Tuesday, May 17, 2022

ORANG UMNO HANYA SETIA JIKA ADA KEDUDUKAN?

PENULIS terbaca hujah beberapa pemimpin Umno termasuk beberapa anggota MKT, pindaan perlembagaan berkaitan pemilihan jawatan parti hendak lah diadakan 6 bulan selepas sebarang pilihan raya umum (PRU), untuk mengelak mereka yang kalah akan keluar parti dan bertanding atas flatform lain menentang parti.

Jika hujah sedemikian benar-benar berlaku dalam parti itu, maka dapat disimpulkan bahawa sesiapa sahaja dalam parti itu akan setia jika ada kedudukan dan atau kepentingan, jauh sekali memperjuangkan visi parti Demi Agama Bangsa dan Tanah Air (ABATA).

Selain itu, menerusi hujah sedemikian, benar lah pendapat segelintir rakyat negara ini, termasuk pemimpin veteran dalam parti itu, bahawa pindaan perlembagaan tersebut untuk menyelamatkan mereka yang berjawatan dalam parti.

Bagi pendapat penulis, sepatutnya, alasan yang perlu diuar-uarkan mengapa pindaan perlembagaan perlu dilaksanakan, kerana parti masih dalam proses pemulihan, ekoran kehilangan kuasa pada PRU-14. Proses pemulihan memerlukan pendekatan dan strategi yang boleh merapatkan saf semua kepemimpinan, tidak kira di peringkat mana. Bukannya menanam kecurigaan, jika kalah pada sebarang jawatan, maka yang kalah itu, berpaling tadah menentang parti.

Hujah-hujah seperti itu, menunjukkan, bahawa sesetengah pemimpin parti takut pada bayang-bayang sendiri, curiga pada ahli sendiri? Pendekatan seperti itu, hanya berlaku, jika tiada keikhlasan dalam memimpin, penuh muslihat untuk memenuhi agenda peribadi.

Jangan membuka gelanggang, pada ahli dan rakyat, curiga bahawa mereka yang bertanding pada pemilihan parti hanya untuk mendapatkan jawatan parti, mempunyai agenda peribadi menjadikan parti sebagai kuda tunggangan untuk mendapat keuntungan peribadi.

Hujah perlulah meyakinkan ahli dan rakyat, sebarang pendekatan, strategi termasuk pindaan perlembangaan adalah semata-mata memperkukuhkan parti untuk kekal relevan.

No comments:

Blog Archive