Wednesday, July 27, 2022

AKAN KUAT KAH GRS DENGAN ANGGOTA PARTI YANG BANYAK?

DALAM pilihan raya, satu undipun diambilkira. Mungkin itu lah alasan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bakal menerima beberapa parti kecil yang telah mengemukakan permohonan atau hasrat menyertai gabungan tersebut.

Bagi parti-parti kecil pula, walaupun berkeupayaan bertanding banyak kerusi, tetapi, hanya sebagai peserta pesta demokrasi, kerana calon-calon parti sedemikian hanya menjadi sebahagian senarai calon-calon hilang wang deposit.

Kecil besarnya sesebuah parti, dilihat daripada segi sokongan dan sambutan rakyat.

Sokongan dan sambutan rakyat pada sesebuah parti baharu, selain kerana faktor pemimpin yang memimpin juga faktor sentimen semasa.

Teorinya, semakin banyak parti dalam sesebuah gabungan, maka semakin ramai ahli, boleh juga membawa erti, semakin ramai penyokong.

Dalam gabungan berbagai parti Isu hanya satu, iaitu pemilihan calon pada pilihan raya.

Pada peringkat ini lah, berlaku “konflik” kerana resam manusia rambut sama hitam hati lain-lain.

Parti yang terpilih bertanding, sudah tentu nyaman, akan tetapi parti yang tidak, khususnya pemimpin utama sesebuah parti, membawa diri dalam diam, menjadi musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, musang berbulu ayam, sokong membawa rebah.

Situasi sedemikian, bukan lah baharu, kerana dalam sebuah parti pun, telah menjadi asam garam, atas sebab itu, Umno takut mengadakan pemilihan parti sebelum PRU-15, kerana memang parti itu maklum, mereka yang terluka kerana kalah dalam merebut jawatan parti, akan bertindak seperti mana isu-isu yang disebutkan di atas.

Lazimnya pada permulaan, memang, parti-parti kecil, akur, parti yang bertanding, berasaskan kekuatan sesebuah parti, yang biasanya bersandarkan pada jumlah ahli pada sesebuah persempadanan pilihan raya. Jumlah ahli, dipadankan dengan jumlah cawangan parti-parti dalam kawasan-kawasan sedemikian.

Dalam perbincangan menentukan parti mana atau siapa calon, maka masing-masing akan bersandar pada jumlah ahli di kawasan-kawasan tersebut.

Biasanya, parti yang mempunyai ahli teramai, akan dipilih. Dan parti yang tidak terpilih, perlu memberi sokongan, untuk memastikan kemenangan. Demikian lah teorinya. Isunya apa kah teori ini boleh dilaksanakan?

Pengalaman Barisan Nasional (BN) berdekad lamanya sebelum tumbang pada PRU-14, isu pemilihan calon setiap pilihan raya, adalah isu yang amat kritikal, bukan sahaja terkait dengan parti “besar” akan tetapi parti kecil.

Atas sebab itu, biasa berjadi, kawasan yang sepatutnya dimenangi, akan tetapi kalah.

Hakikat perlu diterima, gabungan berbagai parti bertujuan untuk bersatu padu, menyatupadukan semua parti yang sealiran, mempunyai visi dan tujuan yang sama, tetapi dalam pelaksanaannya, terpaksa melalui jalan berliku yang penuh ranjau dan duri.

Dilaporkan mesyuarat GRS pada Oktober depan, akan membincangkan permohonan berbagai parti kecil yang telah menghantar permohonan menyertai gabungan tersebut. Juga dikatakan, keputusan mengenainya,akan ditentukan/diputuskan pada mesyuarat tersebut.

GRS walaupun sebagai parti blok baharu, akan tetapi mempunyai misi besar, mahu menjadi parti dominan di Sabah, seperti mana parti Gabungan Parti-Parti Sarawak (GPS).

Akan menjadi kenyataan kah visi gabungan tersebut, semunya terletak pada barisan kepemimpinan gabungan tersebut yang diterpengerusikan oleh Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang juga Ketua Menteri Sabah.

No comments:

Blog Archive