Monday, June 20, 2022

SELEPAS SEPANGGAL APA RAKYAT DAPAT?

BERPENGAL-PENGGAL penulis melalui jalan yang sama. Kerana sudah biasa, waktu malam, tanpa lampu keretapun, penulis selamat sampai ke rumah.

Bukan sedikit kawan pernah menumpang pulang. Alang kah terperanjatnya kawan, apabila kereta yang penulis pandu, tidak berlampu besar, kerana bulb tidak sempat diganti. Dalam keadaan tidak berlampu, penulis masih berkelajuan 40-50km/jam, had laju biasa penulis, jika jalan lenggang, samada siang atau malam, kecuali hujan.

Bayangan di atas menunjukkan bahawa penulis hafal/faham betul jalan yang dilalui. Ertinya, sebarang perubahan pada jalan tersebut, pasti tidak terlepas pada pengamatan.

Mari kita hubungkan keadaan jalan yang penulis lalui saban hari, dengan sistem pemerintahan negara kita, yang berpaksi pada Rancangan Lima Tahun. Makna kata, setiap 5 tahun, maka diadakan pilihan raya, untuk memilih parti yang memerintah 5 tahun lagi.

Di kawasan parlimen penulis, memang kerap berganti ahli parlimen, kadang parti kerajaan, kadang parti pembangkang. Demikian juga kedudukan ahli parlimen, kadang ahli parlimen biasa, kadang jadi menteri.

Dalam tempoh yang lama itu, samada wakil rakyat yang mewakili kawasan penulis mempunyai kedudukan atau pun tidak, jalan yang biasa penulis lalui, yang itu-itu juga, yang berubah, permukaan jalan penuh dengan tampalan, semakin bertambah gelombang, kekal tidak berlampu, pemisah jalan yang pudar, akan tetapi kontraktor pemotong rumput cukup setia kerana terus menjalankan perkhidmatan memotong setiap bulan.

Tempoh 20 tahun bukannya singkat. Bayangkan jalan yang hanya perlu 10 minit untuk sampai tengah-tengah bandar ibu negeri, jika memandu tengah malam, tidak menepati piawaian jalan standard, akan tetapi bertambah jelek dalam tempoh masa itu. Penulis tidak terbayang, apa keadaan jalan luar bandar?

Gambaran di atas adalah berkaitan jalan yang tidak mengalami perubahan ke arah lebih baik, apa pula jadinya pada penghidupan? Apa kah ada perubahan? Atau kah memang berlaku perubahan, kerana kemampuan menyara hidup semakin terkesan, mengikut masa.

Apa kah mungkin jika dahulu ada pendapatan RM1000 sebulan, maka masih mampu membeli barangan yang kuantitinya sama? Atau kah, dengan pendapatan yang sama, akan tetapi kuantiti barangan yang dapat dibeli hanya separuh?. Jika berasaskan perkembangan semasa, sudah tentu, kuantiti barangan yang dapat dibeli hanya separuh, kerana impak inflasi. Belum lagi dikaitkan dengan bertambahnya keperluan lain termasuk perbelanjaan sekolah anak-anak dan membesarnya keluarga!!!.

Jika meneliti laporan statistik rasmi, Jumlah rakyat dalam keadaan seperti ini bukan sedikit, malah setiap tahun bertambah. Pertambahan lebih laju daripada kemajuan yang di bawa oleh kerajaan. Mungkin atas sebab itu, setiap 5 tahun, harapan yang diharap rakyat pada kerajaan tidak kenampakan.

Tetapi setiap 5 tahun pasti ada yang berubah. Mereka yang termasuk dalam “inner circle” kerajaan berubah berkali ganda dalam semua perkara, dan yang paling menonjol adalah gaya hidup.

Apa yang pasti, setiap sepenggal, harapan rakyat hanya tinggal harapan, demikian lah seterusnya entah sampai bila?

No comments:

Blog Archive