Friday, July 08, 2022

BOLEH KAH RAKYAT DIPAKSA MENYOKONG?

PENDEKATAN arrogant yang berunsur mengugut, tidak akan berjaya memaksa rakyat menyokong. Demikian juga mengelar mereka yang tidak lagi sepasukan dengan berbagai gelaran, juga tidak akan membawa sokongan.

Menjelang PRU-14, Datuk Seri Najib Razak datang ke Sabah memperincikan “kejelekan” Datuk Shafie Apdal, termasuk di Semporna dalam satu perjumpaan raksasa.

Perjumpaan tersebut, Jika dinilai dengan mata kasar, parlimen Semporna, termasuk semua kawasan DUN, bukan saja akan dimenangi Umno/BN akan tetapi, mana-mana calon termasuk Shafie sendiri akan hilang wang pertaruhan.

Akan tetapi keputusannya, pada PRU-14, semua kawasan di Semporna di menangi parti yang dipimpin Shafie, malah secara keseluruhan, Umno/BN hanya menang 29 kerusi, kurang 2 kerusi untuk mencapai majoriti mudah daripada 60 kawasan Dun yang dipertandingkan. Demikian juga kawasan parlimen, sebahagian besar kawasan yang ditandingi Umno ditawan Warisan, termasuk kekalahan beberapa menteri, baik menteri Persekutuan mahupun negeri.

Kini pemimpin yang sama datang ke Sabah, berdegar-degar berpidato, bukan sahaja mengelarkan mereka yang telah keluar daripada Umno dengan berbagai gelaran jelek, akan tetapi termasuk juga mereka yang masih bersama parti itu, yang dikategorikan sebagai hanya pencari peluang; musang berbulu ayam kerana dicap membawa suara Bersatu.

Cuba congak sendiri, sebelum PRU-14, kerana sambutan luar biasa pada Umno/BN, seperti mana kehadiran semasa pelancaran kempen BN menjelang PRU-14, di Stadium Likas, Kota Kinabalu, tiada yang menyangka, bahawa Umno/BN bakal kehilangan banyak kerusi, terutama di kawasan tradisi Umno.

Pada PRU-14, kerana calon-calon Umno ramai yang kalah, maka BN Sabah masa itu terpaksa bekerjasama dengan parti kecil STAR (yang bertanding sebagai parti pembangkang) menjadi rakan kongsi untuk membentuk kerajaan BN Plus.

Melihat kejadian pada PRU-14 dan PRN-16 Sabah, rakyat tidak boleh dipaksa untuk menyokong. Buktinya, Umno yang bertanding 31 kawasan Dun semasa PRN Sabah, hanya menang 14 kerusi.

Pendek kata tiada mana-mana parti atau pemimpin boleh memaksa rakyat menyokong, termasuk juga pada PRU-15.

Pengundi Sabah penuh dengan sentimental, tidak serupa dengan pengundi Semenanjung. Pengundi Sabah, semacam berada di air tenang. Ketenangan ini, sudah dibuktikan beberapa kali, semasa pilihan raya. Pilihan raya negeri tahun 1976, tiada yang menyangka parti USNO kalah, demikian juga pada PRN tahun 1985, tiada yang menyangka parti Berjaya kalah. Dan yang terakhir, pada PRU-14, tiada yang menyangka Umno kehilangan banyak kerusi.

Rakyat Sabah lebih condong menyokong parti yang dipimpin pemimpin yang berjiwa tenang, atas sebab itu, mereka itu, boleh menang dalam pilihan raya, walaupun rakan-rakan dalam parti ramai yang kecundang.

Kini rakyat Sabah melihat, para pemimpin yang berjiwa tenang, tidak sombong, tidak arrogant yang menjadi pemimpin di berbagai parti. Mereka ini akan diberi kepercayaan rakyat, walaupun rakan-rakan separti akan ditolak.

Kerana senario demikian, maka penulis meramalkan, keputusan PRU-15, akan menghasilkan sejumlah ahli parlimen seperti pelangi, berwarna warni. Kerana keadaan demikian, hasrat BossKu dan Wak Zahid, membolot kawasan-kawasan yang biasa dimenangi Umno/BN tidak akan tercapai.

Pemimpin seperti Datuk Seri Hajiji Haji Noor sangat menyedari keadaan ini, bertitik tolak pengalaman Ketua Menteri tersebut yang telah menjadi wakil rakyat sejak tahun 1990, tanpa terputus. Oleh kerana kecenderungan rakyat Sabah demikian dalam memberi mandat, maka Hajiji kerap mengulangi- kata-kata azimat beliau- JANGAN GADUH-GADUH, JANGAN REBUT KERUSI, jika mahukan rakyat menyokong. Fikir-Fikirkan.

No comments:

Blog Archive