Wednesday, May 18, 2022

BERPRASANGKA BURUK ANTARA PEMIMPIN

BERPRANGKA buruk antara pemimpin, bukan sahaja berlaku antara parti-parti, akan tetapi juga dalam sesebuah parti.

Ambil contoh ulasan beberapa pemimpin Umno berkaitan pindaan perlembagaan parti itu yang menangguhkan pemilihan parti sehingga 6 bulan selepas pilihan raya umum (PRU), yang menyifatkan pindaan tersebut perlu untuk mengelak mereka yang kalah dalam pemilihan berpaling tadah termasuk keluar parti dan atau bertanding melawan parti dengan mengunakan flatform lain, khususnya parti lawan.

Hujah demikian pada hakikatnya bercanggah dengan persepsi rakyat bahawa setiap ahli atau pemimpin adalah sekepala atas sebab seperjuangan dan setujuan, akan kekal bersama-sama di kala susah dan senang, di kala di bawah atau di puncak.

Apabila timbulnya prasangka buruk, bahawa mereka yang gagal menang jawatan, akan tidak setia, menikam parti di belakang, dan seterusnya menyebabkan parti kecundang. Dalam fikiran mereka yang mendakwa demikian, mereka yang kalah akan membuat pendirian, kalah jadi abu menang jadi arang.

Mengapa berprasangka buruk antara sesama timbul? Apa kah mereka yang menyertai parti, hanya mereka yang mengejar jawatan dan kedudukan? Jika demikian lah duduk perkaranya, sebab itu berlaku- terdapatnya mereka yang berjawatan mendahulukan kepentingan peribadi, berbanding parti, mungkin itu puncanya mengapa sesetengah mereka yang berjawatan, lebih berjaya berbanding ahli perniagaan dalam mengumpul harta, baik yang bergerak mahupun tidak.

Mungkin sudah menjadi penanda aras, jawatan parti adalah lesen untuk kaya, maka atas sebab itu, adanya prasangka, mana-mana yang gagal mendapat jawatan parti maka akan keluar parti.

Kenyataan atau hujah sedemikian, akan membuka mata rakyat, bahawa parti yang mereka anggap sebagai pembela agama, bangsa dan tanah air (ABATA) rupanya hanya dipergunakan sebagai kuda tunggangan untuk mencapai misi peribadi, bukannnya untuk mereka.

Kerana keadaan demikian berlaku, maka menjadi punca Umno kehilangan kuasa pada PRU-14, apabila ramai yang menolaknya, termasuk ahli sendiri.

Mungkin sesetengah pemimpin parti yang berprasangka buruk tidak menyadari, bahawa rakyat sekarang sedang memerhatikan tindak tanduk para pemimpin, apa kah sudah berlaku perubahan selepas hilang kuasa.

Ironinya, mereka yang berhujah perpecahan akan berlaku jika diadakan pemilihan sebelum PRU sebahagian daripada mereka mempunyai isu moral termasuk dihadapkan ke mahkamah, selain mereka yang ditolak rakyat pada PRU-14.

Sebahagian daripada mereka ini masih berjawatan parti, dengan demikian, pindaan perlembagaan parti untuk menangguhkan pemilihan, setidak-tidaknya mereka kekal dengan jawatan parti masing-masing sehingga pemilihan akan datang.

Meminta rakyat menyokong parti yang masih ada pemimpin bermasalah, mungkin tidak berkesan pada ahli dan penyokong tegar, akan tetapi tidak bagi rakyat lain.

Sepatutnya Umno mengambil iktibar, pada PRN Melaka dan Johor, walaupun parti itu menang daripada segi kerusi, akan tetapi majoriti pengundi menolaknya. Kemenangan menerusi pertembungan tiga penjuru dan memanfaatkan sistem First Past The Post (FPTP), walaupun diterima pakai dalam sistem demokrasi akan tetapi , kemenangan yang dicapai bukan mengambarkan sokongan sebenar rakyat.

Umno tidak harus berbangga dengan kemenangan kerusi yang ditentukan minoriti, akan tetapi perlu juga kemenangan itu mewakili suara majoriti rakyat.

Jika parti itu ingin kembali seperti dulu-dulu, era kepemimpinan Tun Abdul Razak, Tun Abdul Ghafar Baba, Tun Dr Ismail, maka perlu bertindak berani, membersihkan diri daripada prasangka buruk antara sesama, menerusi kepemimpinan yang ikhlas, jelas dan semata-mata untuk parti, demi Agama,Bangsa dan Tanah air, dan perlu menghakis, bahawa jawatan parti adalah lesen untuk memperkaya diri. Renung-renungkan.

No comments:

Blog Archive