Friday, May 20, 2022

AKAN KEMBALI KAH MUSA BERPOLITIK?

BANYAK contoh ahli politik berhasrat bersara daripada arena politik, dengan melepaskan jawatan, tidak bertanding dalam pilihan raya, akan tetapi selepas beberapa ketika berehat, rupanya, betul lah apabila sudah menceburi dunia politik, hanya kematian atau faktor kesihatan sahaja dapat memutuskan seseorang ahli politik itu dengan dunia politik.

Apa tah lagi, kepemimpinan pemimpin tersebut diperlukan dan masih didambahkan oleh rakyat.

Di Sabah, Tan Sri Musa Aman, untuk beberapa ketika menyepi daripada dunia politik, malah mantan ketua menteri terlama negeri tersebut “keeping low profile” selepas dipaksa melepaskan jawatan pada 12 Mei, 2018. Penulis menggunakan istilah “dipaksa” kerana mantan ADUN Sungai Sibuga tersebut, masih Ketua Menteri, apabila seorang pemimpin lain dilantik ke jawatan tersebut. Sejak tarikh itu, Musa jarang kelihatan pada mana-majlis rasmi, atau majlis-majlis politik, hanya jika kebetulan orang ramai melihat kelibat beliau, hanya semasa melawat tempat-tempat keagamaan.

Lebih 2 tahun, Musa menyepi, dan muncul semula pada Julai, 2020, kerana beliau mendapat sokongan 31 ADUN Sabah untuk dilantik ke jawatan Ketua Menteri. Tindakan 31 ADUN tersebut tidak dapat direalisasikan, kerana Ketua Menteri masa itu, tidak mahu meletakkan jawatan walaupun kehilangan sokongan, akan tetapi dapat meyakinkan TYT Sabah untuk membubarkan DUN. Kerana pembubaran tersebut, maka diadakan PRN-16 Sabah pada September, 2020.

Keputusan PRN tersebut, rakyat Sabah memberi mandat pada GRS-BN menubuhkan kerajaan, apabila Datuk Seri Hajiji Haji Noor mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri ke-16 Sabah pada 29 September, 2020.

Musa pada PRN tersebut tidak bertanding, tidak mempertahankan DUN Sibuga yang beliau sandang sejak tahun 1994. Walaupun tidak bertanding, beliau turun berkempen, dan semua kawasan yang melibatkan beliau telah menang dengan majoriti yang cukup selesa.

Musa yang mejadi ahli Umno selepas parti USNO pimpinan Tun Mustapha dibubarkan, sehingga kini kekal dengan parti itu, walaupun tidak memegang sebarang jawatan parti.

Persepsi Musa akan kembali aktif semula, apabila turut hadir pada PAU-2021 di PWTC, Mac lalu. Selepas itu, beliau juga turut hadir semasa pelancaran Pesta Keaamatan di Keningau pada 1 Mei, duduk sebaris dengan Ketua Menteri dan Huguan Siou KDMR.

Semalam sempena Rumah Terbuka Barisan Nasional Sabah, di Kota Kinabalu, Musa turut hadir dan duduk semeja dengan Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi Umno/BN Sabah.

Pada hakikatnya, sehingga kini, tiada sebarang kenyataan daripada mantan Ketua Menteri tersebut berkaitan kembali semula aktif dalam arena politik, hanya kenyataan-kenyataan daripada beberapa pihak yang merasa “terancam”kedudukan mereka, bahawa munculnya Musa di khalayak ramai, termasuk majlis-majlis melibatkan orang ramai, tidak boleh dianggap bahawa mantan pemimpin nombor satu Sabah akan kembali berpolitik.

Hakikatnya, kembali aktifnya Musa dapat menyuburkan kembali kestabilan politik bukan sahaja negeri malah nasional. Apabila politik stabil, maka sebarang tindakan, usaha kerajaan memajukan rakyat dan negeri akan berjalan dengan baik dan sempurna.

Musa melalui rekod 15 tahun sebagai Ketua Menteri, bukan lah pesaing dengan mana-mana pemimpin yang mempunyai hasrat memajukan dan membangun rakyat dan negeri, melainkan menjadi mentor, pelengkap dan menyatukan semua pemimpin bergerak sebagai satu pasukan yang kuat dan kukuh, menjadikan setiap pemimpin seperti aur dengan tebing, saling memerlukan, saling melengkapi, dengan visi semua pihak menang, sesuai dengan kapasiti dan kebolehan masing-masing.

Hanya mereka yang kurang menghayati corak kepimpinan Musa, menganggap beliau sebagai pesaing, sedangkan sifat itu, tidak terdapat dalam kamus kepemimpinan mantan ahli perniagaan tersebut sebelum terlibat dengan dunia politik pada tahun 1990, kerana permintaan Allahyarham Tun Mustapha Datu Harun- Bapa Kemerdekaan Sabah.

No comments:

Blog Archive