Wednesday, November 24, 2021

PRN KE-12 SARAWAK-GPS MENANG BESAR JIKA PERATUSAN KELUAR MENGUNDI RENDAH


GABUNGAN PARTI-PARTI SARAWAK (GPS) akan mencontohi kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRN ke-15 Melaka, jika peratusan yang keluar mengundi rendah.

Dalam sesebuah pilihan raya, jika peratusan yang keluar mengundi rendah, akan memberi kelebihan pada parti yang ramai ahli, penyokong akar umbi dan penyokong tegar.

Parti-parti seumpama ini, hanya hilang peluang untuk menang, apabila pengundi atas pagar keluar menunaikan tanggungjawab.

Pada PRN-15 negeri Melaka, walaupun BN hanya mendapat kurang daripada 40 peratus undi popular, akan tetapi menang kerusi lebih 2/3 atau 75 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan.

Apa yang berlaku pada PRN Melaka, akan juga berlaku pada PRN Sarawak yang dijadualkan pada 18 Disember depan.

Pada PRN ke-11, GPS yang bertanding masih menggunakan LOGO dacing (BN) menang 72 kerusi daripada 82 dipertandingkan. Gabungan itu keluar daripada BN sebaik sahaja selesai PRU-14, apabila julung kalinya BN kehilangan kuasa di peringkat Persekutuan.

Pada PRN Sarawak ke-12 ini, GPS bertanding secara SOLO tidak terikat dengan mana-mana pihak, walaupun sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.

Tidak dipastikan, apa kah pada PRN negeri tersebut, GPS hanya bertembung dengan Pakatan Harapan (PH)? Tetapi apa yang pasti parti PAS komponen Perikatan Nasional (PN) awal-awal lagi telah mengumumkan akan bertanding.

Di atas kertas, GPS tidak berhadapan masalah mendapatkan semula mandat pengundi bumi kenyalang, dan mungkin hanya DAP akan menang di beberapa kerusi di kawasan bandar bermajoriti pengundi cina.

Pada PRN ke-12 Sarawak, julung kali diketuai Tan Sri Abang Juhari Tun Openg sebagai Ketua Menteri.

Jika sekali lagi berlaku rendahnya pengundi keluar mengundi, dan menjadi asbab GPS menang besar “landslide” maka akan mendorong BN mendesak diadakan PRU-15 dalam masa yang sesingkat-singkatnya.

Dalam keadaan pandemik Covid-19 (walaupun dikatakan telah bertukar pada endemik) akan tetapi, pengundi atas pagar, belum sudi mengambil risko keluar mengundi. Menerusi senario demikian, maka parti yang mempunyai keahlian ramai, mempunyai penyokong akar umbi, sudah tentu akan memanfaatkannya.

Sisitem demokrasi negara kita mengamalkan First Past the post system, bukannya berasaskan undi popular. Ertinya, daripada 10 pegundi, jika sebuah parti mendapat 4, manakala yang lain berkongsi 6 undi yang lain, maka pemenang adalah parti yang mendapat 4 undi.

Pada PRN ke-12 Sarawak, sama-sama kita menyaksikan sekali lagi, erti keahlian, penyokong akar umbi dan tegar pada sesebuah parti.

No comments:

Blog Archive