Keputusan pilihan raya itu, mereka yang terpalit isu moral termasuk rasuah dan intergriti masih menang. Malangnya meraka yang dilihat bersih akan tetapi termasuk dalam kumpulan lompat parti kemungkinan besar akan dihukum pengundi.
Pengundi negara ini masih memilih calon-calon dilihat bukan sahaja tidak bersih, akan tetapi terpalit salah guna kuasa berbanding calon-calon yang bertukar parti.
Mengapa keadaan demikian berlaku? Kerana terbukti sambutan “rakyat” pada mereka yang mempunyai isu moral jauh lebih baik berbanding mereka yang terlibat lompat parti, malah golongan kedua ini bukan sahaja dicap sebagai pengkhianat, akan tetapi dipanggil dengan panggilan jelik. Malah ada wakil rakyat sangat phobia dengan istilah KATAK, yang menjadi penghalang pada wakil rakyat tersebut menyertai mana-mana parti politik.
Pengundi melihat mereka yang terpalit isu moral dan integriti adalah isu peribadi, manakala mereka yang tergolong lompat parti, bersifat majemuk, kerana melibatkan rakyat, parti dan kerajaan.
Perbuatan lompat parti dilihat mempunyai impak besar, kerana boleh menyebabkan sesebuah kerajaan tumbang, membolehkan parti yang ditolak pada pilihan raya menjadi kerajaan.
Sebagai contoh semasa PRN-16 Sabah, mereka yang termasuk lompat parti ditolak mentah-mentah oleh pengundi, manakala calon yang mempunyai isu moral dimenangkan.
Senario ini akan berulang pada PRU-15, kerana telah dibuktikan pada PRN Melaka dan Johor, apabila isu moral dibangkitkan dengan hebat sekali, ternyata, parti yang disokong oleh para pemimpin yang termasuk dalam golongan ini menang besar.
Pada PRU-15, calon-calon yang termasuk golongan lompat parti, diramalkan tidak akan pergi jauh, walaupun tidak dinafikan, ada di antara mereka itu masih boleh menang, kerana pertimbangan pengundi atas sumbangan mereka pada kawasan yang diwakili.
Nampaknya, negara kita tidak akan dapat melepaskan diri daripada para pemimpin yang terpalit isu moral, kerana anggapan bahawa isu tersebut adalah hal peribadi. Apa tah lagi, terdapatnya pemimpin yang telah dihukum akan tetapi mendapat pengampunan, yang mengembalikan status pemimpin tersebut seperti kain putih tidak bernoda.
Nota: Istilah lompat parti tergunapakai apabila menyebabkan tindakan tersebut mengakibatkan sesebuah kerajaan tumbang, bukan mereka yang menukar parti kerana meneruskan perjuangan menerusi flatform baharu. Pengistilahan berkaitan lompat parti ini lah yang menyebabkan Rang Undang-Undang Anti Lompat belum dibentangkan di Dewan Rakyat.
No comments:
Post a Comment