuan dan pembanguna negeri, Kerajaan GRS-BN telah melancarkan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ pada 29 Mac 2021, dan telah dimurnikan serta diperkukuhkan lagi melalui pelaksanaan Majlis Retrospektif Aspirasi pada 29 Mac 2022 bagi meninjau prestasi dan memperteguhkan aspirasi.

SMJ melibatkan tiga teras utama iaitu melonjakkan pertumbuhan ekonomi melalui tiga sektor fokus utama iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan.

Teras utama kedua iaitu Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, dan teras utama ketiga menekankan pada kualiti dan tahap kesejahteraan rakyat yang bergantung kepada akses jaringan infra dan kelestarian hijau.

SMJ merentasi segenap lapisan segmen masyarakat selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

Hakikatnya masih banyak yang perlu dilakukan untuk membawa pembangunan dan kemajuan negeri. Kerajaan akan terus gigih untuk merapatkan jurang perbezaan dengan keyakinan usaha yang diambil pasti akan membuahkan hasil. Sehubungan itu,Kerajaan Persekutuan telah menerima segala keperluan Sabah melalui komitmennya dalam Rancangan Malaysia ke-12 untuk meningkatkan lagi pembangunan Sabah.

No comments:

Blog Archive