Saturday, May 21, 2022

PALSU CUKAI JUALAN MINYAK SAWIT-ROMPAKAN DI SIANG BOLONG

CUKAI yang dikenakan kerajaan Sabah pada hasil jualan minyak kelapa sawit keluaran negeri ini adalah 7.5%. Jika jualan RM1 juta, maka kerajaan mendapat RM75,000.00 sebagai hasil.

Jika syarikat pengeluar boleh membayar suapan RM700 juta, maka ianya berpunca daripada jualan sebesar RM8.4bilion.

Suapan dibayar kerana jualan bukannya RM8.4 bilion, akan tetapi berkali ganda.

Jika jualan bukan berkali ganda perlu apa membayar beberapa individu dalam Kementerian Kewangan Sabah yang mempunyai kuasa berkaitan laporan jualan?

Lazimnya dalam keadaan sebegini, syarikat membuat pilihan samada membayar cukai sebenar, atau menyimpan berkali-kali ganda jumlah cukai dengan memberi habuan untuk menyorok jualan sebenar.

Tindakan oleh syarikat yang terlibat dengan kerjasama pegawai-pegawai tersebut, merupakan skim menipu kerajaan.

Skim menipu seumpama ini berisiko tinggi, maka dengan sendirinya sesuatu yang berisiko sedemikian, akan membabitkan jumlah kewangan yang besar juga.

Ada laporan kononya kerajaan Sabah kerugian antara RM150-RM200 juta bermula daripada tahun 2005, menerusi skim penipuan ini. Sebenarnya, kerugian itu jauh lebih besar daripada anggaran tersebut, mungkin menececah bilion ringgit, jika diambilkira jumlah suapan yang diberi.

Pembongkaran SPRM berkaitan menipu laporan hasil jualan untuk tujuan bayaran cukai pada kerajaan Negeri, hanya tips of the iceberg, akan terbongkar lagi penipuan-penipuan seterusnya.

Pemalsuan jumlah jualan, mungkin tidak dikesan Ketua Audit Negara, atas sebab, data yang digunakan dalam pengauditan adalah data yang ada di Kementerian Kewangan Sabah (MOFS), tidak dilakukannya “cross auditing” yang melibatkan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ada kemungkinan, pembongkaran ini, kerana adanya cross auditing berkaitan kutipan cukai daripada syarikat-syarikat pengeluar minyak sawit di Sabah.

Skim menipu seperti ini yang berlaku di bawah hidung para pembesar mungkin kurang nilai daripada segi liputan media massa atas sebab hanya membabitkan segelintir individu, akan tetapi, kesan skim menipu ini cukup besar jika dilihat daripada segi kutipan hasil negeri.

Jika kebocoran atau ketirisan ini tidak berlaku, kemungkinan besar kutipan hasil negeri melebihi RM5bilion, bukan berlaku pada tahun 2021, akan tetapi mungkin telah dicapai sedekad yang lalu.

Kemungkinan besar, ketirisan cukai jualan daripada jualan kelapa sawit, secara akumulatif telah berbilion ringgit. Cuba bayangkan kesan jumlah kewangan sebesar itu pada penyediaan kemudahan asas rakyat Sabah, seperti bekalan air bersih, jalan raya dan bekalan elektrik. Dengan tersedianya wang sebanyak itu, kemungkinan bekalan air tidak perlu dicatu, jalan raya bukan ditampal-tampal, dan bekalan elektrik, tidak memanjang black-out.

Sungguh malang bagi Sabah, kerana hanya terkenal membabitkan penyelewengan mantan-mantan pegawai kerajaan yang membabitkan bukan sedikit wang, akan tetapi ratusan juta ringgit. Mengapa perkara ini berlaku? Salah satu sebabnya, kerana tiadanya tempoh masa diberikan pada pegawai-pegawai di tempat kritikal ini, sehinggakan mereka dapat membina skim penipuan yang boleh menyorok tindak tanduk mereka.

Sebenarnya, banyak bahagian-bahagian kritikal kerajaan yang memperlukan pertukaran pegawai dengan kerap, sebagai cara mencegah supaya kejadian ini tidak berlaku. Terserah kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, untuk menentukan sistem pengiliran di bahagian-bahagian tertentu ini. Jangan pula berlaku, sudah terantuk baru terngada, pada masa itu, tiada yang boleh dibuat, NASI SUDAH MENJADI BUBUR, paling-paling menangkap mereka ini, dihadapkan ke mahkamah, dan merampas harta termasuk wang yang telah diselewengkan. Tapi kesannya adalah telah membantutkan kemajuan dan pembangunan negeri, seperti mana berlaku pada Jabatan Air Sabah.

No comments:

Blog Archive