Sunday, August 29, 2021

KERAJAAN CAMPURAN: SIAPA YANG MENENTUKAN KUASA?


KERAJAAN campuran, kalau di Malaysia yang berkuasa adalah mereka yang ada kerusi. Kerusi parlimen atau DUN.

Kerana kerusi yang berkuasa, maka saiz kabinet juga menggambarkan jumlah kerusi daripada masing-masing parti.

Jangan lupa juga, mereka yang tidak dilantik menteri atau timbalan menteri, akan dilantik sebagai pengerusi-pengerusi GLC.

Setiap penyandang kerusi, pasti dapat jawatan (kecuali mungkin yang ada kes mahkamah, walaupun tidak semestinya).

Jangan lah memperolok kerajaan yang mempunyai saiz kabinet yang besar, kerana semua itu merupakan jawatan, atau orang politik menyebutnya tanggungjawab dan amanah.

Mengapa kementerian atau GLC diketuai ahli politik? Jawapannya, agar perjalanan kerajaan atau syarikat milik kerajaan sesuai dengan dasar kerajaan.

Mereka ini semua perlu menyokong kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri.

Jika sebahagian tidak menyokong atau menarik sokongan, maka kerajaan akan tumbang.

Itu lah yang berlaku pada Tan Sri Muhiyiddin Yassin dan Kerajaan yang beliau pimpin. Kerana tindakan ahli parlimen yang tidak diberi jawatan, kemudian berjaya membawa bersama mereka yang ada jawatan untuk memastikan kerajaan kehilangan sokongan, supaya tumbang.

Sebelum Dato Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan barisan kabinet beliau, ramai penganalisis politik mencadangkan kabinet DSIS biar kecil tetapi efektif.

Tetapi mereka tidak sedar, sebuah kerajaan campuran, hanya boleh survive jika semua yang menyokong diberi peranan dalam kerajaan.

Perdana Menteri ke-9, tiada pilihan, melainkan, pilihan beliau, seperti mana yang beliau umumkan. Pun demikian, masih ada yang bising-bising, mempersoalkan, mengapa sipulan dan sipulan tidak dilantik.

Mengapa trend seperti ini hanya berlaku di Malaysia? Sebabnya, kerana adanya, pengikut. Setiap ahli politik ada pengikut. Pengikut ini lah yang memastikan ahli politik tersebut terus survive. Pengikut perlu juga hidup, kalau tidak sebanding ahli politik yang disokong, akan tetapi jauh lebih baik daripada orang lain.

Di negara kita, suka atau tidak, ahli politik itu adalah suatu kerjaya. Kerana ianya kerjaya, maka berbagai cara dilakukan untuk mendapat status sedemikian.

Di semua peringkat, bermula daripada parti, kemudian pilihan raya; mereka yang mahukan kedudukan politik itu satu kerjaya, akan menggunakan apa sahaja strategi untuk mendapatkannya.

Sebab itu jangan pelik, mereka yang bersandar pada merit akan sentiasa tercicir, berbanding mereka yang ada kabel. Kabel digunapakai, dari urusan sekecil-kecilnya, sehinggalah ke peringkat gigantik.

Atas sebab kepentingan kabel lah, kerajaan politik negara ini, ditentukan oleh kerusi, bukan ditentukan kerana keperluan.

Kalau lah kerajaan berasaskan keperluan, maka kerajaan yang berhadapan dengan krisis kesihatan dan ekonomi, sudah tentu hanya fokus kepada dua krisis tersebut. Atas sebab itu, berbagai pandangan, saiz kabinet DSIS, akan bersaiz kecil.

Benar lah kata, Datuk Dr Latiff Ahmad, salah seorang menteri yang dilantik, jangan salahkan DSIS yang membentuk kabinet bersaiz besar, kerana hanya itu sahaja pilihan beliau.

No comments:

Blog Archive